Headlines News :
Home » , , » Panel siasatan oleh Guan Eng tak ikut prosedur

Panel siasatan oleh Guan Eng tak ikut prosedur



BUKIT MERTAJAM: Penubuhan Lembaga Siasatan Negeri oleh kerajaan DAP Pulau Pinang bagi menyiasat projek bangunan letak kereta bertingkat berharga RM5 juta di kaki Bukit Bendera, didakwa tidak mengikut prosedur.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ir Shaik Hussein Mydin, berkata ini kerana mengikut prosedur siasatan suatu projek bermasalah atau menerima aduan daripada pelanggan, lazimnya penubuhan panel penyiasat dilakukan Lembaga Arkitek Malaysia.

Justeru, dalam isu bangunan parkir di kaki Bukit Bendera itu, beliau berkata, pihak memiliki kepentingan iaitu kerajaan negeri tiada kuasa menubuhkan panel penyiasat, sebaliknya harus membuat aduan kepada Lembaga Arkitek Malaysia yang kemudian merujuk kepada Lembaga Jurutera Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.
“Panel penyiasat mesti bebas dan dalam hal berkaitan kesilapan profesional, ia harus dirujuk kepada lembaga profesional masing-masing. Kami bukan hendak pertikai kemampuan ahli panel penyiasat tetapi adakah mereka bebas kerana ia dipilih pihak berkepentingan.

“Siapa melantik ahlinya kerana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah perunding projek dan mempunyai kepentingan? Kenapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng, cepat-cepat hendak tutup isu ini dengan menubuhkan panel penyiasat sendiri? Mungkin beliau takut sesuatu terbongkar jika Kementerian Pelancongan sebagai pelanggan mengadu kepada Lembaga Jurutera Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini.

Awal bulan ini, kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan untuk meroboh, mereka bentuk dan membina semula tempat letak kereta bertingkat di kaki Bukit Bendera seperti dicadangkan Lembaga Siasatan Negeri.

Bangunan di tapak seluas 0.24 hektar itu mula menimbulkan kontroversi apabila tidak dapat digunakan orang ramai selepas gagal mendapat sijil layak menduduki daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) walaupun siap dibina Mac lalu.
Projek itu diluluskan pada 2007 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PDC Consultancy, iaitu anak syarikat PDC dipilih sebagai perancang, manakala pelan binaan pula diluluskan sekitar 2009.

Mengulas lanjut, Shaik Hussein berkata, pihaknya mendesak kerajaan negeri supaya lebih telus dan memudahkan proses bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri laporan penuh Lembaga Siasatan Negeri mengenai projek itu.

“Guan Eng memberitahu bahawa mereka yang mahu melihat laporan itu harus menghubungi pihak berkenaan terlebih dulu...ini tidak telus serta menyusahkan. Mereka harus menyiarkannya dalam media atau risalah seperti yang sering dilakukan.

“Biarkan rakyat melihat sendiri, terutama berkaitan keputusan merobohkan bangunan itu kerana lazimnya keputusan sedemikian adalah alternatif terakhir...rakyat mahu tahu sama ada terdapat alternatif lain yang lebih sesuai dilaksanakan,” katanya sambil menempelak Guan Eng menyalahkan pihak lain, sedangkan PDC Consultancy adalah anak syarikat PDC.

Share this post :

+ comments + 1 comments

Anonymous
December 15, 2011 at 12:41 AM

o

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger