Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya lebih banyak demonstrasi jalanan diadakan pada masa depan bagi mengecam kepimpinannya di Pulau Pinang kerana DAP sendiri mempromosikan perhimpunan haram seumpama itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) berkata, sokongan terbuka terhadap perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membuktikan Guang Eng sendiri mendukung penganjuran demonstrasi jalanan.
''Sama juga dengan perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengecam kepimpinannya (Guan Eng) baru-baru ini, ia juga suara rakyat yang mahu DAP lebih adil dalam melaksanakan dasar-dasar pentadbirannya.
''Apa beza tuntutan-tuntutan ini? Sepatutnya Guan Eng jangan salahkan sesiapa jika ada lagi perhimpunan begini kerana dia sendiri menjadi dalang yang membudayakan demonstrasi jalanan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengedaran risalah dipercayai oleh kerajaan negeri yang mengutuk perhimpunan lebih 1,500 ahli NGO sekitar Pulau Pinang sebagai membantah kepimpinan Guan Eng baru-baru ini.
Risalah itu antara lain menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai usaha memburuk-burukkan imej kerajaan DAP pimpinan Guan Eng melalui perarakan di jalan raya.
Musa bagaimanapun m
engibaratkan Guan Eng dan barisan kepimpinan kerajaan negeri seperti 'meludah ke langit terkena muka sendiri' kerana mengecam perhimpunan itu tetapi pada masa sama menyokong demonstrasi jalanan Bersih di ibu negara.
''Malah, Guan Eng dan rakan-rakannya dalam satu ceramah baru-baru ini sudah beria-ia pula mahu mengadakan perhimpunan Bersih ketiga. Jelas, mereka sebenarnya yang mempromosikan perhimpunan haram demi kepentingan politik semata-mata," tegasnya.
Beliau juga menarik perhatian ucapan Guan Eng dalam ceramah berkenaan yang memuji serta mengangkat peserta demonstrasi jalanan Bersih sebagai wira kerana berani bangkit menuntut perubahan.
''Tetapi peserta perhimpunan yang menuntut perubahan di negerinya sendiri dilabel dengan bermacam-macam cacian malah dituduh pengganas. Inikah gaya kepimpinan yang kononnya sentiasa mendengar keluhan rakyat," soalnya.
Post a Comment