KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman menyelar dasar pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang ternyata gagal membela nasib rakyat terbanyak di negeri itu.
Selain kegagalan melunaskan banyak janji yang ditaburkan pada pilihanraya umum lalu, tegas beliau kerajaan DAP Pulau Pinang juga jelas gagal membuktikan pentadbiran yang kononnya mengamalkan dasar Cekap, Akautabiliti dan Telus (C.A.T).
Katanya selama tiga tahun memerintah, kerajaan DAP Pulau Pinang hanya dilihat mahu menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang popular di mata rakyat dengan pelbagai tipu muslihat.
Apa yang kerajaan DAP Pulau Pinang lakukan untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pembangunan negeri…? Tidak ada satu pun yang mereka lakukan melain meneruskan apa jua yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Yang mereka buat ialah memancing hati rakyat dengan pemberian bantuan RM100 untuk warga emas dan yang terbaru kepada bayi yang baru lahir… itupun hanya diberi kepada mereka yang menjadi pengundi di negeri tersebut sedangkan kerajaan BN membuat lebih banyak kebajikan tanpa mengira warna kulit, latar belakang mahupun sama ada ia pengundi atau tidak.
“Pemberian RM100 hanyalah satu tindakan populis…. mereka sudah tidak perlu fikir bagaimana nak bina hospital, sekolah, jalan raya dan lain-lain lagi kerana semua disediakan kerajaan pusat… yang mereka perlu buat macam mana nak nampak popular..itu saja. Sebab itu selama tiga tahun ini ramai peniaga kecil dihalau dan lebih malang lagi tidak ada sebuah rumah kos rendah pun yang dibina kerajaan DAP Pulau Pinang untuk rakyat yang tidak berkemampuan”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di sini.
Tegasnya lagi sebagai kerajaan negeri yang kononnya bertanggungjawab dan mengamalkan pentadbiran CAT, mereka sepatutnya mengkaji latar belakang sosio ekonomi rakyat negeri ini dalam membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.
“Hakikatnya 60 ke 70 peratus penduduk di Pulau Pinang tidak kira kaum hanya mampu memiliki rumah kos sederhana ke bawah. Kerajaan yang bertanggungjawab haruslah menyediakan keperluan rakyat mengikut semua peringkat. Bukannya hanya tertumpu kepada satu peringkat sahaja dan hanya mementingkan tuntutan pasaran luar semata-mata.
“Ramai penduduk di sini adalah pekerja industri, kakitangan awam, peniaga kecil yang rata-ratanya berpendapatan kecil dan sederhana. Jika kerajaan negeri tidak menyediakan sekurang-kuranga rumah mampu milik di manakah mereka mahu tinggal?
“Keghairahan kerajaan DAP Pulau Pinang membina rumah yang berharga RM350 ribu ke atas memperlihatkan kecenderungan mereka untuk menghalau rakyat miskin atau yang tidak berkemampuan keluar dari negeri itu. Mungkin itulah agenda tersirat mereka,” terangnya.
Justeru beliau berharap agar rakyat di Pulau Pinang tidak dikelabui atau terpedaya dengan pemberian wang RM100 itu kerana ia jelas bermotifkan politik kotor untuk menutup kegagalan kerajaan DAP menjaga kebajikan rakyat dalam erti kata sebenar.
“Kerajaan DAP hanya beri RM100 walhal sebelum seseorang bayi itu dilahirkan, ibu mengandung telah pergi ke klinik, dapat ubat subsidi, bila lahir, kos hospital pula murah kerana ditanggung kerajaan. Bila anak mula bersekolah, buku percuma malah pelbagai bantuan dihulurkan sehingga mereka ke universiti.
“Bila kita bangun pagi, nak buat air dan buka gas, dah subsidi gas. Nak buat nasi goreng dah subsidi beras, nak buat kopi, gulanya subsidi dan pelbagai lagi malah apabila meninggal dunia pun van jenazah juga ada yang wakil rakyat sediakan. Tetapi semua ini dilupakan hanya kerana bila bayi lahir, dapat RM100 atau bila sudah tua dapat RM100”, ujarnya.
Tegas beliau harga dan maruah diri bukan begitu murah untuk dibeli dengan hanya RM100.
“Tetapi pemberian itu diberi, terimalah tapi nilaikan jasa kerajaan DAP dengan ratusan ganda nilai yang diberi oleh kerajaan Persekutuan. Orang boleh bagi bantuan kepada kita tetapi orang tak boleh beli harga diri kita.
”Pandanglah ke kiri, kanan, depan dan belakang. Lihat apa yang telah kerajaan Persekutuan sediakan selama ini untuk rakyat. Nilai sebaik mungkin dan jangan mudah terpedaya dengan sandiwara DAP,” ujar beliau. –MediaUMNO
Post a Comment