DATUK Zainal Abidin Osman dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang sejak enam bulan lalu mengambil alih tempat yang dikosongkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi . Keputusan Majlis Tertinggi ini dilihat ada kaitan dengan demam dan persiapan UMNO menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan dalam waktu terdekat ini . Sekaligus ia memberi ruang dan peluang kepada anak tempatan memimpin UMNO negeri semula manakala UMNO pusat pula bertindak sebagai pemerhati dari jauh yang serba prihatin. Sebagai anak tempatan, Zainal tentu lebih arif tentang permasalahan rakyat sama ada cina ataupun India lebih-lebih lagi penduduk berbangsa Melayu di Pulau Pinang.
Zainal bukanlah muka baru dan tidak dianggap “novice” dalam politik. Sebelum tewas didalam pilihanraya umum 2008 di kawasan Nibong Tebal, beliau ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Ketua UMNO bahagian berkenaan. Umumnya Zainal telah tidak terlantik ke jawatan lama iaitu jawatan timbalan menteri adalah kerana kekalahan itu namun bagi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, kekalahan itu hanyalah diperingkat pilihanraya. Jika ia diibarat satu perjalanan dari KL ke Georgetown, seorang itu terpaksa berhenti rehat di r&r yang terdapat di lebuhraya utara selatan sebelum meneruskan perjalanan. Ia samalah seperti Zainal yang terpaksa mengambil cuti rehat selaku wakil rakyat.
Prestasi Zainal tidak terjejas malah api perjuangan yang membara didalam jiwanya sejak BN hilang kuasa pemerintah memantapkan lagi komitmen untuk merampas semula negeri kelahirannya itu. Dalam pilihanraya lalu, Zainal tewas kepada calon DAP dengan kelebihan 3,087 undi dengan mendapat 17,123 undi. Walaupun kalah dalam pilihanraya bintang politiknya tetap bersinar apabila dalam perhimpunan agong 2009 beliau terpillih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO 2009-2011.Dilihat sebagai agak “shy” serta tidak terlalu gelojohkan publisiti, Zainal sering mendahulukan tugas dari merencanakan agenda politiknya. Malah dalam interbiu dipejabatrnya di tingkat 7 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah baru-baru ini, Zainal mengakui sejak dulu lagi, BN dan UMNO negeri tidak gemar mendabik dada dan kurang mengemari budaya menunjuk-nunjuk. Kerana itu katanya rakyat tidak nampak jasa-jasa BN dan UMNO. Perubahan yang sedang dan bakal dibawa akan memperlihatkan BN dan UMNO negeri bukan lagi bersikap defensive. Namun dalam konteks menghadapi perubahan stail dan arah perjuangan, dibahunya tergalas tugas besar UMNO negeri bersama-sama BN untuk mengusir Lim Guan Eng dari kerusi Ketua Menteri serta mendapatkan semula kuasa pemerintah.
Baru-baru ini dua wakil Agendadaily, Rosli Ismail dan Yusof Harun berpeluang menemui dan mengadakan temubual di pejabatnya dan berikut ialah interbiu yang kami siarkan sepenuhnya.
Soalan: Senario politik Pulau Pinang pada masa ini, boleh Datuk beri pandangan?
Datuk Zainal: Suasana politik di sini agak panas kerana DAP dilihat mengelabah. Isu-isu lama konon UMNO parti rasis atau perkauman dijaja dimerata tempat bagi menakut-nakutkan orang-orang Cina dan india.
UMNO digambarkan macam big brother ataupun terlalu control sangat komponen lain. Tetapi lojiknya apakah begitu? Kalau demikian masakan orang-orang Cina di sini boleh membina kilang dan gudang serta membuka perniagaan besar.
Yang mengeciwakan ialah tuduhan bahawa MCA dan Gerakan di negeri ini menjadi kuda tunggangan UMNO. Nak jadi kuda tunggangan macam mana kalau kita hanya ada 15 kerusi di dewan negeri berbanding dengan 25 dikuasai Gerakan dan MCA. Dan saya nak tanya mereka bolehkah dengan hanya 15 kerusi kita menjadi big brother dan mengarahkan kedua-dua parti itu mengikut rentak kita.
Dan seperkara lagi, 33 peratus pengundi di sini ialah Melayu berbanding selebihnya bukan Melayu; kalau kita fikir secara rasional apakah kita boleh menguasai mereka.
Fakta ini penting kerana sebab itu kita kena bercerita hal-hal seperti ini kepada mereka kerana mereka begitu berprasangka.
Dalam kontes ini nak saya jelaskan saya bukan saja hendak menjadi pemimpin kepada ahli-ahli UMNO disini, saya juga nak jadi pemimpin BN. Tanggungjawab saya bukan saja sebagai Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang tetapi selebih itu saya juga Timbalan Pengerusi BN negeri. Maka menjadi harapan kami untuk melihat UMNO dan BN menang didalam pilihanraya umum ke13.
Kita harus akur kalau UMNO menang semuapun UMNO tak boleh perintah negeri ini, justeru BN juga kena peroleh kemenangan bagi membolehkan pembentukkan sebuah kerajaan rakyat pula.
Saya tidak suka kita terlalu bermainkan politik perkauman ataupun sentimen sempit sehingga akhirnya seperti kata pepatah, kita menang sorak tapi realitinya kampong tergadai. Memang diakui dalam beberapa keadaan kita juga mahu menang sorak tetapi kita juga harus pastikan jangan sampai kampong kita tergadai.
Soalan: Sudahkah Datuk dan UMNO negeri mengenalpasti kesilapan yang dibuat sehingga menyebabkan BN kalah mengejut di Pulau Pinang?
Datuk Zainal: Kerana dulu saya bukanlah pemimpin UMNO negeri maka saya terpaksa mendapat pandangan dan makliumat dari rakan-rakan dalam parti termasuklah bekas Ketua Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Kesimpulan yang saya perolehi ialah mereka (Gerakan dan MCA) tidak terfikir mereka akan kalah. Mereka menyedari sentiment pengundi-pengundi Cina dalam pilihanraya 2008 itu menurun dan berpihakkan pembangkang. Mereka merasakan hanya akan kalah 10 kerusi saja, itu paling maksimum.
Rekod sebelum ini memperlihatkan DAP menang 1, begitu juga PAS dan dalam keadaan seriuspun pembangkang pernah memperoleh 10 kerusi.Namun BN tetap peroleh dua pertiga majority.
Satu lagi isu yang sukar mereka tanggani ialah kerusi Ketua Menteri. Apabila Tsu Koon bertanding kerusi parlimen dan bakal dilantik menjadi menteri kerajaan pusat, siapakah yang akan menggantikannya. Fokas orang cina di sini ialah mengenai pengganti Tsu Koon dan tiga nama telah disebut-sebut namun tidak ada petanda calon yang mereka sebut dapat dipastikan bakal dilantik. Keadaan tidak menentu ini membuatkan pengundi Cina seperti hilang arah lantas peluang inilah digunakan DAP untuk memancing undi.
Soalan: Apa lagi . . .?
Datuk Zainal: Dari segi pembangunan, keselamatan dan ekonomi, BN telah banyak membawa kemajuan dan perubahan dan perkara ini secara akademiknya tidak boleh dinafikan. Pulau Pinang sebelum dan sesudah Merdeka sangat berbedza, we’ve done great job dalam membawa pembangunan. Dulu Pulau Pinang sekadar sebuah tanah jajahan inggeris yang serba dhaif, tapi kini ekonomi negeri ini berkembang pesat. Kita harus akui Tun Dr.Lim Chong Eulah yang bertanggungjawab membawa perubahan ini dan bertanggungjawab mengubah landskap politik dan wajah ekonominya.
Setiap kali pulang ke Pulau Pinang, saya menggunakan pesawat udara. Kadangkala seminggu enam kali, tiga kali naik dan tiga kali turun dari pesawat. Perkara yang paling saya gemari ialah melihat Seberang Perai dan Georgetown dari cermin tingkap pesawat. Pulau Pinang tidaklah sebesar mana, justeru kita boleh lihat hampir kesemuanya dalam sekelip mata. Pulau Pinang telah saturated dengan pembangunan, pendek kata secara relatifnya tidak ada lagi tanah kosong melainkan sekeping dua tanah bendang dan kebun durian.
Pulau Pinang membangun dengan pesat, kilang-kilang tumbuh bercambah, indastri bertaraf mega dan berstatus multinasional dilihat menutupi pemandangan sebenar. Kita harus ingat semua ini tidak dibangunkan dalam tiga tahun kebelakangan ini. Pembangunan ini dibuat sejak 1957 iaitu sejak Perikatan mula memerintah sehinggalah BN dizaman Lim Chong Eu. Cuba kita tanya, siapa bangunkan kilang, rumah kedai, kawasan perumahan moden dan sebagainya. Siapa bertanggungjawab bangunkan free trade zone di Bayan Lepas? Saya lihat the last 3 years tidak ada apa-apa perubahan, tidak ada pembangunan baru; yang nampak di laut sikit tu adalah projek jambatan kedua; itupun projek kerajaan pusat. Tak nampakpun terbinanya kilang-kilang baru, stadium ke, infrastruktur lain ke . . .langsung tak ada.
Yang sangat menyedihkan ialah ada satu blog dan twitter ditulis seorang lelaki cina
yang datang melancung ke Pulau Pinang bersama-sama keluarganya. Dia kata Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP membangun begitu pesat dan dia dapat menghidu udara kebanggaan. Dia kagum kerana DAP mampu memerintah Pulau Pinang macam yang dia lihat. Bila kita baca kita merasa hati kita terhiris kerana dalam tempoh tiga tahun seolah-olah Pulau Pinang begitu maju walhal kemajuan yang dilihat itu sudah bermula sejak tahun 1957 lagi; masa tu DAP tak berkuasapun.
Kalau dilihat sebagai kelemahan, kepemimpinan dulu tidak pandai mewar-warkan apa yang mereka lakukan. Yang penting rakyat menikmati pembangunan dan kerajaan yang memerintah tidak mencari publisiti murah dengan menjaja apa yang dilakukan.
Sebagai orang Melayu kita tidak suka berbangga diri, begitu juga dengan rakan-rakan komponen tidak juga cuba mencari publisiti dan bermegah-megah. Apa yang kita buat semata-mata untuk rakyat. Malangnya kerana itulah rakyat tidak tahu. Hari ini kita kena war-warkan kepada rakyat khidmat dan pembangunan yang kita buat supaya mereka tidak lagi diperdayakan.
Kita sedar kesilapan kita ialah mengharapkan rakyat menilai jasa kita dengan kita tidak menghebahkannya terlebih dulu. Sekarang kita mula mendekati serta memahami jiwa rakyat dan kini kita tak malu-malu mendabik dada tentang jasa kita.
Soalan: Sudah tiga tahun DAP memerintah Pulau Pinang, apa komen Datuk?
Datuk Zainal: Saya sangat sedih kerana orang-orang Melayu yang memerlukan bantuan terpaksa pergi ke to kong bagi mendapatkannya. Saya tersangat sedih tentang perkara ini. Ia berlaku di Seberang Perai. Bantuan untuk golongan miskin dibuat di to kong dan orang-orang Melayu yang memerlukan bantuan terpaksa beratur di to kong untuk mendapatkannya. Sehingga saya mengeluarkan kenyataan meminta mereka yang memerlukan bantuan kebajikan bolehlah menghubungi saya ataupun UMNO, mereka tak usahlah lagi pergi ke to kong lagi. Saya akan ikhtiar mencari dana untuk membantu mereka. Kita boleh masuk ke to kong tetapi bukan untuk bersembahyang tetapi dengan cara ini, sangat mendukacitakan. Orang melayu miskin sangat desperate, jadi janganlah lakukan macam tu pada mereka. Ia seperti satu penghinaan, kalau nak ambil, datang ambil di to kong. Nasib baik mereka buat sekali dua saja, lepas itu tak lagi….itupun setelah kita buat bantahan.
Soalan: Perbandingan kepimpinan Tun Dr. Lim Chong Eu dengan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri dalam konteks pembangunan?
Datuk Zainal: Chong Eu ialah pemikir ataupun thinker. Pembangunan dibuat diwaktu ia dianggap sebagai agenda utama. Ketika itu masih banyak tanah kosong serta harganya murah pula. Ia mendapat kerjasama erat dari kerajaan pusat. Gerakan menang dalam pilihanraya 1969 tetapi mendapati kesukaran membangunkan negeri jika tidak mendapat bantuan dan sokongan kerajaan persekutuan. Untuk membangunkan Pulau Pinang, dia sanggup berkompromi dengan prinsip perjuangan dan dirinya serta kemudian bersetuju menjadi parti komponen didalam Barisan Nasional. Dari parti pembangkang, mereka masuk BN untuk memastikan rakyat menikmati pembangunan. Kepada dia, kepentingan politik dan partinya jadi nombor dua, kepentingan rakyat didahulukan. Bila masuk BN dan dengan sokongan kerajaan pusat, Pulau Pinang sejak 1970an melalui proses pembangunan yang sangat pesat dan sangat rancak terutama setelah mendapat kerjasama erat Perdana Menteri ketika itu iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak.
Kepada saya, Chong Eu akan menjadi patriot dalam konteks pembangunan negeri; dia cukup disanjungi, dia tidak ada kepentingan peribadi dan politik tetapi yang diutamakan ialah kesejahteraan semua rakyat.
Bila Tsu Koon mengambil alih dari Chong Eu, ia meneruskan proses pembangunan bagi memastikan dasar-dasar kerajaan BN dinikmati rakyat bererusan. Malangnya rakyat seperti tidak menghargai jasanya, mereka telah memilih parti lain sebagai pemerintah pula. Sangat menyedihkan.
Tsu Koon meneruskan era Chong Eu. Selain dari kuat bekerja, dia juga seorang yang bijak dan meneruskan pembangunan dengan kerjasama erat dengan kerajaan pusat.
Sebab itu kita lihat Pulau Pinang hari ini prosper . . .maju dan menjadi negeri contoh.
Hari ini sangat malang, tidak ada apa yang dibuat oleh Ketua Menteri. Kalau sesiapa menghadiri sidang dewan negeri, mereka akan dapati pembangkang (UMNO) bertindak macam pari pemerintah manakala DAP pula bertindak macam pembangkang. DAP asyik mengkritik dan mencari salah kita, bukannya mereka mengumumkan rancangan pembangunan . Cukup lucu….11 ADUN UMNO macam kerajaan manakala kesemua ADUN dari kerajaan Pakatan Rakyat bertindak macam pembangkang dengan menyerang kita habis-habisan. Mereka masih bermentaliti pembangkang. Mereka bukannya menceritakan apa kerajaan buat tetapi asyik mengkritik saja….patutnya mereka menceritakan apa yang kerajaan negeri dah buat…apa yang mereka nak buat…ini yang rakyat nak tahu.Mereka jadikan kerajaan persekutuan sebagai punching bag. Justeru kerana dikritik hebat oleh Guan Eng dan rakan-rakannya,adun-adun kita pertahankan dasar kerajaan pusat, jelaskan tentang soal budget dan juga sebagainya. Jadi nampak macam kita pula sebagai kerajaan, dan mereka macam pembangkang. Saya ingin menasihatkan Guan Eng supaya ubah mentality dari pembangkang kepada pemimpin kerajaan pula. Rakyat nak tahu apa yang mereka nak buat, bukan asyik memberi alasan. Berfikirlah macam seorang Ketua Menteri . . .itu nasihat saya.
Saya lihat Pulau Pinang tidak akan berkembang, dari sudah maju ia menjadi stagnate atau tidak bergerak. Banyak masa dihabiskan mencari salah kerajaan pusat dari menghabiskan masa merancang masa depan negeri.
Soalan: PAS kagum dengan slogan yang diwar-warkan Guan Eng bahawa dia mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul aziz, komen datuk?
Datuk Zainal: Kalau kita lihat sejarah kehebatan Khalifah Umar, ia seorang beragama lslam manakala Guan Eng pula bukan beragama lslam. Apa yang Guan Eng buat secara tersurat dan tersirat sangat berbeza. Saya hendak orang Melayu faham apa yang tersirat disebalik yang tersirat. Khalifah Umar seorang yahg ikhlas, apa yang tersurat dan apa yang tersirat sama saja. Orang-orang Melayu di Pulau Pinang hendaklah berfikir secara mendalam tentang apa yang tersirat dari dasar Guan Eng dan dasar DAP dalam konteks orang-orang melayu Pulau Pinang.
Soalan: Datuk tidak berjawatan menteri ataupun timbalan menteri, tidakkah ini menimbulkan masalah kerana umum akan melihat Datuk seperti tidak berkuku?
Datuk Zainal: Ini soalan menarik.Kita kena melalui transformasi politik. Jawatan tinggi politik dijadikan jawatan tinggi kerajaan. Dalam keadaan biasa, ia wajar tetapi didalam keadaan luar biasa, seperti dalam konteks Pulau Pinang, kita harus menerima hakikat bahawa jawatan kerajaan tidak harus diharapkan. We’ve to fight what we deserve. Kita mesti ingat, kita cuma menang dua kerusi parlimen di Pulau Pinang. Satu kerusi dimiliki Tun Abdullah (Pak Lah) manakala satu lagi, Tan Sri Noor Mohd Yaakob. Untuk menjadi menteri ataupun timbalan menteri, kita mesti jadi ahli parlimen. Oleh kerana kita kalah, kita terpaksalah menerima hakikat jawatan kerajaan tidak boleh kita pegang. Tan Sri Noor boleh menjadi suara hati orang-orang Melayu di negeri ini untuk dibawa ke dalam kabinet.
Walaupun saya dilantik menjadi pengerusi perhubungan, saya tidak melobi atau menemui Datuk Seri Najib meminta jawatan senator. Lazimnya seseorang yang dilantik menjadi pengerusi perhubungan setidak-tidaknya memegang jawatan adun atau ahli parlimen ataupun setidak-tidaknya senator. Kerana kepada saya apa saja jawatan yang diberi, kita terlebih dulu harus perform dan mesti buat dengan terbaik. Ini satu amanah dan perlantikan ini tidak bersyarat. Sesiapa yang diberi mandat menjadi pengerusi perhubungan ia harus menjalankan amanah parti membela rakyat.
Sebagai ahli parti yang setia, seseorang yang dilantik pengerusi perhubungan harus mendahullui parti dari mendahulukan diri dan peribadi. Tetapi saya akui memang agak susah nak jalankan tugas berbanding pengerusi perhubungan yang berjawatan menteri ataupun menteri besar. Kita kena berusaha untuk memenanginya semula. Saya tak rasa satu kecacatan dengan tidak memegang jawatan dalam kerajaan. Kerana saya kini mempunyai banyak masa untuk mengatur gerak kerja serta menjalankan tugas selaku pengerusi perhubungan. Bagi mereka berjawatan menteri besar ataupun menteri, mereka mempunyai masa yang terhad kerana terpaksa menjalankan fungsi selaku MB atau menteri, tapi saya tidak.
Sebagai contoh mereka terpaksa tumpu 25 hari dari sebulan untuk kerja kerajaan manakala 5 hari saja untuk kerja politik berbanding dengan saya yang boleh menumpukan 30 hari kerja politik. Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana selaku penasihat kepada kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah, menteri menugaskan saya menjaga jkkk dan jkkp; saya terpaksa bergerak keseluruh Negara memberi ceramah dan sebagainya.
Agak ralat kerana walaupun saya menumpu hampir seratus peratus kepada tugas politik, alangkah bagus kalau pengundi Melayu berjumlah 80 peratus ,kini saya seperti bekerja untuk 33 peratus pengundi melayu saja. Buat apapun hanya dapat 33 peratus undi dan sokongan,. Dari segi kerusi, hanya 35 peratus ataupun 15 kerusi.Ini yang agak ralat tetapi walaubagaimanapun saya tidak pernah patah semangat kerana saya percaya nasib orang-orang melayu di sini memerlukan pembelaan.
Justeru adalah menjadi matlamat saya untuk widen my wings supaya my appeal juga kepada pengundi bukan melayu. Perjuangan UMNOpun bukan setakat membela orang-orang melayu, kita adalah pembela rakyat Malaysia. Kalau MB Terenganu dan Pahang boleh fokus kepada pengundi-pengundi melayu selaku ketua perhubungan tapi saya tidak boleh kerana menyedari factor 33 peratus ini,
Selain itu yang hendak saya jelaskan di sini ialah 10 kerusi yang Gerakan, MIC dan MCA bertanding didalam pilihanraya lalu kalah dengan undi di bawah 2,000.Oleh itu UMNO Pulau Pinang kena berusaha selain mempertahankan 15 kerusi yang kita miliki,kita kena bantu mendapatkan pula 10 lagi kerusi. Dengan kata lain kita hendaklah mendekati pengundi-pengundi India dan cina supaya mereka akan sokong BN didalam pilihanraya umum ke13 pula. Jika kita menang,kita boleh kembali memerintah negeri ini semula.
Soalan:Kalau pilihahraya berlaku dalam masa terdekat,bagaimana dengan undi Cina, berapa peratus boleh BN dapat?
Datuk Zainal: Dulu MCA dan Gerakan menang dikawasan yang mereka tandingi dengan kelebihan undi 4,000 hingga 5000, adakala 11,000 undi tapi dalam pilihanraya lalu, mereka kalah dengan undi yang sama. Tapi kita harus ingat, ada 10 kerusi kita kalah hanya dengan 2,000 kebawah. Senario dulu dan sekarang saya lihat ada perubahan. Orang cina yang balik kepada BN tidak menyeluruh. Tak nampak satu gelombang besar yang pulang ke pangkuan BN. Tapi kita dapat lihat golongan ahli-ahli perniagaan,business minded serta profesional cina yang mana dahulunya mereka menyokong dan mengundi DAP ,kini mereka sudah duduk di tengah-tengah. They have come back to the middle. Dulu mulanya extreme ke BN,selepas tu extreme DAP,dan kini back in the middle. Ini satu petanda yang baik.
Saya yakin dengan konsep satu Malaysia serta ekonomi yang bekembang, dengan harga barang yang terkawal, dan peluang perniagaan ada, mereka boleh cari makan makan maka mereka akan menyokong BN semula.
Now they have not come back to us, they have come back to the middle tetapi trend ini sangat berbeza dengan keputusan piliharaya 2008. Justeru mereka dulu orang kuat BN, selepas itu berubah hati dan kini berkecuali.
Kita harus ingat Lim Guan Eng sangat popular dikalangan orang-orang cina. Dia tak buat apa-apapun,orang cina tetap sukakan dia. Banyak kesalahan dibuagt,banyak janji tidakditunai dan apabila UMNO kritik dia, orang-orang cina marahkan UMNO. Isu kampong buah pala, penjaja melayu ,soal tol sg nyior,soal tak cat flat dan bila kita kritik Guan Eng saja, orang-orang cina melihat kita sebagai rasis.
Sebab itu kita kena pejuangkan nasib orang melayu dan biarkan Guan Eng dengan politiknya; biar komponen kita lawan Guan Eng, UMNO tumpukan perhatian kepada pengundi-pengundi melayu. Jika kenyataan datang daripada Gerakan, MCA dan MIC, ia tidak dilihat rasis berbanding jika umno yang membuatnya.
Mereka ingat kita busuk hati kepada pemimpin cina dan parti cina. Semangat kecinaan di Pulau Pinang sangat tebal. Kalau UMNO yang dilihat mengkritik Koh Tsu Koon, orang- orang cina akan marahkan UMNO tanpa kira dari parti mana. Saya masih ingat apabila ada ahli umno koyak gambar Tsu Koon, bukan saja ahli-ahli Gerakan marahkan UMNO, semua orang cina marahkan kita kerana mengoyak gambar pemimpin mereka.
Jika hari ini ada orang koyak gambar pemimpin UMNO, orang PAS akan ketawa dan kata memang patut, Melayu dalam PKRpun kata patut gambar itu dikoyak tapi bila berlaku dalam kes Tsu Koon, semua marahkan UMNO. Kitapun tak bersetuju sesiapapun koyak gambar mana-mana pemimpin tapi dalam hal ini kita nampak ketaksuban orang-orang cina kepada pemimpin mereka.
Bagi pengundi muda cina dan bagi kumpulan yang baru pertama kali mengundi, emosi mereka terpengaruh dengan sentiment kaum dan kecinaan, mereka susah nak berubah.
Saya mengambil sikap senyum saja bila orang kata UMNO rasis kerana pengalaman saya di sini, tidak ada parti yang lebih rasis melainkan parti DAP. Tapi seperti saya se but tadi yang tersurat lain dan yang tersirat lain, inilah yang harus dibezakan.Saya nak cabar DAP supaya meletakan calon Melayu di Jelutong, Tanjung,Bukit Mertajam,Bagan yang rata-rata kubu kuat mereka. Ini bagi membuktikan mereka tidak rasis. Saya cabar 30 peratus calon-calon DAP adalah dari kalangan orang melayu terutama dikawasan kubu kuat mereka, buktikan mereka bukan rasis. Macam UMNO, setengah kawasan kita, calonnya adalah MCA ataupun Gerakan dan juga MIC, ini baru tak rasis. Kerusi yang kita boleh menang dengan mudah di Johor kita beri pada MCA ataupun Gerakan, itu baru tak rasis.
Soalan: Kekuatan BN dan UMNO kini dikatakan adalah kerana factor DS Najib?
Datuk Zainal: Ya, betul. Orang-orang cina lihat dasar DS Najib lebih adil, telus dan perancangan yang dibuat adalah untuk kebaikan negara. Mereka yakin program transformasi ekonomi boleh menjana hasil. They believe in DS Najib’s leadership. Sama ada ini boleh diterjemahkan kepada undi kepada BN itu soal lain, tapi yang saya tahu mereka memang yakin dan percaya kepada kepimpinan Najib.
Soalan: Bolehkah BN rampas Pulau Pinang semula?
Datuk Zainal: It’sgoing to be tough tetapi it’s not easy dan impossible.It’s going to be tough but nothing is impossible.Sebagai pejuang parti kalau kita menyerah kalah sebelum kita keluar bertempur, maka maknanya kita bukanlah orang politik.
