Headlines News :
Home » » ADUN BN SUNGAI DUA KECEWA ADUAN RAKYAT TAMAN DESA MURNI TAK DIPANDANG MPSP @dzainalabidin @drnovandri

ADUN BN SUNGAI DUA KECEWA ADUAN RAKYAT TAMAN DESA MURNI TAK DIPANDANG MPSP @dzainalabidin @drnovandri




BUTTERWORTH 8 Jan. - Sekali pandang, tidak ada yang pelik tentang kehidupan lebih 2,000 penduduk di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini kerana kegiatan harian mereka kelihatan berjalan lancar.

Namun, di sebalik 'kedamaian' berkenaan, tersembunyi pelbagai masalah yang telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sejak lebih tiga tahun dahulu.

Semuanya bermula apabila beberapa buah kilang industri kecil dibina pada jarak yang terlalu hampir dengan kediaman mereka.

Antara yang beroperasi di situ termasuklah kilang besi, kilang memproses makanan, selain terdapat sebuah pusat pengumpulan tayar terpakai.

Akibatnya, mereka hidup dalam keadaan tidak selesa kerana terpaksa berdepan dengan masalah pencemaran akibat operasi kilang-kilang berkenaan, selain berdepan dengan ancaman lain.

Paling terjejas teruk ialah kira-kira 300 keluarga kerana rumah mereka terletak hanya 20 meter dari dua kilang berkenaan dan turut berdepan gangguan akibat operasi tempat pengumpulan tayar terpakai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor berkata, penduduk berasa kecewa kerana aduan mereka dipandang sepi oleh pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Katanya, apa yang menimbulkan persoalan ialah bagaimana kebenaran boleh diberikan oleh pihak berkuasa tempatan kepada kilang-kilang terbabit beroperasi kerana kedudukannya terlalu hampir dengan kediaman penduduk, selain tiada pemantauan tentang operasi kilang berkenaan.



"Berkenaan dengan operasi pusat pengumpulan tayar terpakai pula, terletak pada jarak kurang 30 meter daripada kediaman penduduk. Mereka memaklumkan, berlaku pencemaran bau, selain timbunan ribuan tayar yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sehingga boleh menyebabkan wabak penyakit seperti demam denggi," katanya di sini hari ini.


 Terdahulu, Muhamad Yusoff melakukan tinjauan di kawasan berkenaan bersama kira-kira 50 orang penduduk kampung yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan membawa pelbagai sepanduk. Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati operasi tempat pengumpulan tayar berkenaan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dilakukan secara haram. "Sumber di JPS mengesahkan tiada permohonan dikemukakan oleh pemilik pusat tayar berkenaan. 

Siasatan saya juga mendapati JPS membuat aduan kepada Pejabat Daerah sejak 2012, namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan aduan sekali lagi dibuat pada awal Disember lalu, namun Pejabat Daerah masih membisu," katanya. Apa yang lebih mengecewakan katanya, pada hari ini, pihaknya turut memanggil MPSP untuk turut serta dalam tinjauan berkenaan, namun memberi alasan sibuk dan mempunyai komitmen lain. Bagi pihak penduduk yang rata-rata tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu, kedamaian yang dinikmati seperti mula-mula menetap di situ sudah hilang. 

 Rokiah Osman, 55, berkata, sejak kilang berkenaan beroperasi, beliau terpaksa berdepan dengan pencemaran bau dan bunyi yang menjejaskan kehidupan keluarganya. "Saya terpaksa menghidu bau yang cukup busuk ketika kilang memproses makanan berkenaan beroperasi kerana mereka melepaskan sisa terus ke dalam longkang tanpa tapisan. 

 "Selain itu, saya sekeluarga juga berdepan dengan risiko akibat operasi kilang memproses besi. Bayangkan, jentolak seringkali dilihat mengangkut besi secara terbuka menggunakan jalan yang dilalui penduduk perumahan ini. Jarak kilang besi dengan pintu pagar rumah pula kurang 20 meter sahaja," katanya. Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku dua kemalangan yang mendatangkan kecederaan kepada penduduk. 

 Seorang lagi penduduk, Fuziyah Nordin, 58, berkata, operasi mengetuk besi yang dilakukan kilang berkenaan menyebabkan pencemaran bunyi kerana bising. "Kadangkala operasinya berlarutan sehingga waktu malam dengan bunyi yang cukup bising. Akibat kerja-kerja memproses besi, berlaku keretakan pada struktur rumah teres dua tingkat saya. Kami ada buat aduan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan diambil," katanya. 

 Mohd. Nor Jasin, 45, berkata, beliau berharap masalah berkenaan diselesaikan segera oleh pihak berkuasa tempatan kerana penduduk di situ juga berhak hidup dalam keadaan selesa. 

 "Kalau kilang yang dibina itu untuk industri kecil, mereka harus patuhi peraturan. Perkara sebaliknya berlaku apabila pintu pagar dibuka menghadap rumah penduduk, selain berlaku pergerakan jentolak yang menggunakan jalan yang turut dilalui penduduk. Ini berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak," katanya.

 Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Nur Razaremie Azizan mengesahkan kilang memproses makanan vegetarian di situ tidak mematuhi amalan penjagaan alam sekitar yang baik ketika mengalirkan sisa kilang berkenaan ke dalam longkang. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140109/wu_05/Derita-penduduk-Taman-Desa-Murni#ixzz2pzub2B3t © Utusan Melayu (M) Bhd
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger