KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya berkata, tindakan pembangkang mempelawa Tun Mahathir dan terbaru Tengku Razaleigh menyertai mereka adalah satu tindakan terdesak.
Jelasnya, pembangkang ibarat sedang kelemasan sehinggakan sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk menyelamatkan diri.
"Bagi saya pembangkang kini sedang lemas, walaupun ranting kecil tetap akan mereka cuba berpaut untuk menyelamatkan diri walaupun tahu pada akhirnya pasti akan tenggelam.
"Beginilah sikap pembangkang yang sentiasa cuba menangguk di air keruh. Di mana sahaja ada kesempatan maka mereka mula memainkan peranan. Sebenarnya pembangkang kurang modal dan kini sedang terdesak mencari ketua memandangkan ketua mereka kini di dalam penjara," ujarnya kepadaUMNO-Online.
Tambah Shabudin, Tengku Razaleigh bukanlah sebarang ahli politik dan pengalaman beliau tidak mampu disamakan dengan sesiapapun di dalam parti pembangkang.
Malah jelas beliau Tengku Razaleigh atau Ku Li seorang yang boleh dianggap begitu matang dan telah melalui proses politik yang pelbagai maka ianya jelas Ku Li bukan seorang yang begitu mudah untuk dipergunakan.
"Jika tidak suka berada di dalam BN maka sudah lama beliau berpaling arah. Saya pasti dan yakin hati dan jiwa Ku Li adalah untuk BN.
"Sebenarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Razaleigh itu membuktikan bahawa kita di dalam parti mengamalkan keterbukaan untuk memberikan pandangan. Maka terpulang kepada pihak tertinggi untuk menilai dan menerima.
"Tetapi pembangkang pula tersalah tafsir. Nasihat saya kepada pembangkang janganlah salah pandang," ujarnya sinis.
Shabudin turut menyifatkan bahawa memang telah menjadi sifat pembangkang suka memilih cara 'jalan pintas'.
Kerana itulah jelas beliau lagi apabila Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak menyokong keputusan kerajaan, mereka dengan segera mereka cuba 'membeli' Tengku Razaleigh.
"Sebelum ini pembangkang turut memujuk Tun Mahathir untuk menyertai mereka tetapi tidak pernah sekali pun Tun beralih arah walaupun pernah kecewa dan keluar parti.
"Begitu juga Tengku Razaleigh, mereka tetap jatuh bangun bersama BN dan UMNO khususnya," terang Shabudin.
Post a Comment