Headlines News :
Home » , , » Isu rumah : BN P.Pinang cabar Guan Eng dedah jumlah sebenar yang dibina

Isu rumah : BN P.Pinang cabar Guan Eng dedah jumlah sebenar yang dibina



KEPALA BATAS 1 Ogos - Barisan Nasional (BN) negeri mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan secara terperinci jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang didakwa diluluskan pembinaannya di negeri itu sepanjang tiga pemerintahan pakatan pembangkang di Pulau Pinang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ia kerana, kenyataan mengenai perkara itu seperti yang disiarkan termasuk dalam blog Guan Eng semalam sangat meragukan.

Menurutnya, kenyataan itu menyebut kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan 11,596 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah berharga antara RM42,000 hingga RM72,000 sejak tiga tahun lalu dengan 3,421 daripadanya dibina oleh 'kerajaan'.

"Jadi kita sangat berminat untuk mengetahui sama ada rumah tersebut dibina oleh kerajaan negeri atau agensi di bawahnya atau dibina oleh Kerajaan Persekutuan?

"Dan jika benar kerajaan negeri ada membina sendiri rumah-rumah ini, sila nyatakan di mana lokasi serta siapa pemaju dan pembelinya," katanya kepada pemberita selepas menyertai tinjauan mesra BN negeri di Bazar Ramadan Kepala Batas di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Zainal Abidin sebelum ini mengkritik kerajaan negeri yang didakwa mengamalkan birokrasi dalam memberi kelulusan terhadap projek perumahan yang ingin dilaksanakan agensi Kerajaan Persekutuan berbanding permohonan yang dibuat pemaju swasta.

Menurutnya, kerajaan negeri juga dilihat 'liat' memberi kelulusan pembinaan rumah tersebut terutamanya melibatkan perumahan kos rendah dan sederhana.

Bagaimanapun, Guan Eng dalam blognya menafikan dakwaan itu sambil menyatakan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan perumahan kos rendah dan sederhana dibina di Pulau Pinang.

Zainal Abidin bagaimanapun berkata, penjelasan Guan Eng berhubung perkara itu mencetuskan lebih banyak tanda tanya khususnya mengenai peranan kerajaan Pusat dalam membina perumahan rakyat di negeri itu.

"Setahu saya, Kerajaan Pusat melalui agensinya telah dan sedang membina 1,500 unit rumah kos rendah dan sederhana di Pulau Pinang. Persoalan sebenar yang saya utarakan minggu lalu adalah berapa banyak jenis itu yang telah dibina oleh kerajaan negeri, itu sahaja," katanya.

Tambah beliau, tindakan kerajaan negeri yang sewenang-wenangnya menaikkan bayaran premium tanah dan caj-caj berkaitan pembangunan projek perumahan telah menyebabkan harga rumah di Pulau Pinang melonjak beberapa kali ganda sejak tiga tahun lalu.

''Bila bayaran premium tanah serta caj dinaikkan sewenang-wenangnya, maka pemaju akan menaikkan harga rumah yang ingin dijual dan beban itu diletakkan kepada bakal-bakal pembeli," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger