Selepas PKR dengan bas jelajahnya, DAP pula semalam melancarkan jentera kempen serbagunanya semalam untuk memudahkan kempen pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
Treler merah yang dilancarkan di Seremban oleh setiausaha agungnya Lim Guan Eng itu dihiasi gambar enggang besar - UBAH- yang juga maskot DAP berserta tulisan "Ubah! Bersihkan Malaysia".
"Secara asasnya, treler ini akan menjadi pentas ceramah mudah alih yang dilengkapi latar belakang besar dan sedikit tata cahaya," kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke kepada Malaysiakini.
Loke yang juga ketua Pemuda DAP negeri berkata, treler yang diberi nama "Dream Machine" (Jentera Impian) itu juga bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai apabila melalui jalan raya terutamanya semasa tempoh berkempen pilihan raya.
Ditanya mengenai nama jentera itu, Loke menjawab: "Nama ini dicipta oleh setiausaha agung kami. Ia membawa maksud trak ini akan memberi kami harapan dan akan membantu merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk mengubah kerajaan."
Post a Comment