Headlines News :
Home » » KARIAH BANTAH PERLANTIKAN AJK MASJID YANG TEWAS PEMILIHAN

KARIAH BANTAH PERLANTIKAN AJK MASJID YANG TEWAS PEMILIHAN




PULAU PINANG 20 Okt. - Kira-kira 80 ahli kariah Masjid Al-Qahhar di Permatang Damar Laut di sini membantah tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) cuba memberi tauliah kepada ahli jawatankuasa yang tidak dipilih oleh mereka dalam mesyuarat agung Mei lalu.

Mereka mendakwa, MAIPP tanpa sebarang perbincangan bertindak menukar 11 daripada 13 ahli jawatankuasa kariah masjid berkenaan.

Paling mendukacitakan dakwa mereka, ada dalam kalangan yang dilantik MAIPP itu dilihat tidak pernah berjemaah atau menyertai aktiviti yang dianjurkan masjid.

Pengerusi kariah masjid berkenaan, Rosli Salleh (gambar) berkata, mereka terkejut apabila surat pentauliahan ahli jawatankuasa masjid yang dikeluarkan MAIPP minggu lalu tidak menyenaraikan individu terpilih sebaliknya nama-nama lain termasuk yang tewas dalam pemilihan.

Tegasnya, tindakan MAIPP itu secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli kariah yang hadir.

"Kita mahu perkara ini diperjelaskan. Bagaimana 11 nama ini boleh bertukar dan apakah kriteria yang ada pada 11 individu disenarai oleh MAIPP untuk menggantikan mereka yang dipilih oleh ahli kariah?
"Semua prosedur yang ditetapkan telah kami ikuti dalam mengadakan pemilihan dan mesyuarat agung, jadi kenapa berlaku pertukaran ini?" katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan masjid itu hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Permatang Damar Laut, Yaacob Hamat memberitahu, pihaknya pelik dengan apa yang berlaku dan meminta semua pihak termasuk MAIPP dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim supaya memberi penjelasan menjelas perkara berkenaan.

Menurutnya, beliau melihat seolah-olah wujud campur tangan dan pengaruh politik dalam pemilihan ahli jawatankuasa masjid.

"Kita tidak mahu perkara seperti ini sewenang-wenangnya dilakukan tanpa penjelasan yang kukuh kerana boleh menyebabkan perpecahan di kalangan ahli kariah.
"Ahli kariah telah sebulat suara membuat pilihan dalam menentukan ahli jawatankuasa jadi tidak sepatutnya mereka yang terpilih ditukar tanpa pengetahuan," ujarnya
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger