Polis Pulau Pinang menolak permohonan pakatan pembangkang untuk mengadakan ceramah di Padang Kota Lama esok atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Ming berkata, penganjur juga gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mengkehendaki notis pemberitahuan dihantar 10 hari sebelum tarikh ceramah itu diadakan kepada Ketua Polis Daerah.
"Kita ada menerima permohonan permit daripada penganjur pada Rabu lalu kira-kira pukul 2.10 petang untuk mengadakan perhimpunan esok.
"Jelas pihak penganjur tidak mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini. Kong Ming dalam pada itu menambah, penolakan permohonan itu juga dilakukan setelah mempertimbangkan beberapa faktor lain seperti keselamatan dan ketenteraman awam terutamanya kepada peniaga serta orang ramai di sekitar tempat ceramah itu.
"Padang Kota Lama tidak sesuai untuk diadakan ceramah memandangkan dari pengalaman lalu perhimpunan seperti itu mampu mendatangkan kesesakan lalu lintas dan menimbulkan kekecohan.
"Malah perhimpunan sedemikian juga kemungkinan bakal menyebabkan berlakunya kerosakan harta awam, kecederaan dan paling membimbangkan adalah kehilangan nyawa," tegasnya. Bagaimanapun, Kong Ming berkata, polis telah mengambil langkah persediaan awal dan akan menempatkan anggota di kawasan-kawasan yang berisiko.
"Sebagai langkah keselamatan, semua persimpangan menuju ke Padang Kota akan dikawal oleh anggota trafik dan mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas akan ditunda serta Jalan Tun Syed Barakhbah akan ditutup.
Post a Comment