- Kerajaan negeri yang prihatin seharusnya berusaha mencari lokasi sesuai dan tidak menyusahkan rakyat dalam pelaksanaan projek rumah mampu milik atau projek perumahan rakyat (PPR).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata, faktor itu perlu dititik berat bagi memastikan golongan sasaran mendapat manfaat dan tidak terbeban dalam melaksanakan urusan harian mereka.
"Sekiranya kerajaan mentadbir memahami keperluan rakyat, maka perkara itu perlu menjadi keutamaan sebelum membuat keputusan tentang lokasi sesuai untuk pelaksanaan projek sedemikian.
"Sewaktu BN memerintah dahulu, kita telah membina rumah kos rendah dan PPR di dalam kawasan bandar bagi memudahkan mereka mencari rezeki," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Kimma Kebangsaan, Datuk Syed Ibrahim Kadir dan Pengerusi Badan Perhubungan Kimma negeri, Faruk V. Raja Mohamed.
Menurutnya, ketika Tun Dr. Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri, rumah mampu milik dibina di Sungai Dua kerana menyedari ramai rakyat bekerja di kilang sekitar Bayan Lepas dan memudahkan perjalanan mereka tetapi kerajaan negeri sekarang berminat membina rumah mampu milik di Batu Kawan hingga menyusahkan rakyat berulang alik dengan jarak yang agak jauh.
Post a Comment