Headlines News :
Home » » Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan BN

Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan BN




GEORGETOWN - Kebajikan dan keselesaan rakyat menjadi keutamaan kerajaan persekutuan dalam mentadbir negara walaupun tidak melabelkannya sebagai 'kerajaan berkebajikan', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Beliau berkata dalam banyak perkara kerajaan sentiasa berusaha mendahulukan kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik ataupun latar belakang agama.

"Anak-anak pergi ke sekolah secara percuma, beli barang seperti minyak, gula dan tepung bersubsidi, apa sahaja yang kerajaan buat hanya untuk beri manfaat kepada rakyat.

  "Justeru rakyat perlu terus beri kepercayaan kepada kerajaan persekutuan agar kita dapat terus berbakti kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyampaian Sumbangan Amal Jariah dan Pengimarahan Masjid sempena Aidilfitri di Kompleks Tabung Haji di sini, hari ini.

  Pada majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri bersama Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, Nor Mohamed turut menyampaikan wang tunai kepada 700 orang kurang berkemampuan dan 205 kariah masjid dari seluruh Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM345,000.

Sementara itu seorang warga emas Puteh Che Mat, 71, menyifatkan sumbangan yang diterima daripada kerajaan persekutuan setiap kali menjelang musim perayaan merupakan usaha kerajaan untuk mendekati golongan yang kurang berkemampuan. Pesara Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang kini tinggal bersama anak sudaranya itu, turut melahirkan rasa gembira terhadap keprihatinan kerajaan persekutuan yang peka terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

"Beginilah yang dikatakan kerajaan prihatin, jika ada rakyat yang susah, mereka datang hulur bantuan," katanya yang lumpuh kedua-dua kaki sejak 12 tahun lepas. Seorang lagi warga emas Esah Marikan, 61, berkata bantuan itu juga dapat meringankan beban kewangannya yang kini memelihara tiga orang cucu setelah kedua ibu bapa mereka meninggal dunia.

"Duit ini bolehlah digunakan untuk beli baju raya cucu-cucu saya, ringanlah sikit beban," katanya.-Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger