Headlines News :
Home » » Modal kerajaan DAP setiap hari menanam kebencian terhadap UMNO

Modal kerajaan DAP setiap hari menanam kebencian terhadap UMNO



MEMANG begitulah perangai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada malam Isnin lalu yang masih berterusan dengan riaknya. Nada angkuhnya untuk memberikan 'telur kosong' kepada Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada pilihan raya umum nanti bagaimanapun harus menjadi pembakar semangat kepada BN negeri itu.

Biarkanlah Guan Eng terus 'terjun dengan labunya'. Sedangkan kalau hendak dikira, terlalu banyak kekeliruan dalam pembangunan di Pulau Pinang. Dan kerana itu Guan Eng tidak sepatutnya bongkak dengan mengharapkan rakyat negeri itu terutamanya golongan profesional tidak kira daripada bangsa apa pun akan terus memberikan keselesaan kepada DAP untuk memerintah Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

Atau barangkali jugalah Guan Eng yang mendapat jolokan 'Khalifah Umar Abdul Aziz' ini 'dibakar' semangatnya setelah memperoleh sokongan penuh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada malam pelancaran kempen baru pakatan pembangkang yang menampilkan maskot burung kenyalang 'Ubah' - yang mana DAP Pulau Pinang kini serius mengumpul dana untuk jentera pilihan raya umumnya.

Berkata Mat Sabu pada majlis itu: "Saya lebih suka mempunyai saudara seperti Guan Eng, daripada ahli UMNO yang 'korup'."

Sebelum pergi jauh, marilah Guan Eng yang datang jauh dari Melaka, Mat Sabu dan Lim Kit Siang singkap perihal Pulau Mutiara yang cantik dan indah ini. Pulau ini ada kawasan bukit dan lembah. Ada pulau, laut dan darat, ada orang kaya, sederhana dan melarat. Ekonomi Pulau Pinang telah berkembang dengan pesat. Dahulu kawasan pertanian dan perkhidmatan interport, sekarang pula berkembangnya industri sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Dahulu sebelum merdeka, daripada 10 orang, tujuh atau lapan orang golongan miskin di kampung bertani berbanding nelayan. Cuma dua atau tiga orang bergaji tetap seperti guru, kerani dan pekerja am. Hanya dalam masa 50 tahun, kerajaan BN berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat di Pulau Pinang. Kalau daripada 10 orang, masih terdapat satu atau dua orang susah dan miskin, tetapi lapan orang lagi telah hidup selesa sederhana atau keluar daripada paras kemiskinan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang untuk 1970 hanyalah RM1.25 bilion meningkat ke RM17 bilion pada 2002, yakni dalam masa 30 tahun. Ia meningkat 30 kali ganda kepada RM32 bilion pada 2008 di bawah kerajaan BN. Bukan mudah memacu pertumbuhan ekonomi - 30 kali ganda dalam 40 tahun. Kalau kita tengok pelaburan asing, tahun 80-an > RM4 bilion, 90-an > RM20 bilion, tahun 2000 hingga 2008 > RM 40 bilion.

Sejak 1995, Pulau Pinang mencatat kedudukan antara 10 bandar raya terbaik Asia untuk didiami - bukan mudah nak dicapai tahap ini. Di bawah BN, ia berusaha selama 12 tahun tidak henti-henti sebelum mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai bandar raya Warisan.

Ini adalah hasil daripada kejayaan menyediakan infrastruktur untuk kemudahan rakyat dan perniagaan. Di Pulau Pinang, kedapatan lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa, pengangkutan darat yang cukup baik dengan lebuh raya. Demikian juga dengan jambatan Pulau Pinang dan jalan-jalan negeri dan persekutuan yang meliputi semua kawasan dan pasaran pekerja tempatan yang baik dan mudah didapati.

Di bawah Penang Skill Development Centre semasa ditadbir kerajaan negeri dahulu sejak 20 tahun, sudah dilatih 150,000 tenaga profesional untuk keperluan industri. Juga dipergiatkan latihan anak-anak muda dalam bidang vokasional dan teknikal di Perda Tech dan 14 Giatmara yang ada di setiap kawasan Parlimen di Pulau Pinang.

Di Pulau Mutiara ini, BN mencapai 100 peratus tenaga kerja yang digaji. Pekerjaan ada untuk semua asalkan tidak memilih kerja.

Dari segi perumahan pula, dalam masa 18 tahun sejak 1990 di bawah Kerajaan negeri dahulu, BN membina dan meluluskan untuk pembinaan 69,275 rumah kos rendah dan kos sederhana untuk rakyat di samping 4,614 untuk disewakan bagi yang kurang mampu.



Dalam membicarakan lebih menyeluruh mengenai kepincangan DAP di Pulau Pinang, penulis turut mendapatkan pandangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Kata beliau: "Cuma, masalah besar yang dihadapi rakyat Pulau Pinang hari ini adalah kerajaan DAP negeri itu yang seperti meletakkan keadaan Pulau Pinang tidak berubah. Tahun 2012 sama seperti tahun 2008. Time Stood Still. Waktu seperti tidak bergerak."

Zainal Abidin mendedahkan bahawa dari segi perumahan selama empat tahun ini, tiada sebuah rumah kos rendah atau kos sederhana rendah dibina atau siap dibina oleh kerajaan DAP. Kelulusan projek perumahan baru tidak diwajibkan lagi untuk membina 30 peratus komponen kos rendah seperti dipraktikkan dulu.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini hanya minat berpolitik. Setiap hari modalnya adalah menanam kebencian terhadap UMNO. Mereka yakin dengan terus mengajak rakyat membenci UMNO mereka akan terus berkuasa.


"Laporan Audit Negara 2010 menyebut Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hanya belanja 54 peratus peruntukan dan 46 peratus lagi tidak dibelanja, 23 projek ditangguh tidak siap seperti 6 projek besarkan masjid dan Sekolah Agama, 3 projek kubur orang Islam, 6 projek rumah murah, 2 projek mahkamah syariah dan lain-lain. Macam inikah kerajaan negeri yang rakyat mahukan?," kata Zainal Abidin.

Yang ketara ialah kerajaan DAP Pulau Pinang menyerah bulat-bulat pembangunan negeri Pulau Pinang kepada kerajaan Pusat. Mereka hanya berpolitik dan memaki hamun. Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat pentingkan rakyat Pulau Pinang.

"UMNO dan BN Pulau Pinang memohon meminta projek-projek untuk kemudahan rakyat tidak ditangguh hanya disebabkan UMNO dan BN tewas. Rakyat masih memerlukan pembangunan dan Kerajaan Pusat bersetuju bahawa semua projek pembangunan mesti berjalan seperti biasa seperti yang dirancang bersama kerajaan negeri dulu," kata Zainal Abidin lagi.

Hakikatnya, untuk empat tahun ini sahaja sejak 2008 hingga sekarang, Kerajaan Persekutuan BN telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM22.5 bilion untuk Pulau Pinang, seperti berikut:



- Projek- projek bawah RMK-9 > RM4 billion




- 1st rolling plan RMK-10 > RM1 billion


- Projek Mega Persekutuan berjumlah RM9.1 bilion melibatkan Jambatan Pulau Pinang Kedua (RM4.5 bilion), Landasan berkembar KTMB (RM2.7 bilion), Empangan Mengkuang (RM1.2 bilion) pembesaran lapangan terbang (RM0.3 billion), pelebaran Jambatan Pulau Pinang (RM0.4 bilion)




- Projek-projek kecil Persekutuan PIA dan PIAS > RM71.1juta.




- Projek Khas PM dan TPM (masjid, dewan, jeti, jambatan, rumah ibadat, gerai, sukan dan lain-lain > RM249 juta.


- Bayaran elaun guru Kafa, takmir, imam, penyelaras masjid dan lain-lain pentadbir ugama >RM40.8 juta


- Projek-projek bantuan rumah dan penjanaan pendapatan di bawah program pembasmian kemiskinan > RM12 juta.


-Pelbagai Belanja Mengurus Persekutuan untuk 86 Jabatan dan Agensi Persekutuan yang beroperasi di Pulau Pinang > RM8 bilion (RM2.2 bilion setahun dari 2008 hingga 2011).




Oleh sebab itulah, kerajaan DAP tidak wajar mendabik dada menyatakan pelaburan asing sudah masuk RM10 bilion ke negeri itu. Sedangkan sebahagian besar daripadanya adalah hasil Kerajaan Persekutuan menarik pelaburan di bawah MITI dan Mida dan prasarana infrastruktur yang dibina oleh Kerajaan Pusat.

Dalam ceramah dan majlis kerajaan DAP, parti itu acap kali menyatakan mereka jaga rakyat daripada belum lahir sampai ke hujung usia. Dengan memberi RM200 kepada mereka baru lahir dan RM100 kepada warga emas, kemudian RM1,000 apabila meninggal dunia, maka mudahnya mereka berpolitik.

Padahal, daripada bayi sampai ke hujung usia, siapa yang tanggung dan biaya? Itupun diberi kepada pengundi di Pulau Pinang sahaja, bukannya rakyat atau penduduk Pulau Pinang. Semuanya - mereka asaskan kepada kepentingan politik bukannya untuk kepentingan rakyat.




Apapun, penampilan Zairil Khir Johari pada malam Isnin lepas yang kononnya seorang setiausha politik berbangsa Melayu hanyalah gimik. Umum mengetahui siapa zairil dan kuasanya berbanding Ng Wei Aik, dituruti pula dengan kenyataan syok sendiri Kit Siang mengenai Nurul Izzah yang kononnya bakal Perdana Menteri Malaysia.




Ketidakhadiran tiga wakil rakyat India iaitu Karpal, Rayer dan Tanasekaran ke majlis tersebut juga menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah Guan Eng tidak dapat membela nasib kaum India yang membuatkan ketiga-tiga wakil rakyat India tersebut kecewa. Ini diperkuatkan lagi dengan ucapan Guan Eng pada malam itu yang menurutnya pakatan pembangkang memerlukan sokongan 90 peratus pengundi Cina dan 40 peratus Melayu tanpa menyebut sokongan kaum India. Adakah Guan Eng sudah tidak mahu sokongan kaum India. Kehadiran Prof. Rama mungkin kerana sudah takut dengan tindakan disiplin lagi.

Guan Eng perlu faham bahawa laungan CAT hanya slogan tanpa mempraktikkannya bakal membuatkan dia dan DAP tidak dapat memberikan 'telur kosong' kepada BN. Malah dengan sifat sombong dan bongkak inilah, Guan Eng akan membuatkan lebih ramai wakil rakyat BN Pulau Pinang mendapat sokongan rakyat negeri itu pada pilihan raya umum kali ini. UTUSAN
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger