Headlines News :
Home » » KERAJAAAN KURANG SUBSIDI MINYAK UNTUK BANTU KEPERLUAN RAKYAT - NAJIB

KERAJAAAN KURANG SUBSIDI MINYAK UNTUK BANTU KEPERLUAN RAKYAT - NAJIB





TUMPAT 11 Okt. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membentangkan bajet terbaik yang berasaskan kepada usaha memenuhi keperluan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, Bajet 2015 juga membuktikan bahawa kerajaan yang ditunjang oleh parti UMNO memperjuangkan Islam dengan penubuhan sebuah pusat percetakan alQuran di Putrajaya iaitu yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Pada masa yang sama, beliau menempelak sikap pihak tertentu terutama pembangkang yang sengaja membakar sentimen rakyat mengenai bajet yang diumumkan itu dengan menggunakan isu pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen.

"Kita tengok bahawa kerajaan kita amat prihatin, baru ini orang marah harga minyak naik 20 sen sebab banyak tukang kipasnya, kita bukan naikkan harga minyak tetapi kita kurangkan subsidi, harga naik dan penjimatan itu kita beri balik kepada rakyat.

"Kenapa kita buat cara ini, kalau kita buat subsidi minyak, yang untung siapa, yang pertama untung adalah orang kaya, adik kakak yang naik motosikal, habis banyak isi tujuh liter tetapi orang bawa Mercedes isi 75 liter, 10 kali ganda orang kaya boleh untung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kampung Geting dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, melalui penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak itu, kerajaan dapat membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan.

"Saya beri kepada rakyat yang memerlukan pertolongan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) naik dari RM650 kepada RM950. Kalau orang kampung hendak beli barang dapur mungkin (memakan belanja) RM300 sebulan, tiga bulan dapur kita berasap kerana BR1M.
"Tetapi kalau beli yang lain, itu keputusan sendiri, kalau orang kaya terima BR1M, jangan salahkan kerajaan dia menipu, kerajaan ada niat baik untuk membela rakyat.

"Nelayan (juga) susah bila musim tengkujuh, sebab itu bila kita dapat jimat subsidi, kerajaan dapat naikkan bantuan daripada RM200 kepada RM350," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM230 juta untuk membina rumah nelayan dan sekiranya tidak dapat diwujudkan perkampungan yang baharu, rumah mereka yang terlibat akan dibaiki.

"Akan ada pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, saya sebut semalam tahun 2013 pelaburan asing terbesar dalam negara kita dan itu adalah hasil kerja Datuk Pa (Mustapa), dia bawa banyak pelabur asing dan kita beri galakan.

"Ada 145 butirbutir sentuhan rakyat dalam bajet yang dibentangkan semalam, jadi rakyat boleh meletak kepercayaan kepada BN untuk melaksanakannya," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger