Headlines News :
Home » » Guan Eng didesak hentikan projek kilang solar di Batu Kawan

Guan Eng didesak hentikan projek kilang solar di Batu Kawan




BUKIT MERTAJAM 19 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta menghentikan projek loji pengeluaran panel solar yang akan dibina di Batu Kawan kerana ia mengancam keselamatan penduduk di situ.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan berkata, pembinaan loji tersebut akan menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar dan menjejaskan kesihatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima bantahan daripada nelayan dan pengusaha makanan laut yang mendakwa kehidupan mereka akan tercemar dengan sisa toksik apabila loji panel solar dibina di situ.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri pakatan pembangkang yang sering melaungkan ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat negeri ini, sepatutnya mendapatkan pandangan rakyat sebelum melaksanakan projek itu.

"Pembinaan loji panel solar itu amat serius kerana kita ada pilihan untuk tidak membina kilang berkenaan di negeri ini.

"Kita sepatutnya mengambil pengajaran terhadap kejadian kebocoran loji di Jepun dan menyebabkan ia membahayakan keselamatan orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Perkhidmatan Awam Pemuda Gerakan negeri, Rich Too berkata, pihaknya tidak menentang teknologi solar tetapi proses untuk menghasilkannya boleh mencemarkan alam sekitar, seterusnya mengancam kehidupan jika pembuangan sisa toksik tidak dikendalikan dengan betul.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang kepada umum mengenai projek yang akan dijalankan oleh sebuah syarikat dari Jerman itu.

Difahamkan, loji pengeluaran panel solar tersebut akan dibina di Batu Kawan dengan pelaburan sebanyak RM2.2 bilion.

Syarikat dari luar negara itu dikatakan telah memulakan proses pembelian tanah seluas 32 hektar di kawasan tersebut bagi mendirikan loji.

Cheng Guan yang juga bekas ahli Parlimen Batu Kawan berkata, sebelum ini, tidak ada pun loji panel solar dibina di negeri ini.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger