Headlines News :
Home » , » Penduduk Batu Feringgi bantah pembinaan kondo 22 tingkat diluluskan kerajaan DAP

Penduduk Batu Feringgi bantah pembinaan kondo 22 tingkat diluluskan kerajaan DAP




BATU FERINGGHI - Bagaimana sebuah kondominium 22 tingkat boleh dibangunkan atas sebidang tanah kecil serta di lereng bukit bersebelahan jalan utama ke Batu Feringghi?

Itulah yang disuarakan oleh lebih 100 penduduk Mount Pleasure, Batu Feringghi yang membantah projek pembinaan kondominium di lereng bukit berdekatan Jalan Pantai Batu yang terletak kurang dari 150 meter dari kediaman mereka.

Jurucakap penduduk Kondominium Mount Pleasure, Dr P Sundramoorthy berkata, mereka bimbang jika kondominium itu kelak akan menjejaskan persekitaran dan menyifatkannya tidak sesuai untuk didirikan di kedudukan berkenaan.

“Pembangunan itu bakal menjejaskan persekitaran hutan dan mengganggu ketenteraman kami di sini serta nilai rumah pula akan jatuh menjunam. Ia juga boleh memberi kesan berikutan kawasan yang curam dan sempit.

“Projek itu juga akan menyebabkan berlakunya gegaran dalam tanah hingga mengancam kediaman penduduk sekitar serta boleh menyebabkan berlakunya kejadian yang tidak diingini. Kita tidak mahu kejadian Highland Towers berulang di sini,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, pembinaan kondominium itu juga akan memadatkan lagi persekitaran. Dari pemerhatian penduduk kawasan curam yang dijadikan projek mewah terbabit tidak mampu menahan bangunan setinggi itu.

“Bayangkan projek setinggi 22 tingkat dibina di cerun bukit. Ia boleh membahayakan semua pihak termasuk pengguna jalan raya untuk ke Batu Feringghi terutama musim hujan lebat. Kebanyakan penduduk di kawasan ini bimbang projek pembangunan atas bukit yang diluluskan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu akan mengundang padah jika berlaku tanah runtuh,” katanya.

Sundramoorthy berkata, mereka sudah mengemukakan surat bantahan dua kali kepada MPPP iaitu pada 15 Januari 2010 dan 14 Oktober 2010. Namun sehingga kini tiada jawapan atau tindakan.

“Projek pembangunan yang diluluskan itu juga tidak mematuhi garis panduan ditetapkan kerana cerun bukit melebihi 35 darjah. Sudah dua kali kami mengemukakan surat bantahan namun apa yang kami dapat amat mengecewakan. Oleh itu, esok, sekali lagi kami akan mengemukakan surat bantahan dengan ditandatangani lebih 100 penduduk.

“Kami memberikan tempoh selama dua minggu bermula esok dan sekiranya bantahan itu tidak diberitahu secara telus, kami akan membuat bantahan mengikut undang-undang pula,” katanya.

Difahamkan, pembinaan kondominium dicadangkan 37 tingkat tetapi diubah kepada 22 tingkat selepas penduduk menghantar memorandum bantahan pada Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, memorandum bantahan kedua Oktober lalu supaya kelulusan projek dikaji semula, ditolak.
Share this post :

+ comments + 1 comments

Anonymous
January 18, 2016 at 9:11 PM

Apa bantah ! dulu masa PRU 13 semua sokong ! SEKARANG SOKONG LA LAGI.....

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger