Headlines News :
Home » » Mana pergi duit pampasan kuari - penduduk Kg Pelet

Mana pergi duit pampasan kuari - penduduk Kg Pelet



BUKIT MERTAJAM 10 Dis. - Kira-kira 50 penduduk Kampung Pelet di sini, mengadakan demonstrasi secara aman di pekarangan Masjid Kampung Pelet untuk menuntut ganti rugi baik pulih rumah yang rosak akibat letupan kuari di kawasan itu.

 Wakil penduduk, Mohd. Yusof Daud, 33, mendakwa, masalah itu telah berlarutan sejak dua tahun lalu dan masih tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.

 Katanya, isu yang dihadapi penduduk telah dimajukan kepada agensi-agensi kerajaan, termasuklah Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), namun belum ada jalan penyelesaian.

 "Anggaran kerosakan dialami pendudukan sebanyak RM 1.4 juta dan hasil rundingan, pihak syarikat terbabit bersetuju membayar separuh daripada tuntutan itu berdasarkan penilaian yang dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya ketika ditemui di sini semalam.




 Sementara itu, Adnan Osuman, 51, berkata, beberapa bahagian rumahnya mengalami keretakan akibat letupan kuari yang dijalankan setiap hari.

 "Saya tinggal bersama lima sekeluarga dan kami risau melihat dinding rumah termasuk bilik air merekah akibat gegaran letupan kuari," katanya.

 Ibu tunggal, Norpiah Walad, 70, berkata, retakan dinding ruang tamu di rumahnya disimen selepas sambutan Aidilfitri lalu untuk memastikan rekahan dapat dibendung.

 Katanya, kegiatan kuari yang berlaku kira-kira 200 meter dari rumahnya turut merosakkan peralatan elektrik di rumahnya.  "Sudah tiga kali peti sejuk saya rosak akibat gegaran yang berlaku," ujarnya.

 Pengerusi Masjid Kampung Pelet, Che Pha Hassan, 54, pula mendakwa, kesan retakan kecil dapat dilihat di beberapa bahagian masjid.

 "Saya harap pemimpin tempatan datang menjenguk masalah yang kami hadapi. "

Letupan kuari juga dibuat tanpa mengira masa walaupun ketika kami sedang bersembahyang Jumaat menunjukkan pihak terbabit tidak menghormati penduduk di sini," katanya.

 Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini dan menyegerakan pampasan yang dijanjikan.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger