Headlines News :
Home » » Mengapa hanya 3 agensi kerajaan Pusat dikenakan arahan ? - Zainal Abidin

Mengapa hanya 3 agensi kerajaan Pusat dikenakan arahan ? - Zainal Abidin




UMNO Pulau Pinang kesal dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada tiga agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini supaya setiap projek pembangunan perumahan yang akan dimajukan agensi itu perlu mengemukakan permohonan pelan kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri.

 Tiga agensi terbabit ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Uda Holdings Berhad (UDA) dan JKP Sdn. Bhd. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, surat arahan tersebut dikeluarkan oleh dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini kepada tiga agensi berkenaan berkuat kuasa bulan ini.

 Menurutnya, agensi berkenaan jika mahu melaksanakan projek pembangunan perumahan dan komersial hendaklah mendapat kelulusan jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

 "Ini sama sekali berlawanan dengan pembangunan sebelum ini yang pelan kelulusan bagi tiga agensi terbabit hanya diluluskan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

 "Sekarang ini, sebelum proses ini kita kena lalui Jawatankuasa Perancangan Negeri kerana sebelum ini tiga agensi berkenaan mengemukakan terus permohonan kepada pihak berkuasa tempatan terbabit bagi melaksanakan projek rumah kos rendah dan mampu milik berbanding dengan pemaju swasta yang tidak perlu melalui jawatankuasa berkenaan untuk kelulusan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Nibong Tebal dan majlis perkahwinan anak sulung Zainal Abidin iaitu Nadhir Ashafiq, 24, dan pasangannya Shazwani Shariff di Bukit Jawi Golf Villa, Jawi dekat sini.

 Hadir sama Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir. Zainal yang juga Pengerusi JKP Sdn. Bhd., berkata, JKP dan Perda akan melaksanakan 12,000 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah mampu milik untuk rakyat negeri ini sehingga 2016.

 Menurut beliau, arahan terbaru ini dikhuatiri akan melengah-lengahkan projek tersebut dan melewatkan perancangan bagi projek perumahan di negeri ini. "Kalau banyak sangat syarat dan perkara-perkara baru yang perlu dipatuhi, ia akan mengganggu rancangan dan mengurangkan ketepatan.


 "Saya harap kerajaan negeri meletakkan kepentingan politik di sebelah dan kepentingan rakyat negeri ini harus diutamakan kerana agensi terbabit membina rumah bukan untuk orang kaya tetapi untuk membolehkan rakyat membeli rumah di bawah RM200,000" ujarnya. Zainal Abidin berkata, pihaknya meminta kerajaan negeri memberi penerangan kenapa tiga agensi berkenaan perlu melalui proses tersebut sedangkan pemaju swasta tidak dikenakan syarat itu.

 "Kita akan teliti kandungan surat itu dan kalau nak kenakan syarat itu semua pemaju swasta perlu dikenakan syarat yang sama," katanya.
Share this post :

+ comments + 1 comments

September 11, 2012 at 1:05 AM

mohon dilinkkan blog MMI mahamissa.blogspot.com tk

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger