Headlines News :
Home » » PRU13 : DAP letak calon Melayu, alih perhatian pemilihan CEC

PRU13 : DAP letak calon Melayu, alih perhatian pemilihan CEC




GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengesahkan partinya akan  meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) walaupun perwakilan parti itu menolak semua calon Melayu pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif  Pusat (CEC) DAP semalam.
“Kita nak letakkan calon berkerakyatan Malaysia yang paling layak dan akan mempunyai peluang kemenangan yang cerah sekali. Sudah tentu akan ada calon Melayu. Saya mengesahkan yang akan ada calon-calon Melayu (dibariskan pada PRU13),” kata beliau selepas Kongres DAP di sini sebentar tadi.
Agenda Melayu DAP menerima tamparan hebat apabila kesemua lapan calon Melayu tewas pada pemilihan parti itu untuk merebut 20 kerusi CEC yang merupakan badan tertinggi parti itu.
Antara yang kecundang adalah Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari yang hanya memperolehi 305 undi. Turut kalah adalah Senator Ariffin S.M. Omar yang mendapat 348 undi namun kemudian beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi parti.
Satu-satunya ahli dalam CEC, Ahmad Ton juga kalah  kali ini apabila hanya mampu meraih 347 undi.
Calon lain yang tewas ialah Harun Ahmad (28 undi), Solaiman Op Syed Ibrahim (98 undi) Tengku Zulpuri Shah (121 undi) Zulkifli Mohd Nor (215 undi) dan Roseli Abdul Gani (39 undi).
Pada sidang media itu, Guan Eng enggan mengupas faktor di sebalik tindakan perwakilan menolak semua calon Melayu pada pemilihan semalam.
Beliau juga tidak mengulas mengenai kekalahan 15 daripada l8 calon kaum India termasuk Timbalan Ketua Menteri P. Ramasamy.
Sebaliknya Guan Eng hanya mendakwa partinya akan meletakkan calon pada PRU yang memapu meraih sokongan merentasi kaum.
"Kita mahu meletakkan calon kerakyatan Malaysia paling layak dan mempunyai peluang untuk menang yang cerah. Sudah tentu semua akan dipertimbangkan," tambah Ahli Parlimen Bagan itu.
DAP kini menuntut tambahan tiga kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN di Semenanjung yang di percayai untuk meletakkan calon-calon Melayu pada PRU 13.
Menurut pemerhati, cubaan DAP melebarkan diri untuk mendapat undi Melayu menjadikan PAS dan PKR resah kerana “survival” dua parti itu bergantung kepada pengundi Melayu.    
Pada sidang media itu, Guan Eng menyifatkan jawatankuasa Biro Pakatan Rakyat yang ditubuhkan DAP sebagai entiti penting untuk menyelaraskan hubungannya dengan parti komponen lain.
Ini,  katanya bagi mengelakkan DAP terperangkap dengan situasi tertentu sehingga boleh mencetuskan percanggahan pendirian antara rakan PAS dan PKR.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger