Headlines News :
Home » » AUDIT 2012 : SPRM PERLU SEGERA BERTINDAK , TAK PERLU TUNGGU LAPORAN - PPIM

AUDIT 2012 : SPRM PERLU SEGERA BERTINDAK , TAK PERLU TUNGGU LAPORAN - PPIM




SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat laporan pendedahan yang dibuat Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu perlu bagi membersihkan kerajaan daripada dakwaan salah guna kuasa dan juga penyelewengan dana awam. "SPRM sendiri perlu memerhatikan (hal ini).

SPRM tidak memerlukan laporan untuk diambil tindakan. Saya minta Tan Sri Abu Kassim melihat perkara ini dan mengambil inisiatif, tak payah tunggu orang (laporan).


 Selasa lalu, Ketua Audit negara mendedahkan laporan audit bagi aktiviti kementerian, jabatan dan agensi, pengurusan syarikat kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan, pengurusan syarikat subsidiari 2012. Laporan itu mengejutkan banyak pihak apabila terdapat jumlah ketirisan yang besar untuk transaksi yang tidak munasabah. "Eloklah SPRM masuk (campur) supaya ia tak menimbulkan tanda tanya.

 Nanti ada persepsi negatif kepada menteri dan kementeriannya, sebab kadang-kadang menterinya pun tak tahu. Saya dapat aduan ada beberapa kes di mana pihak pengurusan yang tak bersetuju dan buat diam sahaja. Ini perlu dikenal pasti pegawai-pegawai yang lebih sudu dari kuah serta tak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh ketuanya atau kerajaan," katanya.

 Nadzim yang dihubungi Antarapos turut mencadangkan agar Biro Pengaduan Awam juga terlibat dalam mengambil tindakan sekaligus mengekang gejala tidak sihat itu.

 "Memang patut sangat perkara seperti ini dibawa kepada SPRM jika kita tak nampak tindakan dilakukan secukupnya oleh pihak kementerian sendiri. Sebab kadang-kadang kementerian pun serba-salah, jadi eloklah dibawa kepada SPRM," jelasnya lagi.

 Saban tahun Jabatan Audit Negara akan meneliti dan mengaudit perbelanjaan dana awam, namun pendedahannya sia-sia lantaran tiada tindakan tuntas diambil oleh mana-mana pihak, termasuk SPRM. Sikap lepas tangan itu menyebabkan ketirisan perbelanjaan melibatkan agensi dan badan kerajaan terus berlaku dan tidak berpenghujung.

 Antara ketirisan yang dilaporkan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) hilang aset bernilai RM1.33 juta. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta hanya untuk mengadakan konsert K-Pop sempena Hari Belia, tahun lalu. Radio Televisyen Malaysia (RTM) membayar RM3,810 untuk sebuah jam yang berharga RM100 seunit. Jam yang dibeli sebanyak 20 unit itu menelan belanja RM76,200. Laporan itu turut menyebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini mengagihkan bantuan kepada penerima yang telah meninggal dunia.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger