Headlines News :
Home » » Beri kepercayaaan kepada saya terajui negara - Najib

Beri kepercayaaan kepada saya terajui negara - Najib





- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat meletakkan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada beliau sebagai Perdana Menteri untuk terus menerajui negara ini.

Menurut Najib, beliau enggan membandingkan prestasi dirinya dengan individu tertentu daripada parti pembangkang, namun menegaskan situasi semasa membuktikan negara kini berada dalam jagaan 'sepasang tangan' yang baik.

Selain itu tambah beliau, sejak menjadi kerajaan, Barisan Nasional (BN) bukan sekadar berjanji, malah berjaya melaksanakan perubahan demi perubahan dengan membawa kemajuan sebenar kepada negara menerusi perancangan spesifik yang meyakinkan.

Terbaharu katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Malaysia berjaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sehingga 6.4 peratus bagi 2012, sekali gus membuktikan negara yang ditadbir BN berjaya mendapatkan kepercayaan ahli perniagaan tempatan serta luar negara.

"Apa yang ada kini hanya permulaan. Dengan mandat yang kuat, kita boleh membentuk kerajaan yang kuat. Kerajaan yang kuat bermakna negara memiliki kepimpinan efektif supaya kita boleh terus memacu fasa transformasi negara ke peringkat seterusnya.

"Inilah kita mahu lakukan dan hasrat yang ingin saya laksanakan sebagai Perdana Menteri anda," katanya ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina 2013 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Najib dalam pada itu menegaskan, menerusi konsep 1Malaysia yang kini menjadi teras utama negara, beliau kini merupakan seorang Perdana Menteri yang berkhidmat untuk segenap lapisan rakyat tanpa mengira agama dan keturunan.

"Konsep ini bukan sekadar tentang tinggal bersama dalam keadaan harmoni, tetapi mempunyai kerajaan yang adil, inklusif dan mempertahankan keadilan sosial.

"Hakikatnya, saya sekarang Perdana Menteri kepada masyarakat Hakka, Kantonis, Orang Ulu, Melayu, Iban dan sesiapa sahaja rakyat Malaysia," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger