UTUSAN: Sebagai Naib Presiden UMNO, apa yang ingin Datuk Seri katakan sempena perhimpunan kali ini?
MOHD. SHAFIE: Semua ahli UMNO mempunyai peranan masing-masing, tidak kira apa jawatan mereka dalam parti sama ada Presiden, Timbalan Presiden ataupun naib, asalkan ahli UMNO kita semua mempunyai peranan. Cuma kita selaku ahli parti yang berjawatan ini, ada beberapa perkara yang perlu lakukan, contohnya untuk memastikan supaya kita berjaya mempromosikan penyatuan, ini yang kita tekankan, perlu ada penyatuan dalam parti.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap perwakilan yang menyertai perhimpunan kali ini?
Saya berharap perhimpunan kali ini bukan hanya menjadi tempat untuk mengutarakan idea tetapi juga menjurus ke arah memperkuatkan perpaduan dan kesatuan ahli-ahli UMNO di semua peringkat. Selaras dengan kedudukan UMNO yang sedang menghadapi cabaran, maka perlu ada kesetiaan ahli-ahli kepada parti kita.
Kepada ahli-ahli UMNO, perkara pokok yang perlu kita pastikan adalah supaya kita kekal menjadi pemerintah negara ini dan untuk mengekalkannya, kita perlu berpadu serta berkhidmat agar rakyat akan sentiasa mendampingi kita menerusi sokongan.
Saya juga berharap ahli-ahli parti dapat menerima baik segala transformasi kerajaan, ekonomi dan politik yang sedang dilakukan. Bukan setakat memberi sokongan, kalau ada idea bernas yang kita hendak ketengahkan untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan transformasi dan perjuangan parti, maka ia boleh diketengahkan ketika perhimpunan.
Saya juga berharap para perwakilan tidak menjadikan perhimpunan ini sebagai gelanggang untuk mengkritik pemimpin tertentu atau menimbulkan isu masalah dalaman parti kerana terdapat tempat dan waktu lain untuk tujuan itu.
Ada tanggapan mengatakan UMNO semakin tersasar daripada perjuangan membantu Melayu melalui program transformasi ekonomi, sejauh mana kebenarannya?
Bagi saya ia sebenarnya tidak tersasar. Tujuan transformasi ini adalah untuk melahirkan usahawan yang betul-betul usahawan. Bukan usahawan semata-semata tetapi juga pengurus yang boleh mengurus tadbir, dia survivor, dia challenger yang boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang ini. Dan ini memerlukan kriteria-kriteria tertentu.
Mungkin ini kelihatan seperti satu sekatan atau halangan, tidak, sebenarnya ini penting bagi kita kerana kita harus melihat transformasi berpaksi kepada perubahan struktur ekonomi dan politik dunia yang ada.
Kita pada hari ini tidak boleh berpegang kepada sistem ekonomi yang ada (kini) sama dengan yang dahulu. Jika kita sediakan ramai penerima bantuan tetapi esok mereka ‘ali baba’ macam mana? Kita bagi kontrak kepada mereka, mereka tidak laksanakan dan subkontrak pula kepada orang lain. Jadi selama mana kita boleh pastikan bahawa kejayaan untuk melahirkan golongan Melayu bumiputera yang ada daya tahan mereka dalam bidang ekonomi. Ini transformasi. Tetapi jika hendak menyatakan bahawa kita meninggalkan orang Melayu, itu sebenarnya tidak tepat.
Apakah mesej kepada orang muda dalam negara?
Saya berharap supaya semua anak-anak muda negara kita akan terus bersama-sama kita kerana saya yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang boleh dipercayai untuk terus memacu negara ke hadapan.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, bagi suku penggal yang ketiga, kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus, itu bukan mudah. Kerana dalam keadaan ekonomi dunia yang lembap kerajaan juga masih lagi berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan ini menunjukkan ekonomi negara ini telah diuruskan dengan begitu baik.
Kita amat memerlukan sokongan generasi muda supaya ekonomi negara dapat terus dimantapkan dan kestabilan politik dikekalkan dengan cara mereka menyumbang idea-idea dan pandangan menerusi platform yang telah disediakan.
Bagaimana cara untuk menarik sokongan orang muda terhadap parti?
Sebenarnya telah banyak yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan lain untuk mendampingi generasi muda. Bukan sahaja menerusi media sosial seperti Facebook malah mereka juga dijemput untuk menghadiri majlis makan tengah hari. Bukan itu sahaja, Perdana Menteri juga telah menonton dan bermain bola sepak dengan golongan muda terbabit.
Saya sendiri bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan para pelajar. Saya gembira kerana anak muda ini telah menunjukkan sifat matang dan sikap ingin tahu. Mereka juga ingin memberi pandangan kerana sayangkan negara ini.
Kita akan terus mendampingi generasi muda khususnya yang berusia antara 21 hingga 40 tahun kerana mereka mewakili 38.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi. Ini adalah satu jumlah yang besar dan kita perlu mempunyai pendekatan untuk mendampingi mereka termasuk menganjurkan karnival kerjaya seperti dilakukan Pemuda Barisan Nasional (BN).
Setakat ini bagaimana kejayaan usaha meremajakan UMNO?
Alhamdulillah ia berjalan dengan baik. Kita dapat melihat penglibatan banyak generasi muda dalam pendekatan yang kita lakukan. Proses peremajaan yang kita lakukan dengan mendampingi anak-anak muda banyak sebenarnya supaya mereka juga terbabit dalam melontarkan, memberi pandangan. Contohnya, apabila Yang Berhormat Presiden menyelesaikan masalah, mengatasi keperluan masyarakat anak muda hendak memiliki perumahan dan itu suara yang diutarakan oleh anak muda kita menerusi landasan Pemuda (BN) dan ia diadunkan dengan pelaksanaan skim perumahan mampu milik di peringkat ini.
Ini bukan sahaja tarikan, tetapi langkah atau proses meremajakan perjuangan. Dan di peringkat akar umbi kita lihat bahawa usaha menggalakkan anak-anak muda yang layak untuk berpolitik memang berjalan lancar dengan menempatkan mereka di landasan-landasan yang sepatutnya.
Boleh Datuk Seri berkongsi pengalaman sebagai Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO?
Kita sebenarnya telah melakukan banyak usaha bukan sahaja menerusi parti tetapi badan-badan lain juga terbabit dan saya berharap supaya proses ini akan dapat terus dilakukan oleh parti kita sama ada UMNO atau komponen BN lain. Kita terus meningkatkan usaha kerana proses ini berterusan, tidak bererti bahawa kita harus berhenti kerana Pilihan Raya Umum (PRU) sudah dekat, PRU dekat pun kita tidak tahu bila.
Jadi proses pendaftaran pemilih ini berlangsung, cuma mungkin pamerannya, ada satu ketika bila ia digazetkan maka itulah boleh dipakai, hari ini kita daftar kalau esok bubar tidak boleh pakai. Sehingga ia digazetkan, tetapi dalam pada itu kita tidak boleh beranggapan bahawa esok itu PRU.
Ia hak kita sebagai para pengundi jadi saya melihat bahawa sokongan anak-anak muda dalam banyak pilihan raya kecil yang diadakan, kita tidak boleh nafikan saluran-saluran tiga dan empat ada peningkatannya. Dan keadaan ini saya harap menggalakkan kepada peningkatan anak-anak muda berdaftar sebagai pengundi kerana ia boleh menguatkan sokongan kepada kita dalam masa akan datang.
Apakah pandangan terhadap langkah membenarkan portal propembangkang membuat liputan perhimpunan?
Sebenarnya kalau kita adakan secara tertutup dengan menghalang portal propembangkang membuat liputan ia hanya setakat di dewan sahaja sedangkan wartawan mereka masih boleh mengikuti segala apa yang dilontarkan oleh para perwakilan di skrin televisyen di luar dewan.
Saya juga berpendapat, tidak harus ada apa yang kita hendak selindungkan, kerana kita adalah parti yang boleh dipercayai dan telah berjaya membentuk kerajaan yang berwibawa. UMNO bukan seperti parti pembangkang yang cakap depan lain manakala belakang lain. Mereka mendakwa parti yang demokratik tetapi hendak bercakap pasal hudud pun tidak boleh.
Dengan membenarkan liputan dibuat oleh semua pihak, ia akan membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk mengenali UMNO khususnya para pengundi supaya mereka merasakan boleh meletakkan harapan dan kepercayaan kepada parti untuk terus memimpin negara kita.
Adakah Datuk Seri merasakan parti telah berjaya memperjuangkan nasib bumiputera miskin?
Telah banyak langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk menerusi agensi-agensinya seperti Risda dan Felcra yang menyediakan tanah dan benih kepada orang miskin untuk menanam getah dan kelapa sawit.
Kita juga menyediakan bantuan perumahan dan kemudahan infrastruktur. Dalam bidang perniagaan, selain melatih usahawan bumiputera dalam bidang tertentu, kita juga membina dan membeli premis perniagaan untuk disewa kepada mereka dengan kadar yang cukup rendah.
Di samping itu, kita melatih mereka dengan kursus keusahawanan, pemasaran, penjenamaan barangan dan perakaunan. Kita juga memberikan pinjaman menerusi pelbagai kaedah.
Walaupun telah banyak yang dilakukan, kita tidak menganggap ini mencukupi, sebaliknya kita akan melakukan lebih banyak lagi penambahbaikan bagi meningkat pembelaan kita terhadap masyarakat bumiputera dan orang Melayu.
Kita juga tidak melupakan bumiputera miskin di bandar dan pinggir bandar. Dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat kita turut memberikan bantuan kewangan dan rumah kepada mereka.
Apakah nasihat kepada bumiputera yang menyewa semula premis perniagaan kepada rakyat asing?
Saya telah meminta Ketua Pengarah Mara untuk memantau perkara ini supaya ia tidak berterusan. Apa yang berlaku ini bertentangan dengan tujuan asal kita untuk memastikan orang Melayu mendapat ruang perniagaan.
Sewa ruang perniagaan di Kuala Lumpur misalnya adalah cukup tinggi, jadi kalau ada perlakuan ‘ali baba’ kita akan ambil tindakan dan memberikan kepada orang lain kerana ramai lagi bumiputera yang sedang menunggu untuk mendapatkan premis perniagaan.
Post a Comment