Headlines News :
Home » » Tanah orang Melayu semakin mengecil di Pulau Pinang

Tanah orang Melayu semakin mengecil di Pulau Pinang



Tanah milik orang Melayu di negeri ini dikatakan mengalami ‘pengecilan’ akibat digadai kepada bukan bumiputera atas pelbagai sebab, termasuk sikap orang Melayu yang suka berhutang.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nik Haslinda Nik Hussain berkata, ‘pengecilan’ itu sudah berlaku beberapa tahun lalu ekoran tiadanya kesedaran daripada orang Melayu sendiri mengenai pentingnya hak itu dipertahankan.

“Mengikut kajian yang saya lakukan, ‘pengecilan’ ini berlaku sudah lama. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku antaranya dasar yang telah dibuat, selain sikap orang Melayu yang suka berhutang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, proses berhutang dengan pekedai bukan bumiputera itu bermula dengan hanya menggunakan buku tiga lima dan ia boleh sampai ke tahap tergadainya tanah.

“Mungkin ia remeh, tetapi itulah realitinya kerana dengan berhutang setiap hari dan mencatatnya dalam buku tiga lima, lama kelamaan hutang itu akan jadi banyak.


“Hutang boleh mencapai sehingga tidak mampu dibayar kepada pemiutang dan dengan itu hanya tanah yang boleh digadai bagi membayar hutang,” katanya.

Katanya, beberapa tanah di negeri ini telah tergadai di tangan pemaju bukan bumiputera termasuk di Bukit Kechil, Balik Pulau dan masing-masing Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Tengah di Jelutong.

Menurut Nik Haslinda, selain sikap suka berhutang, orang Melayu juga dilihat mudah ‘gelap mata’ apabila menerima tawaran tinggi selain kurang pengetahuan mengenai hak milik tanah yang membolehkan mereka ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Banyak kes yang saya temui adalah kes ‘Ali Baba’ iaitu orang tengah digunakan terutama orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu kerana tanah wakaf, hanya orang Melayu yang boleh beli dan jika kaum lain ingin mendapatkannya, mereka akan menggunakan orang tengah untuk membelinya.


“Namun perkara ini boleh dielak jika pemilik tanah itu berpengetahuan dan pelaksana iaitu badan berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) menjalankan kerja dengan betul dan amanah,” katanya.

Nik Haslinda berkata, selain itu, sikap pemaju yang 'kapitalisme' dengan membangunkan perumahan berharga tinggi mencecah ribuan ringgit memburukkan lagi keadaan apabila ia tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu.

“Mereka buat bangunan berharga puluhan ribu ringgit. Orang kita tidak mampu untuk memilikinya sedangkan harga tanah yang dibeli tidaklah setinggi mana.


“Yang rugi adalah orang kita dan ini juga menyebabkan orang Melayu banyak berhijrah ke Seberang Perai kerana sudah kehilangan tanah untuk didiami,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger