- Kumpulan penjaja kecil di Padang Kota menyangkal dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa sekumpulan peniaga yang pergi ke Rumah Terbuka Aidilfitri DAP baru-baru ini sehingga menimbulkan kekecohan bukan peniaga sebenar.
Peniaga makanan,
Siti Noraini Shaari, 35, berkata, dakwaan Guan Eng itu tidak berasas kerana beliau sendiri menyertai puluhan peniaga lain ke rumah terbuka tersebut bagi mendapatkan penjelasan daripada wakil kerajaan negeri berhubung nasib mereka yang ditindas.
"Saya pergi malam itu dengan harapan dapat berjumpa dengan Pengerusi Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim berhubung masa depan kami. Namun gagal kerana beliau enggan keluar.
"Saya ingin maklumkan bahawa yang pergi malam itu benar-benar kumpulan peniaga. Kalau tidak percaya lihat semula rakaman yang disiarkan stesen televisyen dan kemudian datang periksa sama ada kami memiliki gerai atau tidak di sini," katanya selepas mengadakan demonstrasi aman bersama kumpulan peniaga lain di Padang Kota, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Rizuan Abdullah.
Sementara itu, peniaga barang permainan kanak-kanak,
Siti Zubaidah Ali, 27, berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah merestui kekejaman yang dilakukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terhadap mereka.
"Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow datang ke sini, tetapi apabila saya dan rakan-rakan peniaga lain cuba menghampirinya untuk mendapatkan penjelasan, beliau melarikan diri.
"Adakah itu tindakan yang betul dan saya benar-benar kecewa," katanya.
Siti Zubaidah yang tinggal di Batu Maung berkata, dia juga pernah beberapa kali cuba bertemu dengan Abdul Malik yang merupakan wakil rakyat kawasannya untuk mengadu nasib namun gagal.
"Setiap kali jumpa, dia serahkan kepada pembantu peribadinya untuk selesaikan hal ini, namun sehingga sekarang ia masih juga tidak selesai.
"Akhirnya, kami terus berniaga dalam ketakutan kerana sering diganggu MPPP yang akan ada di sini sehingga pukul 12 tengah malam.
Sampai bila keadaan ini akan berterusan?" katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga barang permainan kanak-kanak,
R. Jayadewi, 47, berkata, tuduhan Guan Eng bahawa mereka bukan kumpulan peniaga adalah tidak masuk akal.
"Saya berniaga di sini lebih 10 tahun dan saya ke Rumah Terbuka Aidilfitri malam itu kerana tidak tahan dengan penindasan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan terhadap kami.
"Jadi, bagaimana timbul isu kami bukan kumpulan peniaga sebenar. Kami bukan diupah mana-mana pihak," katanya.
Seorang lagi peniaga, Rozaiemi Abdul Hamid, 26, pula berkata, mereka akan terus berniaga di situ kerana ia merupakan mata pencarian utama.
"Lagipun, saya berniaga di kawasan padang yang tidak mengganggu lalu lintas," katanya.
Post a Comment