Headlines News :
Home » » Pelajar USM gembira Najib sumbang dana tabung pendidikan Gaza

Pelajar USM gembira Najib sumbang dana tabung pendidikan Gaza




GEORGETOWN: Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke gerai pameran Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) semalam, membawa tuah kepada Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) apabila pemimpin tertinggi negara itu bersetuju menyumbang dana RM500,000 untuk ‘Tabung Pendidikan Gaza’ di Padang Kawad, USM, semalam.

Yang Dipertua MPPUSM, Muhamad Amar Mohd Aziz, 21, berkata tabung berkenaan yang dilancarkan 20 November lalu berjaya mengumpul RM115,000 hasil sumbangan penuntut serta kakitangan USM selain aktiviti yang dijalankan, termasuk jualan amal.

Menurutnya, sumbangan itu akan disalurkan secara berperingkat kepada penduduk Gaza melalui kerjasama dengan Islamic University of Gaza, selain turut membantu 70 penuntut Palestin di USM ketika ini.

“Terima kasih dan syukur dengan sumbangan Perdana Menteri yang sudi menyokong tabung ini. Diharap tabung yang diwujudkan secara berterusan ini terus mendapat sumbangan dan perhatian pelbagai pihak, terutama rakyat Pulau Pinang.

“Tabung ini akan dijalankan secara berterusan dan mereka yang mahu menderma boleh berbuat demikian melalui Jabatan Bendahari USM,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, penuntut tahun tiga jurusan Biologi Binaan, Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat itu turut menyampaikan memorandum, antaranya meminta kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), menambah prasarana di universiti untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan peruntukan khas kepada persatuan pelajar di setiap IPTA/IPTS.


Sementara itu, Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman memuji inisiatif dilakukan penuntut dan berharap mendapat sokongan pelbagai pihak.

Menurutnya, USM menyokong penubuhan tabung berkenaan, malah kakitangan universiti itu membuat potongan gaji setiap bulan untuk disalurkan kepada tabung itu.

“USM sentiasa memberi sokongan kepada program seperti ini yang bertujuan membantu rakyat Gaza, malah tiga penuntut USM ketika ini mengikuti misi bantuan kemanusiaan Aman Palestin di Gaza, dengan seorang daripadanya sanggup menjual motosikalnya untuk mengikuti misi ini,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger