Headlines News :
Home » » Artikel Edge Financial Daily berunsur provokasi terhadap UMNO - Khairy

Artikel Edge Financial Daily berunsur provokasi terhadap UMNO - Khairy




KUALA LUMPUR  - Edge Financial Daily digesa menarik semula artikel yang disiarkan akhbar itu berkaitan tragedi 13 Mei 1969 kononnya tercetus hasil rancangan parti tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, artikel berunsur tuduhan dan sentimen semata-mata itu sengaja disiarkan dalam usaha akhbar tersebut mencetus provokasi terhadap parti Melayu terbesar berkenaan.
Beliau berkata, tragedi berdarah itu merupakan detik hitam buat negara dan perlu dijadikan iktibar bukan sahaja kepada ahli UMNO, malah rakyat keseluruhannya.
"Sejarah sudah tercatat berhubung apa yang berlaku dalam tragedi berkenaan dan semua orang tahu siapa yang bertanggungjawab menyebabkannya berlaku.
"Tindakan menyalahkan UMNO tidak boleh diterima langsung. Bukan sahaja tidak masuk akal, malah tersasar daripada fakta sebenar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas artikel yang disiarkan Edge Financial Daily versi tempatan tulisan Mohsin Abdullah pada 17 Disember lalu yang menyatakan tragedi 13 Mei 1969 dirancang UMNO sendiri untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra.
Jelas Khairy, mana-mana pihak yang mahu menyiarkan artikel berkaitan isu sensitif seperti tragedi 13 Mei sepatutnya merujuk kepada fakta sejarah terlebih dahulu dan bukannya membuat kesimpulan berbentuk partisan.
Kata beliau, sebarang penilaian atau tuduhan sedemikian seharusnya diperhalusi sebaik-baiknya serta dengan penuh bertanggungjawab supaya tidak mengelirukan rakyat.
Menurutnya, fakta sejarah jelas menunjukkan tragedi itu tercetus ekoran perarakan penuh provokasi penyokong pembangkang selepas berjaya memperoleh kerusi yang banyak dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.
"UMNO mengecam sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan melihatnya sebagai salah satu unsur provokasi. Kami mendesak artikel berkenaan ditarik balik segera," katanya.- Utusan Malaysia
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger