Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan mengemukakan rangka kerja cadangan pelan pembangunan negeri itu sebagai antara manifesto Pilihan raya Umum ke-13 BN.
Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata rangka kerja yang merangkumi perancangan masa depan pembangunan ekonomi dan sosial negeri itu akan diumumkan kepada rakyat dalam masa 10 hari lagi.
"Kami belum bersedia untuk mendedahkan butirannya kerana sedang memperkemas draf pertama yang telah dibincangkan dalam kalangan penyelaras, wakil rakyat negeri dan anggota Parlimen. Mereka telah menghadiri bengkel dua hari di Langkawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen
Tabika Kemas Parlimen Bayan Baru di sini hari ini.
Teng berkata pada bengkel dua hari itu mereka memberi fokus perbincangan terhadap pelancongan, pendidikan, pengangkutan dan perumahan mampu milik di Pulau Pinang.
Rangka kerja pelan pembangunan yang ditawarkan BN itu adalah sesuatu yang mampu direalisasikan dan bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, katanya.
Ia terlebih dahulu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami melihat kepada NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk pelan pembangunan itu," katanya. Beliau berkata adalah penting untuk rakyat negeri ini memberi mandat kepada BN bagi merealisasi dan menjayakan rangka kerja pembangunan negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Teng berkata BN tidak melantik mana-mana pemimpinnya untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat Taman Manggis Fasa Dua Development Sdn Bhd bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.
Katanya pemilihan individu menganggotai lembaga pengarah syarikat itu adalah atas kelayakan dan pengalaman mereka dalam membantu BN membina perumahan mampu milik di tanah seluas 0.45 hektar itu.
"Saya melihat perkara ini sebagai satu persoalan yang remeh temeh. Benda itu tidak menjadi isu. Isunya sekarang sama ada dia nak jual atau tidak. Siapa dalam syarikat itu tak penting, yang penting syarikat itu adalah satu syarikat khusus bagi BN membeli dan memajukan tanah," katanya.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng mempersoal mengapa nama pemimpin BN negeri tidak disenaraikan dalam syarikat Taman Manggis Fasa Dua Development Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk menguruskan pembelian tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.
Beliau berkata syarikat itu sepatutnya disertai sekurang-kurangnya seorang pemimpin tertinggi daripada BN negeri.
(source : Bernama)
Post a Comment