Sebagai orang politik,jika peti undi tutup jam 5 petang, kita hanya berhenti bekerja jam 5, sebelum itu walaupun 1 minit sebelum jam 5 petang, kita mesti terus buat kerja. Dari sekarang hingga 5 petang pada hari pembuangn undi, saya akan berjuang dan saya akan gerakan jentera UMNO Pulau Pinang untuk tujuan itu. Kerana saya lihat semangat orang melayu, semangat ingin dibela berbanding dengan negeri-negeri lain, kita lebih tingi lagi.
Soalan:lain-lain lagi?
Datuk Zainal: Tanah orang Melayu di Pulau Pinang tinggal 23 peratus. Dari segi census penduduk yang terakhir, jumlah orang melayu lagi tinggi berbanding cina. Kita 45.1 peratus berbanding Cina, 44.7 peratus. ,maknanya Melayu atasi Cina dengan 20,000 penduduk. Jadi ramai orang tak tahu kita adalah majority disini. Masalah kita ialah walaupun populasi kita 45% tapi pengundi hanya 33 % dan Cina walaupun 44%, pengundi mereka pula ialah 56%.
Mengapa ini berlaku?.Adakah DAP akan memperjuangkan agar orang Melayu jadi lebih ramai pengundi?.Tidak. UMNO yang memperjuangkan hak Melayu.
Kini tanah-tanah milik Melayu semakin banyak jatuh ke tangan orang cina dan dijangka 15 tahun lagi keadaan ini sangat menakutkan dimana orang Melayu mungkin tidak bertanah di sini lagi. Mereka (cina) kini memasuki ke heartland kita melalui projek perumahan. The Chinese buying power are buying into our heartland.Siapa nak bela lagi orang Melayu di masa depan? Kita mungkin terhapus kerana harga pasaran.
Jangan harap DAP akan bela, hanya UMNO saja yang akan membela.
Saya beritahu orang-orang Melayu Pulau Pinang bahawa untuk survival mereka mesti ada tiga perkara. Orang yang ada ilmu, orang yang ada kepakaran dan mereka yang ada kemahiran. Kalau tak ada ketiga-tiga ini, Melayu akan lose all in big way. Siapa yang nak pejuangkan agar orang Melayu ada ilmu, kepakaran dan kemahiran….UMNOlah.
Sebagai contoh rumah kos murah, sekarang DAP sudah tak buat lagi. Jadi orang-orang Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana, nak cari duit dimana nak miliki rumah di pulau ini,
Di bawah dasaar baru,pemaju perumahan tak perlu buat low cost 30%, DAP batalkan dasar ini. Dulu BN mewajibkan 30 % low cost, tapi DAP batalkan syarat ini. Siapa rugi dalam jangka panjang?.
Nak harapkan kerajaan negeri…..sejak memerintah tiga tahun lalu, mereka tak bina sebiji rumah murahpun.Tapi kita pejuangkan dan kerajaan pusat melalui agensi-agensinya buat rumah kos rendah. Uda, Perda, Risda, JKP telah membina 1,700 unit rumah murah. Yang pelek ialah mengapa orang Melayu masih sokong DAP? Kalau kita ceritakan kepada orang luar, mereka pun hairan. Susah nak fikir. Orang Melayu di sini masih kuat sokong DAP dan PKR. Dan yang saya kasihan ialah PAS yang walaupun 1 ADUN tapi tak jadi EXCO dan juga jawatan-jawatan penting lain. Mereka sekadar dijanjikan tapi tunainya langsung tiada. Tapi mereka masih menyokong DAP. Anwar Ibrahim dan Guan Eng pernah berjanji untuk memberi ADUN PAS jawatan pengerusi Majis Ugama lslam negeri tapi itu juga tidak tertunai. Masa kerajaan BN, calon MIC menang satu kerusi tapi kita lantik calon itu ke jawatan EXCO. Banyak lagi janji-janji namun janji itu tinggal janji, PAS meyokong DAP dan PKR membuta tuli. KepAda kawan-kawan didalam PAS, fikirlah sikit,kalau pelajaran tak tinggipun janganlah jadi tak pandai.
Rumusannya ialah Perikatan dan BN sejak tahun 1957 lagi sudah banyak menabur jasa kepada Melayu Pulau Pinang tapi mereka boleh buat lebih baik lagi, itupun kalau kuasa yang terlepas itu dapat dikembalikan.
JKP ialah sebuah syarikat GLC milik kerajaan. Kita nak beli tanah seluas 80 ekar untuk dibangunkan,sebenarnya nak menyelamatkan tanah itu. Tanah itu milik Tabung pemulihan tanah terbiar(TPTT) dibawah Bank Negara. Syarikat bukan bumiputra menawarkan harga yang tinggi tapi UMNO melawan untuk mendapatkan semula.
Melalui sokongan Perdana Menteri,kita berjaya membeli tanah itu dengan harga RM20 juta. Kementerian Kewangan tidak ada peruntukan justeru kita terpaksa membuat permohonan dari bank. Saya terpaksa menjadi guarantor untuk membiayai pembelian tanah berkenaan. Soalnya siapa yang sanggup jadi penjamin kepada pinjaman ini semata-mata hendak menolong orang-orang Melayu? 80 ekar di Pulau Pinang dianggap luas jika dibanding di tempat lain. Kita buat apa terdaya kita semata-mata hendak menyelamatkan tanah orang melayu yang terlepas ke tangan orang lain.
Di Johor atau Pahang, 80 ekar is nothing tapi di Pulau Pinang kita boleh buat beribu-ribu rumah untuk orang Melayu. Saya sanggup jadi penjamin kerana ini adalah hal memperjuangkan nasib tanah milik melayu dan masa depan orang melayu.
Ada orang kata jangan jadi bodoh tapi saya kata biar saya dianggap bodoh asalkan perjuangan saya adalah untuk membela orang-orang Melayu.
Soalan: Sudahkah BN tentukan siapa bakal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinangl jika sekiranya BN merampas semula Pulau Pinang?
Datuk Zainal: Kita sudah putuskan didalam BN dulu lagi bahawa jawatan Ketua Menteri akan dipegang oleh Gerakan. Soal siapa, itu terpulang kepada parti itu untuk menentukan .Kita menyerahkan hal ini kepada Gerakan dan Perdana Menteri untuk berbincang dan merumuskan soal calon ini dan kita diperingkat negeri akan memberikan sokongan.
Kerana sebagai syarat memasuki BN dulu, Gerakan mahukan jawatan ini dan kita kekalkan syarat ini. Lagipun hakikatnya ialah pengundi melayu cuma 33 peratus dan hanya mampu menang 15 kerusi, oleh itu kita menerima calon dari Gerakan ataupun MCA yang menang kerusi lebih banyak. Bagaimanapun semua bergantung kepada keputusan PerdanaMenteri.
Manalah tahu ada calon melayu yang disukai oleh Cina dan India dan orang itu layak menjadi ketua menteri , maka kemungkinan juga calon ketua menteri pulau pinang kelak adalah dari UMNO. Kepada saya itu adalah soal kedua, yang penting kita kenakerja kuat untuk memastikan kita dapat merampas semula negeri ini.
Soalan: Siapakah calon Gerakan atau MCA itu?
Datuk Zainal: Secara peribadi saya nak lihat calon Gerakan atau MCA itu , muda macam Guan Eng. Ia mestilah orang yang ada karisma,muda dan berlatar belakang professional. Boleh appeal kepada masyarakat cina, anak tempatan, bekerja kuat dan memang seorang yang bersifat sedemikian, bila orang tengok muka dia orang boleh buat perbandingan.
Dan ini boleh memberi kita sedikit lagi undi tambahan dari masyarakat cina sebanyak 10 atau 15 peratus. Saya tidak berminat untuk masuk campur dalam urusan parti itu tapi harapan saya mereka dapat mencari toikh yang seperti itu dalam pilihanraya umum ke13 kelak. Kini kita ada penyelaras di 11 kawasan parlimen manakala 29 kawasan dun. Mereka semua buat kerja wakil rakyat dan dapat gaji macam wakil rakyat. Ramai daripada golongan ini adalah golongan muda dan professional.
Soalan: Resepi kemenangan BN Pulau Pinang?
Datuk Zainal: Servis ataupun perkhidmatan yang baik kepada rakyat, dasar yang baik dan senarai calon-calon yang diterima semua adalah resepi kepada kemenangan kita. Diperingkat akar umbi, UMNO dan BN hendaklah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, selalu mendengar suara hati dan keloh kesah mereka dan Perdana Menteri pula melalui dasar-dasar yang memikat hati rakyat seperti konsep 1 Malaysia dan program mentransformasi ekonomi dan politik dan akhirnya dengan calon-calon muda dan berstatus professional, maka ini boleh memikat hati rakyat untuk mengundi kita. Inilah resepinya. -19/6/2011 OLEH YUSOF HARUN AGENDA DAILY
Post a Comment