Headlines News :
Home » » MALAYSIA ADA KEKUATAN MELALUI KEPELBAGAIAN ETNIK & AGAMA - OBAMA

MALAYSIA ADA KEKUATAN MELALUI KEPELBAGAIAN ETNIK & AGAMA - OBAMA




Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan lebih cerah bagi generasi akan datang, kata Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama.
"Saya percaya, tidak kira sama ada kita berasal daripada sebuah kampung terpencil atau bandar raya megah, sama ada kita tinggal di Amerika atau di Malaysia, sebagai manusia, kita berkongsi hasrat yang sama - untuk hidup dengan bermaruah dan aman.
"(Kita ingin) mencorakkan masa depan kita sendiri, boleh mencari rezeki dan bekerja keras untuk menyara keluarga. Dan paling penting, mewariskan kepada generasi akan datang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan untuk kita," katanya.
Inilah hasrat yang beliau percaya boleh memberi sinar lebih gemilang kepada era baharu dalam perkongsian antara Amerika dan Malaysia, kata Obama pada majlis itu, yang diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun.
Pemimpin Amerika itu menyelit beberapa perkataan Melayu dalam ucapannya, sesuatu yang disambut baik oleh hadirin seperti yang terpamer daripada tepukan bergemuruh mereka.
Ketika memulakan ucapannya, Obama mengucapkan "Selamat Petang" dan mengakhirnya dengan ungkapan "Terima kasih banyak".
Beliau menggunakan perkataan "bekerjasama" apabila menyentuh tentang perkongsian antara Amerika dengan Malaysia dan "boleh spirit" bagi merujuk kepada slogan "Malaysia Boleh".
Obama mendarat dengan pesawat khas di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang Sabtu untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah beliau ke empat negara Asia, bermula dengan Jepun dan diikuti Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina.
Kunjungan beliau ke sini adalah yang pertama oleh presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun, sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke Malaysia pada 1966.-26/4/2014
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger