GEORGE TOWN, 1 Nov – Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim mempersoalkan cara Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy menjawab soalan secara lampiran dan bukannya secara lisan kepada soalan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Azhar (BN-Penaga) menegaskan setiap soalan lisan yang dikemukakan sebagai soalan tambahan pada persidangan DUN perlu dijawab secara lisan dan bukannya mengarahkan wakil rakyat itu merujuk kepada lampiran yang telah disediakan.
“Kalau soalan lisan kena jawab secara lisan, ini jawab lampiran (sila rujuk lampiran), kami pun tidak dapat lagi lampiran, kami tak boleh nak tanya. Belum pernah terjadi seperti ini sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi soal jawab apabila Datuk Jasmin Mohamad (BN-Sungai Dua) diarah merujuk lampiran setelah mengemukakan soalan tambahan mengenai tempoh bayaran dikenakan oleh kerajaan negeri kepada pihak yang berminat untuk membeli tanah milik kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain menjelaskan DUN akan menolak dan tidak menjawab soalan yang mempunyai kaitan dengan factor keselamatan dan agama setelah mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri.
“Soalan yang ditolak itu mempunyai kaitan dengan faktor keselamatan dan ada kaitan dengan faktor keagamaan, bimbang akan menyentuh sensitiviti,” katanya.
Beliau menjawab soalan R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) yang tidak berpuas hati apabila soalannya mengenai upacara sembahyang jenazah yang dilakukan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Pulau Pinang pada 10 Mei lepas di hadapan kediaman Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditolak dan tidak dijawab.
Demonstrasi 15 minit yang disertai kira-kira 30 orang itu diadakan bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri DAP sejak 2008.
Selain itu, Abdul Halim turut menegur dan mengarahkan Rayer menarik balik perkataan ‘syaitan’ yang merujuk kepada kumpulan yang mengadakan demonstrasi di itu.
Rayer yang pada mulanya enggan menarik balik perkataan itu akhirnya akur apabila Speaker menegaskan beliau tidak mahu memulakan persidangan DUN dengan mengarahkan mana-mana wakil rakyat untuk keluar dewan.
Post a Comment