Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Datuk S. Nallakaruppanmenyokong pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diberi peluang untuk terus mentadbir negara.
Beliau juga bersetuju dengan pandangan Daim bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
Katanya, beliau cukup mengenali Anwar sepanjang 30 tahun persahabatan mereka dan yakin moral serta kerakusan politik Ketua Pembangkang itu hanya akan meletakkan Malaysia dalam keadaan tidak menentu jika menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, Anwar tidak pernah berubah walaupun telah dihadapkan ke mahkamah pada 1998 dan kemudian dipenjara selama enam tahun, sebaliknya semakin rakus dalam usahanya mengejar cita-cita peribadi menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup berbuat apa sahaja.
"Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Daim kerana Najib sudah melakukan banyak perkara yang positif dalam masa empat tahun selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara sama ada dari segi politik, ekonomi mahu pun dalam aspek sosial.
"Memilih Anwar sebagai Perdana Menteri adalah satu perjudian bagi masa depan negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah negara Islam seperti Malaysia hendak dipimpin oleh seorang yang dipersoal dan dibelenggu isu moral.
Daim dalam wawancara khas dengan akhbar berbahasa Inggeris, New Sunday Times semalam menyatakan yang beliau lebih suka sekiranya Najib menang pada pilihan raya umum akan datang berbanding Anwar yang disifatkannya bukan calon tepat untuk menjadi Perdana Menteri.
Dalam wawancara itu juga, Daim memberitahu, Najib telah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik dan patut diberikan mandat untuk menerajui negara bagi meneruskan dasar-dasar transformasi, berbeza dengan Anwar yang disifatkan tidak cekap dalam bidang ekonomi.
Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, rakyat kini mengenali belang sebenar Anwar dan kegagalan Ketua Pembangkang itu memberi penjelasan meyakinkan mengenai pelbagai perkara termasuk isu moral membuktikan beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri.
"Anwar sudah menimbulkan banyak masalah kepada rakyat dan negara, beliau yang mencipta masalah tetapi kemudian menuding jari kepada pihak lain khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk dalam isu moral jadi bagaimana kita mahu memilih pemimpin seperti ini," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia,Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, BN mampu kembali mendapatkan mandat besar memandangkan sokongan kuat rakyat terhadap kerajaan serta Perdana Menteri yang komited terhadap tanggungjawab masing-masing.
''Kini rakyat sudah tahu menilai beza antara kaca dan permata, mana satu kerajaan yang baik dan mana satu kerajaan yang hanya tahu mengkritik serta berjanji kosong.
''Jadi saya optimis rakyat akan memberi peluang lebih kepada Perdana Menteri serta BN pada pilihan raya umum nanti kerana mereka mahukan kerajaan yang mampu membangunkan taraf hidup serta memajukan negara," katanya.
Post a Comment