Headlines News :
Home » » 3 program utama BN P.Pinang untuk dekati rakyat

3 program utama BN P.Pinang untuk dekati rakyat


BUTTERWORTH - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang merancang menganjurkan tiga program utama dalam tempoh terdekat bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan mendekati penduduk di negeri ini, kata pengerusinya Teng Chang Yeow.

 Beliau berkata tiga program berkenaan ialah Pesta Tanglung, Program Kasih Sayang dan Program Ulangkaji yang akan diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

 "Pesta Tanglung akan diadakan dalam tempoh terdekat yang mana setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) atau penyelaras kawasan DUN akan memberi kuih bulan kepada masyarakat Cina di kawasan mereka.

 "Dua lagi program yang dirancang oleh BN negeri akan dijalankan pada Oktober depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan netbook kepada pelajar India di Pulau Pinang, di sini hari ini.

 Seramai 200 pelajar India menerima komputer riba pada majlis yang turut dihadiri Pemangku Pengerusi MIC Pulau Pinang, L. Krishnan. Bagi Program Kasih Sayang, Teng berkata pihaknya menerusi Adun dan penyelaras kawasan DUN akan memilih keluarga yang daif untuk diberikan bantuan keperluan makanan seperti beras, gula, tepung dan minyak setiap bulan.

 Beliau berharap bantuan itu dapat membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. "Untuk Program Ulangkaji, kita akan pilih pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. BN akan memberi buku latihan untuk mereka mengulangkaji dan alat tulis," katanya.

 Dalam pada itu, beliau berkata BN negeri juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi merangka program dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negeri ini.

 "Kita tidak pernah melupakan kaum India di negeri ini dan BN negeri sentiasa berusaha membangunkan mereka seperti mana kaum lain terutama dalam hal berkaitan pendidikan dan ekonomi," katanya.- Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger