Headlines News :
Home » » 3 ribu kaum India Muslim P.Pinang sambut PM di Masjid Kapitan Keling

3 ribu kaum India Muslim P.Pinang sambut PM di Masjid Kapitan Keling




GEORGE TOWN, 10 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan umat Islam di negara ini perlu bersatu bagi mengukuhkan perpaduan negara demi masa depan yang lebih harmoni.
Mengambil contoh pergolakan di Gaza antara puak Hamas dan Fatah, Najib berkata perpaduan adalah tonggak kepada pengukuhan sebuah kerajaan yang berdaulat dan disegani.
“Saya baru balik dari lawatan di bumi Gaza, dan terus terang saya beritahu kepada pemimpin Hamas dan Fatah bahawa mereka perlu bersatu demi mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh.
“Perpaduan merupakan prinsip yang penting kepada mereka, penting juga bagi kita khususnya umat Islam untuk bersatu. Sekiranya kita tidak bersatu maka buruklah padahnya,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Liga Muslim di Masjid Kapitan Keling di sini malam ini.


Yang turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan barisan kepimpinan Umno.
Perdana menteri berkata dalam usaha memperoleh kekayaan serta mengembangkan ekonomi negara, kerajaan tidak pernah mengabaikan prinsip keadilan nasional yang menjadi dasar perpaduan negara sejak sekian lama.



“Dalam usaha memperoleh kekayaan dan pertumbuhan ekonomi negara, tidak dinafikan sumbangan besar yang dimainkan oleh masyarakat India Muslim menerusi aktiviti perniagaan masing-masing.
“Masyarakat India Muslim banyak membuka perniagaan seperti kedai runcit, kedai makanan, kedai pengurup wang dan sebagainya. Daripada perniagaan ini mereka mendapat keuntungan yang besar dan ramai juga antara mereka yang merupakan pembayar cukai,” katanya.
Beliau berkata masyarakat India Muslim banyak memberi kekayaan dan kejayaan kepada ekonomi Malaysia.
Najib juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan RM2 juta daripada Liga Muslim kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia, yang akan diagihkan untuk kegunaan badan bukan kerajaan (NGO) dan madrasah seluruh negara.
“Wang sumbangan itu akan diagih-agihkan kepada NGO dan madrasah dalam sedikit masa lagi, terima kasih atas sokongan padu daripada masyarakat India Muslim,” katanya. – MediaUMNO
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger