Pemimpin muda UMNO perlu dibimbing dalam mengekalkan semangat kekeluargaan dalam parti yang telah wujud sekian lama, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurut beliau, tugas itu adalah antara usaha yang akan dilaksanakannya jika dikekalkan sebagai naib presiden parti dalam pemilihan Sabtu ini.
Jelasnya masa depan parti bergantung kepada pemimpin muda yang kini berada di barisan hadapan bersama-sama pemimpin sedia ada.
"Semua pihak perlu terus berganding bahu membawa transformasi dalam parti malah pada masa yang sama terus memperbaiki kelemahan dalam parti agar terus utuh.
"Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan sayap Pemuda dan Puteri yang baru bermesyuarat memilih ketua masing-masing minggu lepas dan malam ini berkumpul dalam satu majlis dalam suasana harmoni," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pemilihan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Petaling Jaya, malam Khamis.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, berkata semangat kekeluargaan itu perlu dibawa ke PRK DUN Sungai Limau, Kedah bulan depan serta dalam pilihan raya seterusnya.
Semua anggota UMNO perlu menanam semangat kekeluargaan dan mengekalkan semangat tersebut bermula di peringkat akar umbi, katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata semangat perpaduan perlu ada dalam parti bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan anggota.
Katanya semua pihak perlu berganding bahu dan merapatkan barisan walau dalam apa keadaan sekalipun.-17/10/2013
+ comments + 1 comments
selama ini pun tak nampak talent...ye ke lepas nak kerja sungguh2...cam lawak ker der la..
Post a Comment