Headlines News :
Home » » BN janji bina SJKT Bagan Dalam jika menang P.Pinang

BN janji bina SJKT Bagan Dalam jika menang P.Pinang



Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Bagan Dalam di sini jika diberi mandat untuk mentadbir negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.

 Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, pembinaan sekolah itu sebagai usaha mengatasi masalah murid terpaksa bersekolah di kawasan Mak Mandin sejauh lima kilometer kerana Bagan Dalam tidak mempunyai sekolah aliran Tamil.

 Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu perjumpaan dengan Jawatankuasa BN negeri di bangunan Parlimen bulan lalu memberikan pertimbangan untuk pembinaan sekolah tersebut.

 "Perdana Menteri sedia beri pertimbangan SJKT dibina jika ada tanah seluas 1.6 hektar di kawasan ini kerana kepentingan komuniti India di sini mempunyai lebih 4,200 keluarga tinggal di Bagan Dalam," katanya dalam sidang akhbar di sini. Beliau berkata demikian selepas majlis rumah terbuka dan menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 500 orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim di Dewan Sree Maha Mariamman, di sini hari ini.

 Yang turut hadir Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M. Karuppanan. Chang Yeow berkata, MIC sudah mengemukakan permohonan itu dan BN negeri memberikan sokongan terhadap permohonan berkenaan.

 Sementara itu, Karuppanan berkata, sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga terlibat untuk menyambut perayaan Deepavali Selasa ini. Katanya, setiap keluarga menerima RM100 untuk membeli barangan keperluan.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger