JOHOR BAHRU - Tindakan DAP menghantar ramai pemimpin besarnya ke Johor untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hanyalah untuk satu tujuan iaitu 'membunuh' MCA di negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Anggota parlimen Johor Baharu itu berkata, DAP berharap apabila ia berjaya 'membunuh' MCA pada PRU13, parti pembangkang itu akan diangkat sebagai wakil tunggal kepada masyarakat Cina di Johor.
"Ini tujuan DAP sebenarnya, untuk mengalahkan MCA dan jikalau mereka berjaya, mereka akan mengubah suasana politik di Johor berasaskan kepada politik perkauman.
Adakah ini yang dimahukan oleh masyarakat Cina di Johor?," katanya mengulas merasmikan jentera PRU13 Puteri, Pemuda dan Wanita BN baru-baru ini.
Adakah ini yang dimahukan oleh masyarakat Cina di Johor?," katanya mengulas merasmikan jentera PRU13 Puteri, Pemuda dan Wanita BN baru-baru ini.
Menurutya, DAP mahu melakukan perkara yang sama sebagaimana dilakukan parti pembangkang itu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas - 'membunuh' parti Gerakan di negeri pulau itu.
Walaupun DAP mendakwa ia sebuah parti pelbagai kaum, tetapi parti pembangkang itu hanya bertanding di kawasan majoriti pengundinya kaum Cina dan hanya menentang calon BN daripada parti MCA, kata Shahrir baru-baru ini ketika mengulas tindakan DAP memindahkan pemimpinnya bertanding di Johor.
DAP yang berhasrat menjadikan Johor sebagai medan utamanya pada PRU13, memutuskan untuk meletakkan penasihatnya Lim Kit Siang sebagai calon di kawasan parlimen Gelang Patah.
Parti pembangkang itu juga berhasrat meletakkan pakar strateginya, Liew Chin Tong yang juga merupakan anggota parlimen Bukit Bendera, sebagai calonnya di Johor dengan kemungkinan besar kerusi parlimen Kluang menjadi pilihan.
Anggota parlimen Johor Bahru itu berkata terdapat juga spekulasi pengerusi DAP Karpal Singh akan bertanding di Johor pada PRU13 ini, untuk kerusi parlimen Kulai yang kini disandang bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting.
Shahrir juga tidak menolak kemungkinan setiausaha agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanding di Johor memandangkan beliau dilahirkan di Johor Bahru.
Parlimen Kluang yang menjadi sasaran DAP kini disandang Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung, manakala parlimen Gelang Patah diwakili Tan Ah Heng.
Masyarakat Cina di Johor, kata Shahrir, perlu bertanya diri sendiri sama ada mereka mahukan DAP dan pembangkang untuk mempolitikkan semua perkara daripada pendidikan Cina kepada rumah ibadat dan agama, sebagaimana dilakukannya kini.
Berlainan dengan pembangkang, BN, katanya, tidak mencampuri urusan sekolah-sekolah Cina sebaliknya menyerahkan pengurusan kepada persatuan Tionghua, sama seperti yang dilakukan dalam pengurusan hal ehwal agama.
"DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempolitikkan semua perkara.
Masyarakat Cina, Melayu dan India di Johor perlu bertanya sama ada ini baik untuk masa depan di Johor dan Malaysia," kata Shahrir.
Mengenai kemungkinan PKR meletakkan bekas Panglima Tentera Darat Jen (B) Tan Sri Hashim Hussein sebagai calon mereka di kawasan parlimen Johor Bahru, Shahrir berkata apa yang lebih penting ialah sokongan pengundi, bukan calon. - Bernama
Post a Comment