Headlines News :
Home » » PENJAJA MELAYU TEPI JALAN KECEWA DAPAT NOTIS HENTI PERNIAGAAN KERAJAAN DAP

PENJAJA MELAYU TEPI JALAN KECEWA DAPAT NOTIS HENTI PERNIAGAAN KERAJAAN DAP



KEPALA BATAS 12 Feb. - Seramai 32 peniaga warung dan gerai sepanjang Jalan Bertam/Pinang Tunggal di Pulau Pinang berdepan hilang punca pendapatan selepas mereka tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan itu.
Kesemua mereka menerima arahan mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh seminggu melalui notis bertarikh 6 Februari lalu (berkuat kuasa esok) oleh Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Jika peniaga terbabit ingkar, mereka bakal berdepan tindakan keras termasuk gerai perniagaan dirobohkan selain alatan perniagaan dirampas serta bakal dikenakan kompaun.

Seorang peniaga pisang goreng, Rosilah Kalimin, 50, berkata, dia telah menjalankan perniagaan di situ sejak lapan tahun lalu melalui permit perniagaan sementara dikeluarkan oleh MPSP.

"Selama ini kami membayar RM15 sebulan kepada MPSP untuk memperoleh permit sementara itu kerana permohonan untuk mendapatkan lesen menjaja tidak dikeluarkan.

"Melalui perniagaan ini, dapatlah saya membantu suami membesarkan empat orang anak dan jika ditutup saya akan kehilangan punca pendapatan yang bakal menjejaskan ekonomi keluarga kami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rakannya yang menjalankan perniagaan bihun sup dan laksa, Norazlina Hashim, 44, berkata, dia sedih apabila menerima notis itu minggu lalu kerana di situlah selama ini dia menjana pendapatan menyara lapan orang anaknya.

"Kalau ada tempat lain diberi sebagai ganti tak apa juga, tapi kami diarah berpindah segera sebab notis arahan berkuat kuasa esok," katanya.

Seorang peniaga air kelapa, Jeffry Mohd. Zain, 46, pula berkata, sepatutnya mereka diberi kebenaran untuk meneruskan perniagaan masing-masing kerana hanya beroperasi antara pukul 10 pagi dan 5 petang setiap hari.

"Perniagaan ini dikesan tidak langsung mengganggu lalu lintas di kawasan ini kerana pembeli boleh meletakkan kereta mereka di tepi laluan tanpa mengganggu aliran trafik.

"Berilah peluang kepada kami untuk mencari pendapatan kerana boleh dikatakan kami hanya bergantung kepada perniagaan ini untuk menyara keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, peniaga air soya, Abdul Nasir Mohd. Hanifa, 45, berkata, mereka bukan membantah arahan itu kerana faham adalah menjadi kesalahan berniaga tanpa lesen.

"Semua peniaga di sini mempunyai permit sementara dan alangkah baik jika MPSP menyediakan tempat untuk kami meneruskan perniagaan sebelum merobohkan gerai kami.
"Tempoh seminggu yang diberikan tidak memadai untuk kami mencari tempat baharu bagi memulakan perniagaan," katanya.

Kesemua peniaga terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah tiga Undang-undang Kecil (UUK) (3) iaitu menjaja tanpa lesen, 8(2) menjalankan perniagaan dengan menimbulkan halangan atau gangguan lalu lintas dan pejalan kaki serta 8(4) tidak memindahkan alat-alat perniagaan selepas perniagaan ditutup.
Sebelum ini semua penjaja terbabit telah menjelaskan kompaun dikenakan di bawah undang-undang kecil berkenaan.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger