Headlines News :
Home » , , » Kerajaan BN dahulukan rakyat , peruntukan RM 1.5 juta bantu mangsa banjir bina rumah baru

Kerajaan BN dahulukan rakyat , peruntukan RM 1.5 juta bantu mangsa banjir bina rumah baru



BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukkan tambahan RM1.5 juta bagi pembinaan 64 rumah pasang siap untuk mangsa banjir Kampung Manggis yang dijangka siap sebelum Aidilfitri tahun depan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas meluangkan masa 15 minit melawat Tapak Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Manggis di sini, Sabtu lalu.

Peruntukkan itu diberi melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hanya meluluskan RM4.8 juta untuk 48 pemohon yang memenuhi syarat.

Bagaimanapun, baki 16 permohonan lagi masih diteliti kerana pemohon mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan pembersihan, pengukuran tapak dan penyediaan infrastruktur bermula minggu ini sebelum SPNB memulakan projek Mac 2012.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa projek berkenaan akan disiapkan mengikut jadual.
“Kita (Kerajaan Persekutuan) turut meluluskan peruntukkan RM1.5 juta bagi membolehkan 16 pemohon yang masih dalam proses memperoleh rumah kerana mereka juga mangsa banjir.

“Setiap rumah yang berharga RM75,000 mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu yang keluasan 1,000 kaki persegi,” katanya.

Mereka yang berjaya mendapat rumah itu perlu membayar dua pertiga daripada kosnya kerana satu pertiga ditanggung oleh Kerajaan Pusat. Mereka hanya perlu membayar RM175 sebulan.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) Kuala Tasik dan Kampung Manggis, Rahim Saad.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukkan RM6.3 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan bagi pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran membuat pengumuman itu ketika melawat sekolah itu, Sabtu lalu, sekali gus menyelesaikan masalah sekolah itu yang sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“Perkara ini dikemukakan kepada saya sejak setahun lalu oleh Barisan Nasional (BN) negeri menerusi MIC dan pada peringkat awal saya luluskan peruntukan RM1.7 juta.

“Tapi peruntukan itu tidak mencukupi kerana bangunan ini memerlukan kemudahan tambahan seperti kelas dan lain-lain. Justeru peruntukkan tambahan sebanyak RM4.6 juta diluluskan menjadikan jumlah keseluruhan RM6.3 juta,” katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Baru SJKT Ladang Batu Kawan pada hari sama.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Perhubungan MIC negeri, Datuk PK Subbaiyah.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger