Headlines News :
Home » » GERAKAN janji buat lebih baik jika kembali memerintah P.Pinang @dzainalabidin

GERAKAN janji buat lebih baik jika kembali memerintah P.Pinang @dzainalabidin



KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta pengundi di Pulau Pinang supaya memberi sekali lagi peluang kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) untuk berkhidmat kepada mereka. Beliau berkata Gerakan bertekad untuk melakukan lebih banyak dan lebih baik lagi untuk mengubah nasib rakyat di negeri itu.

 Koh turut menyifatkan negeri yang menjadi kubu Gerakan selama 40 tahun itu sebelum kecundang pada pilihan raya 2008, sebagai jantung hati Gerakan sambil menyatakan hati dan minda Gerakan adalah sentiasa bersama negeri dan rakyat Pulau Pinang.

 "Kita meminta peluang supaya dapat terus berkhidmat. Kami bertekad untuk melakukan lebih banyak di Pulau Pinang. Sekiranya kita benar-benar bersatu hati, rakyat tentu akan memberi peluang kepada kita," katanya pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

 Justeru, Koh yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mahu anggota Gerakan di semua peringkat segera merapatkan barisan dan mengetepikan perbezaan dalam memastikan kemenangan calon-calon Gerakan dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-13.

 "PRU-13 akan menyaksikan pertarungan sengit tetapi kita tidak gentar. Marilah kita tonjolkan yang sebaik mungkin. Mari kita jadikannya kejayaan terbaik kita," katanya. Beliau juga memberitahu perwakilan bahawa Najib adalah pemimpin terbaik untuk memacu negara ke arah pembangunan berterusan dan menjamin kestabilan.

 "Sebahagian masyarakat mungkin menaruh harapan kepada (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tetapi bagi saya, Najib adalah pilihan yang jauh lebih baik. "Beliau (Najib) dikenali sebagai pemimpin yang mesra dan apa yang penting ialah beliau seorang pemimpin yang adil dan tegas. Untuk kenyataan ini, saya berani jamin," katanya.

 Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyentuh isu pendidikan dengan mencadangkan supaya transformasi pendidikan negara yang bakal dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) mengambil kira beberapa perkara.

 Gerakan mahu melihat pengajaran Sains dan Matematik diadakan dalam dwi-bahasa dengan penekanan terhadap Bahasa Inggeris di tingkatan lebih tinggi bagi menyediakan pelajar untuk ke peringkat selanjutnya.

 Permintaan lain yang diajukan ada kaitan dengan pelajar yang memiliki Unified Examination Certificate (UEC) dan subjek Sejarah yang bakal menjadi subjek wajib dalam kurikulum sekolah. Menurut Koh, Gerakan akan menganjurkan satu bengkel bagi membincangkan isu-isu mengenai PPPM dan akan mengemukakan cadangan konkrit mengenainya kepada kerajaan.

 Seramai 1,760 atau 76 peratus daripada keseluruhan jumlah perwakilan Gerakan menghadiri persidangan itu yang berakhir hari ini.

 Sementara itu, Koh berkata tidak wujud konflik antara badan induk parti dengan pergerakan Pemudanya berikutan keputusan pergerakan itu memboikot perbahasan atas dakwaan ia telah dipinggirkan badan induk. Sebagai sebuah parti politik yang mengamalkan demokrasi, anggotanya bebas untuk menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti, katanya kepada pemberita kemudiannya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger