Headlines News :
Home » » Laman web Jabatan Penerangan telah digodam

Laman web Jabatan Penerangan telah digodam




PUTRAJAYA 18 Feb. - Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman hari ini membuat laporan polis berhubung pencerobohan sistem e-Akhbar dan e-Press milik Jabatan Penerangan yang memaparkan kenyataan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 3.30 petang.

Bercakap kepada pemberita, Ibrahim berkata, berita tersebut bukan sahaja memaparkan kenyataan palsu malah mencemar nama baik Jabatan Penerangan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai

"Laporan polis ini dibuat mengenai usaha pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menceroboh laman web Jabatan Penerangan khususnya sistem e-Akhbar dan e-Press yang merupakan lidah rasmi kerajaan memaklumkan aktiviti rasmi kerajaan sama ada perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri Kabinet.

"Selain memapar kenyataan itu, turut dimuat naik memo daripada rakyat yang mengandungi pelbagai permintaan kepada kerajaan dan ada daripadanya tidak munasabah," katanya di sini.

Sebelum itu, Jabatan Penerangan telah membuat kenyataan akhbar menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Menurut Ibrahim, pihaknya menyedari kenyataan itu dipaparkan pada pukul 8.05 pagi dan percaya dimuat naik pada pukul 6 pagi ini.

Katanya, satu siasatan dalaman dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) juga telah dibentuk bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

"Kita tidak menolak kemungkinan penglibatan pihak lain dan secara umumnya alamat Protokol Internet (IP) yang merekodkan pengguna dari luar negara telah dikenal pasti

"Tetapi kita masih menjalankan siasatan serta kemungkinan IP itu hanya untuk mengaburi sahaja dan tiada siapa pun akan terlepas walau orang dalam sendiri," katanya.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan sistem yang digunakan pihaknya mudah dicerobohi, Ibrahim berkata, sistem itu telah mendapat pengesahan MAMPU dan beroperasi mengikut kawalan ketat.
"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku walaupun sudah ada sistem yang kukuh terutama melibatkan pegawai-pegawai yang boleh akses sistem itu.
''Tetapi di peringkat ini kita tidak mahu memperincikan macam mana sistem ini digodam, biar pihak berwajib lakukan siasatan," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger