Headlines News :
Home » , » Bantuan kerajaan kepada rakyat kerana ekonomi negara kukuh - Najib

Bantuan kerajaan kepada rakyat kerana ekonomi negara kukuh - Najib




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa pemberian RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah ikhlas dan tidak mempunyai sebarang maksud terselindung dan Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan 'mengejar' penerima bantuan.

"... RM500 ini ikhlas. Hendak terima ambil tidak mahu pun tidak apa, tetapi saya yakin rakyat yang memerlukan tentu akan ambil, malah kebetulan ia diberi bersempena dengan Tahun Baru Cina," katanya.

Najib berkata, selain itu, rakyat juga akan menikmati peluang pelaburan Saham Amanah yang dikenali sebagai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia.

Skim ini diberi atas keperluan dan bagi mereka yang meminjam bank, pelabur akan menikmati keuntungan RM50 sebulan dan selepas lima tahun akan memperoleh RM5,000.

"Mana ada skim seperti ini di negara lain... ini kerana kita sudah berjanji untuk membantu rakyat," katanya dipetik Bernama.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, BN akan terus bekerja keras dan bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat Malaysia terus terbela dan Malaysia sebagai negara maju akan menjadi kenyataan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN Pulau Pinang di sini.

Katanya, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan prinsip "semangat kekitaan dan rasa kebersamaan" bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata dengan berpegang kepada prinsip berkenaan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mampu untuk bergerak ke hadapan sebagai satu negara, satu bangsa dan satu visi.

"Kita perlu sokongan daripada semua kaum, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan pelbagai lagi. Sekiranya semua ini bergerak sederap (serentak) sebagai satu bangsa, satu negara dan satu satu visi maka insya-Allah kita akan mencapai apa yang diharapkan.

"Ini bukanlah satu impian yang tidak mungkin jadi kenyataan, ini bukanlah igauan tetapi satu impian manis yang boleh jadi kenyataan kalau kita bergerak dengan semangat kekitaan dan rasa kebersamaan," katanya.

Najib berkata, berlandaskan kepada prinsip itu juga, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan etnik, antaranya BR1M yang memperuntukan RM500 bagi setiap isi rumah, bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

"Sebab itu kita bagi bantuan untuk semua tanpa mengira kaum dan etnik. Kita beri ini kerana ekonomi kita kukuh dan kita tidak serah ekonomi kepada pasaran sahaja kerana jika diberi kepada pasaran hanya yang kaya sahaja yang akan dapat.

"Oleh itu kerajaan beri BR1M kepada golongan rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, asalkan mereka perlu bantuan kerajaan beri bantuan, dan ini adalah sejarah," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak meminjam duit daripada mana-mana pihak, termasuk dari luar negara, bagi tujuan mengumpul dana bantuan itu malah ia adalah hasil pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan bijak.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Gerakan Datuk Dr Teng Hock Nan, PengerusiUmno Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger