Headlines News :
Home » » KDN JANGAN TUNDUK , BERTINDAK TEGAS DAKWA DALANG GULING KERAJAAN - MUSA

KDN JANGAN TUNDUK , BERTINDAK TEGAS DAKWA DALANG GULING KERAJAAN - MUSA





BUKIT MERTAJAM  - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensinya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas mendakwa dalang yang mahu mencetuskan huru-hara menerusi Himpunan Guling Kerajaan yang dirancang Selasa ini.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan itu perlu kerana perhimpunan itu dilihat mampu menggugat keamanan dan keharmonian negara.

"Kerajaan menerusi KDN dan PDRM perlu bertindak menggunakan undang-undang sedia ada untuk mendakwa dalang yang mahu menganjurkan perhimpunan itu.

"Kita juga minta kerajaan jangan tunduk kepada sebarang tekanan kerana sekiranya perhimpunan itu tetap berlangsung, kerajaan kelak dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak bertindak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah kepada 200 murid di Taman Seri Kijang Alma dekat sini semalam.

Sementara itu, di SEREMBAN, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan mengambil tindakan tegas termasuk menyingkir mana-mana ahli yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Presidennya, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, mana-mana ahli yang menerima sebarang bantuan juga tidak terkecuali berdepan tindakan sekiranya masih berani mencabar undang-undang di negara ini dengan menyertai perhimpunan tersebut.

"Sejak awal lagi kita telah maklumkan kepada ahli Kimma di seluruh negara untuk tidak menyertai perhimpunan haram ini. Jika ada ahli Kimma yang dikesan terlibat kita akan ambil tindakan tegas.

"Kimma adalah organisasi yang menyokong Barisan Nasional (BN) dan kita harap tiada seorang pun ahli termasuk anak-anak mereka terlibat dalam perhimpunan haram itu," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar India Muslim sesi 2014 di Dewan Wisma UMNO Seremban hari ini.

Di BATU PAHAT, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta KDN mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan mendakwa dalang perhimpunan itu.
Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini sekali gus membawa kemusnahan besar kepada semua pihak.

"Kelewatan pihak berkuasa bertindak hanya menyebabkan majoriti rakyat negara ini kecewa," katanya selepas majlis penerangan isu-isu semasa dan penyerahan bantuan beg sekolah kepada mangsa banjir hari ini.

Di KUALA LUMPUR, Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran perhimpunan itu kerana akan mencetuskan huru-hara.

"Kalau kita tidak berpuas hati tentang perkara-perkara yang menjejaskan ekonomi atau rakyat, kita perlulah mengadakan perbincangan mengenai permasalahan terbabit," katanya selepas merasmikan Karnival Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Parlimen Batu dan Kepong di Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger