Headlines News :
Home » » ANWAR DIMINTA JELASKAN SURAT MISTERI " BANKLEAKS " - DR MAZLAN

ANWAR DIMINTA JELASKAN SURAT MISTERI " BANKLEAKS " - DR MAZLAN



Kemunculan surat misteri mendedahkan 'urus niaga' oleh dua pemimpin tertinggi pakatan pembangkang iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh menimbulkan tanda tanya penduduk di daerah ini.

Surat lapan halaman yang tertera Untuk Pengundi Permatang Pauh dan dihantar ke rumah-rumah penduduk sejak beberapa hari lalu itu antara lain mengandungi pelbagai nombor akaun bank yang didakwa milik Anwar.
Penduduk kemudian memutuskan untuk menyerahkan surat bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal berkenaan kepada bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mazlan Ismail.

Mazlan yang menerima kira-kira 6,000 laporan sama yang dihantar hampir setiap hari sejak minggu lalu sama ada melalui pos atau diletakkan di dalam peti surat rumahnya dalam sidang akhbarnya di sini hari ini, meminta Karpal dan Anwar memberi penjelasan berhubung isi kandungan surat itu.

Beliau percaya surat itu dihantar ke kediaman para penduduk Permatang Pauh dan mereka kemudiannya menghantar semula ke rumahnya.

"Ada juga individu tidak dikenali menelefon saya bertanyakan sama ada sudah menerima laporan yang dikirimkan ke rumahnya. Mungkin mereka (penduduk) tiada saluran lain untuk mendapatkan penjelasan tentang kandungan laporan tersebut.

"Memandangkan saya tidak lagi menjadi calon BN, mungkin mereka beranggapan saya tiada komitmen lain dan merupakan orang paling sesuai untuk membantu mereka bagi mendapatkan penjelasan," katanya.

Mazlan yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri memberitahu, beliau tidak mahu mengulas tentang kandungan surat berkenaan kerana melibatkan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Sehubungan itu, beliau akan mengembalikan kesemua laporan yang ada padanya ke pejabat Karpal di Pulau Pinang sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Saya tidak mahu simpan laporan ini. Saya anggap Karpal dan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh perlu atau wajar memberi keterangan serta penjelasan kepada seluruh penduduk di sini yang menerima laporan tersebut," ujarnya.

Mazlan percaya Karpal mengenali orang yang mendakwa menulis laporan dalam surat berkenaan.
"Saya juga yakin Anwar dan Karpal akan menafikan (terlibat seperti dalam laporan itu)," katanya.
Menurut Mazlan, beliau tidak membuat laporan polis kerana mahu pihak berkuasa terbabit menyiasat sendiri selepas mendengar penjelasan Anwar dan Karpal.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Fadzil Ariffin, 51, semasa ditemui berkata, dia pada mulanya menyangka surat itu seperti surat biasa lain.

"Saya dapat surat itu dari peti surat di hadapan rumah pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu. Saya tidak faham apa yang dinyatakan di dalam helaian muka surat itu sebelum menyerahkan kepada Dr. Mazlan," katanya yang bertugas sebagai juruteknik sebuah kilang dekat sini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Sarudin Puteh, 30, berkata, dia juga menemui surat sama diletakkan di dalam peti surat di rumahnya di Kampung Simpang Tiga, Kubang Ulu di sini.
Mohd. Sarudin kemudiannya membawa surat itu kepada Mazlan.
Walau bagaimanapun Anwar gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan. Beliau juga belum memberikan sebarang reaksi dalam media sosial.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger