UTUSAN: Apakah berasas tuduhan bahawa dasar terbaru kerajaan telah meminggirkan orang Melayu dan bumiputera?
MUSTAPA: Ini adalah tidak benar. Agenda untuk memastikan bahawa orang Melayu dan bumiputera juga dapat menyertai kemajuan ekonomi akan terus diperjuangkan.
Sebab itu salah satu tujuan diperkenalkan MBE adalah untuk memperjuangkan prinsip keterangkuman. Prinsip ini merujuk kepada komitmen kerajaan untuk memastikan faedah pembangunan dinikmati oleh semua pihak di negara kita dan dalam konteks ini agenda memperjuangkan nasib bumiputera masih lagi relevan kerana ramai bumiputera yang kini hidup di bawah paras kemiskinan dan tidak mendapat kemudahan-kemudahan tertentu yang disediakan oleh kerajaan.
Terdapat juga bumiputera yang memerlukan bantuan dalam bidang keusahawan dan sebab itu kerajaan telah menubuhkan Teraju. Jadi kita ingin tekankan bahawa memang telah menjadi perjuangan pentadbiran kerajaan sekarang dan UMNO untuk mengangkat martabat dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera. Ini termasuk dalam bidang perusahaan kecil dan besar yang diberi perhatian oleh Teraju manakala dalam bidang pendidikan dan keusahawan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Kita tahu bahawa dari segi pegangan ekuiti orang Melayu dan bumiputera, kita masih belum mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh DEB, maka kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan pegangan ekuiti ini.
Apakah komen dengan kritikan pelbagai pihak terhadap Teraju yang dianggap kurang berkesan untuk membangunkan ekonomi bumiputera?
Teraju baru ditubuhkan, sudah pasti ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan lagi tetapi dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan kerajaan dan dengan bimbingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri kita yakin Teraju mampu memperjuangkan agenda membangunkan ekonomi bumiputera.
Bagi mempermudahkan lagi kerja-kerja Teraju kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepadanya. Antara tumpuan Teraju adalah untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera. Ia bersama-sama SME Corp sedang mengenal pasti kira-kira 1,000 PKS bumiputera yang boleh diangkat martabat mereka supaya mereka dapat berkembang menjadi syarikat yang lebih besar dan menembusi pasaran global.
Adakah Datuk Seri bersetuju dengan cadangan supaya Teraju diketuai oleh seorang menteri?
Sebenarnya, Teraju telah diberikan satu kedudukan yang istimewa kerana ia melaporkan terus kepada Perdana Menteri. Terdapat juga satu lembaga yang ditubuhkan bagi memantaunya yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri tertentu yang ada kaitan dengan agenda untuk memajukan penglibatan bumiputera dalam pelbagai bidang.
Oleh itu pada masa ini, kita rasa tidak berbangkit isu Teraju perlu diketuai oleh seorang menteri kerana Perdana Menteri sendiri yang mengawasi dan memantau dengan teliti kemajuan Teraju.
Terdapat kebimbangan penubuhan Teraju hanya akan menguntungkan golongan bumiputera yang rapat dengan ahli politik tertentu sahaja?
Pendekatan membangunkan bumiputera dalam MBE ini berbeza kerana kerajaan akan memberikan perhatian kepada syarikat dan individu yang layak berasaskan meritokrasi.
Kalau dulu mungkin pemilihan yang dibuat itu ada kelemahannya, tetapi di tahun- tahun mendatang ini, pemilihan akan lebih telus dan berasaskan kepada meritokrasi. Ini bermakna syarikat yang akan dipilih untuk dibangunkan termasuk oleh Teraju merupakan syarikat yang benar-benar layak untuk memastikan bahawa mereka boleh berjaya dalam dunia korporat.
Apa pandangan dengan dakwaan kaum lain bahawa DEB hanya menguntungkan orang Melayu dan bumiputera?
Sebenarnya DEB sudah berakhir dan sekarang ini yang ada adalah semangat DEB dalam MBE. DEB dan semua dasar-dasar kerajaan telah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan ini tidak harus dipertikaikan.
Dalam pelajaran umpamanya, kerajaan telah membuka ruang kepada universiti swasta untuk ditubuhkan dan ini telah membolehkan rakyat Malaysia daripada semua kaum untuk mengikuti pengajian di peringkat lebih tinggi.
Dalam bidang ekonomi, walaupun mungkin bumiputera mendapat beberapa faedah daripada DEB, tetapi ia dikongsi bersama oleh rakan-rakan kita kaum lain, umpamanya seorang kontraktor bumiputera mendapat projek, dia kena beli barang keperluan pembinaan daripada syarikat yang dimiliki bukan bumiputera.
Begitu juga dalam bidang pekerjaan profesional, tidak semestinya semuanya 100 peratus adalah bumiputera.
Kita harap rakyat Malaysia akan faham bahawa kita perjuangkan kepentingan semua kaum, tetapi oleh kerana golongan bumiputera masih lagi ketinggalan, maka harus ada usaha-usaha khusus yang tersusun untuk kita memajukan kepentingan ekonomi mereka termasuk ditubuhkan Teraju.
Adakah kerajaan serius membangunkan taraf hidup golongan muda bumiputera berusia 21 hingga 35 tahun?
Untuk golongan muda, dua perkara telah diberi penekanan iaitu pendidikan dan pekerjaan. Peluang pendidikan, ia disediakan seluas-luas oleh kerajaan termasuk menerusi penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Kita menjanjikan setiap rakyat Malaysia yang dapat masuk universiti akan mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga pemberian biasiswa khususnya untuk bumiputera oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Mengenai peluang pekerjaan, walaupun keadaan ekonomi dunia lembap kita berusaha memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara antara lima dan enam peratus serta kadar pengangguran yang rendah.
Peluang pekerjaan ini adalah yang berkualiti. Ini boleh dicapai berikutan pelaburan baru yang sedang kita usahakan adalah pelaburan berkualiti yang akan menjana peluang pekerjaan yang memerlukan khidmat individu profesional dan yang berkemahiran tinggi.
Projek permulaan (EPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri juga bakal mewujudkan 389,000 peluang pekerjaan. Berikutan kurangnya publisiti untuk membolehkan golongan muda tahu peluang pekerjaan banyak yang disediakan kerajaan maka Pemuda BN juga telah menganjurkan karnival kerjaya.
Apakah mesej Datuk Seri kepada perwakilan UMNO yang akan membahaskan usul ekonomi?
Kita perlu beri kepercayaan kepada pemimpin kita Datuk Seri Najib. Kepada orang Melayu dan bumiputera jangan bimbang kerana kerajaan amat peka dengan kepentingan mereka. Kita tahu mereka masih lagi terkebelakang dalam beberapa bidang termasuklah dalam sektor korporat dan sebab itulah ditubuhkan Teraju.
Dalam erti kata lain, agenda untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera akan terus segar dalam UMNO dan kerajaan. Kita juga berharap mereka akan mengambil peluang sepenuhnya daripada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Post a Comment