Home »
» PENDUDUK KECEWA MPSP LULUS PROJEK PANGSAPURI 29 TINGKAT
BUKIT MERTAJAM - Penduduk Taman Kerjasama dan Kampung Tok Panjang di sini bimbang pembinaan projek pangsapuri 29 tingkat di kawasan mereka akan mengancam keselamatan penduduk berdekatan.
Mereka turut kecewa apabila Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberi kelulusan kepada pemaju untuk meneruskan projek itu biarpun mendapat bantahan penduduk.
Jurucakap Persatuan Penduduk Taman Kerjasama M. Raj berkata pihaknya telah menghantar surat bantahan memandangkan projek berkenaan hanya 500 meter sahaja daripada kawasan perumahan penduduk.
"Di sini terdapat kira-kira 600 rumah penduduk dan kawasan untuk projek pangsapuri yang terletak di tengah kawasan perumahan itu terlalu hampir dengan rumah kami.
"Lagipun mengikut perancangan awal pada 2005, pemaju berkenaan mahu membina pangsapuri 12 tingkat tetapi dibatalkan atas faktor keselamatan dan tiba-tiba tahun ini mahu bina 290 unit pangsapuri 29 tingkat pula," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Raj, 29, berkata pihaknya dipanggil oleh MPSP pada bulan lepas untuk bersemuka dengan pemaju projek berkenaan bagi mengadakan perbincangan berhubung permasalahan yang timbul itu.
"Apa yang kita persoalkan terutama berkaitan keselamatan penduduk gagal dijawab pemaju dan pada perbincangan itu MPSP juga berjanji akan melawat kawasan projek itu sebelum meluluskannya, bagaimanapun baru-baru ini kita dimaklumkan ia telah diluluskan," katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap kerajaan negeri dapat membatalkan kelulusan projek berkenaan demi kepentingan rakyat negeri ini.
"Bukan kita membantah pembangunan sebaliknya biarlah ia dibina dengan lebih selamat, lagipun kawasan perumahan ini hanya ada satu laluan masuk dan keluar, jika projek itu diteruskan ia pasti menjadi lebih sesak," katanya.
Sementara itu, anggota Majlis MPSP Michael Tan ketika dihubungi berkata penduduk yang tidak berpuas hati dengan keputusan MPSP itu boleh mengemukakan bantahan kepada lembaga rayuan untuk tindakan selanjutnya.
"Ini kerana MPSP tidak akan meluluskan sebarang pelan pembangunan ataupun pembinaan sekiranya pemaju tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya. - Bernama
Post a Comment