PULAU PINANG 11 Nov. - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain dianggap bersikap dwistandard kerana tindakan berdiam dirinya apabila isteri Ketua Menteri, Lim Guan Eng duduk di kawasan yang dikhaskan kepada pegawai kerajaan dalam dewan berkenaan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, beliau percaya sekiranya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau pihak lain melanggar peraturan DUN, sudah pasti tindakan tegas akan diambil olehnya.
Menurutnya, sikap Abdul Halim itu seolah-olah menunjukkan tindakan serta keputusannya berpandukan atas arahan orang atau pihak tertentu.
"Dia (Abdul Halim) tidak ubah seperti robot yang pergerakannya dikawal oleh orang lain.
"Adakah ini standard Speaker DUN yang ada di Pulau Pinang sekarang ini?" katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow semalam yang menyifatkan tindakan isteri Guan Eng, Betty Chew duduk di kawasan dikhaskan dalam DUN sebagai 'mencabuli' kemuliaan dewan berkenaan.
Chang Yeow jelas terkejut dengan kejadian tersebut kerana Betty Chew sepatutnya duduk di tempat yang dikhaskan untuk orang awam.
Mengulas lanjut, Musa menambah, sebagai Speaker DUN, Abdul Halim bertanggungjawab memastikan segala peraturan dalam dewan itu dipatuhi setiap orang.
Sehubungan itu, tegasnya, Abdul Halim perlu membuat penjelasan mengenai perkara tersebut.
"Dia kena jawab supaya rakyat tidak menganggapnya bersikap dwistandard dalam menjalankan tugas, " katanya
Post a Comment