Headlines News :
Home » » Presiden UMNO ingatkan ahli bekerja keras tawan hati rakyat

Presiden UMNO ingatkan ahli bekerja keras tawan hati rakyat




KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang merupakan amanat utama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2012.
Dalam Taklimat Presiden sempena perhimpunan agung ke-66 itu, Najib mengingatkan perwakilan supaya bekerja keras dan lebih agresif dalam memenangi sokongan rakyat.
Aspek kesatuan turut diberi penekanan untuk memastikan parti terus mantap dan berjaya pada pilihan raya umum nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata Perdana Menteri menekankan supaya kesiapsiagaan parti terus kekal dan mantap dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Katanya Najib menasihati semua yang hadir supaya bersatu dan tampil sebagai satu pasukan yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi keutuhan parti.
“Semua anggota serta perwakilan perlu faham dan sedar peranan masing-masing dan tidak terhenti di situ sahaja. Perlu ada kesinambungan dalam perjuangan demi mengangkat martabat bangsa dan negara kerana menang atau kalah parti bergantung kepada semangat satu padu semua kaum dalam parti,” katanya.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Presiden UMNO dalam amanatnya mengingatkan perwakilan bahawa perhimpunan UMNO pada kali ini bukan satu perhimpunan biasa.
“Ia akan menentukan masa depan bukan sahaja ahli di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi bangsa, rakyat Malaysia sendiri dan agama kita yang merupakan tunjang dan asas kepada perjuangan parti kita,” katanya.
Beliau berkata Presiden turut mengingatkan perwakilan untuk berhimpun dengan niat dan kesungguhan yang senada dan bersatu padu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin pula berkata Najib menyeru anggota UMNO bertindak agresif mendekati rakyat bagi menanam keyakinan bahawa visi serta halatuju UMNO lebih baik daripada pembangkang.
Khairy berkata seruan itu dilaungkan bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu mampu mempertahankan kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum (PRU) sebelumnya.
Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Najib mengingatkan semua sayap parti agar bersatu sebagai satu ikatan dengan semangat untuk menang dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Rosnah berkata kesepaduan dan kesepakatan itu boleh ditunjukkan dengan menyokong penuh sesiapa sahaja yang terpilih untuk menjadi calon pilihan raya.
“Anggota UMNO perlu sentiasa bersiap sedia, sama ada yang muda ataupun yang tidak terpilih sebagai calon untuk memberi komitmen dan menunjukkan kesetiaan bagi memenangi pilihan raya dengan cemerlang,” katanya.
Share this post :

+ comments + 1 comments

Anonymous
November 27, 2012 at 10:34 PM

PEMIMPIN JUGA MESTI MENJAGA TUTUR KATA AGAR SETIAP PERKATAAN TIDAK MENGURIS HATI RAKYAT TERUTAMANYA PENYOKONG TEGAR, JANGAN TERLALU MEMBERI TUMPUAN PADA KAWASAN PANAS SAJA DENGAN MENYALURKAN PERUNTUKAN MELIMPAH RUAH, SEDANGKAN KAWASAN SEJUK DIANAK TIRIKAN DAN DIANGGAP SEPERTI PEMINTA SEDEKAH BILA MEMINTA PERUNTUKAN.

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger