: Ada yang melihat Perhimpunan Agung UMNO kali ini sangat penting kerana dikatakan yang terakhir sebelum PRU13. Apa pandangan Tan Sri?
MUHYIDDIN: Pertamanya, ini merupakan perhimpunan yang amat penting dan kita pun tidak tahu bila PRU13 akan diadakan. Tapi biasa saya sebutkan ia tidak mungkin lebih lama. Sebab itu perhimpunan agung UMNO yang merupakan perhimpunan terbesar orang Melayu ini merupakan perhimpunan yang tentunya bukan hanya akan menarik perhatian orang Melayu tapi masyarakat lain termasuk di peringkat antarabangsa.
Yang keduanya disebabkan ini mungkin perhimpunan yang dikatakan paling dekat dengan PRU13. Maka apa sahaja perkara yang kita akan bincangkan akan diberikan perhatian. Ini terutamanya dalam konteks UMNO sendiri iaitu apakah kita dilihat sebagai parti yang berwibawa serta masih relevan dengan perjuangan semasa orang melayu dan rakyat Malaysia. Ia juga akan menjadi tumpuan dan perhatian orang Melayu sendiri sama ada UMNO ini yang dikatakan parti sejak awal lagi membela nasib orang Melayu masih lagi meletakkan asas yang paling utama dalam perjuangannya untuk membela masyarakat Melayu. Serta apakah parti ini sudah menjalani proses perubahan atau transformasi yang diharapkan selepas kita melalui PRU 2008.
Pendek kata apa jua hasil perbincangan pada perhimpunan agung itu nanti akan diteliti oleh segenap lapisan masyarakat Melayu dan bukan Melayu.
Dan yang paling penting apakah selepas perhimpunan ini akan timbul satu kesedaran di kalangan orang Melayu tentang pentingnya keputusan UMNO mempertahankan kedaulatan dan kedudukan orang Melayu di samping peranan yang boleh kita mainkan untuk sama-sama membantu masyarakat lain dalam soal pembinaan negara bangsa.
Bagaimana perbahasan di kalangan perwakilan nanti dapat dipastikan tidak dijadikan isu oleh pihak tertentu di luar dewan?
Walaupun dikatakan perhimpunan ini tertutup dalam erti kata mereka yang menyertai perbahasan itu adalah perwakilan yang terpilih sahaja, tetapi format yang kita amalkan sejak dulu yang mana peserta yang tidak menjadi perwakilan juga boleh hadir untuk mengikuti perbahasan menerusi skrin besar yang kita sediakan. Kita bersikap terbuka dalam soal apa yang kita bahaskan dan tidak ada apa yang mahu kita selindungkan walaupun ia akan menyentuh banyak soal kepentingan dan masa depan orang Melayu. Dalam soal ini kita perlu faham bahawa peranan UMNO khususnya dalam kerajaan itu adalah yang utama sebab kita adalah parti teras dalam UMNO. Sebab itu perwakilan akan menyuarakan apa jua pandangan yang bukan sahaja mengambil kira kepentingan orang Melayu tapi juga kepentingan kaum lain.
Ada pandangan perjuangan agenda Melayu akan tersekat dalam Gagasan 1Malaysia. Benarkah tanggapan ini Tan Sri?
Saya tidak fikir begitu kerana gagasan 1Malaysia itu selari dengan tuntutan semasa untuk menjamin kelangsungan perjuangan negara. Dalam konteks ini, kita tidak boleh pisahkan perjuangan orang Melayu dengan perjuangan memartabatkan bangsa dan negara kita. Gagasan 1Malaysia itu juga secara terangkumnya mengambil kira kepentingan perpaduan antara kaum serta mewujudkan kesatuan dari segi pemikiran dalam soal bagaimana kita boleh membangunkan negara dalam semua bidang. Ia juga mengambil kira ketelusan sikap yang adil dan saksama yang kita telah amal sebelum ini dan akan kita teruskan untuk masa depan. Ini tidak bermakna kita mengabaikan perkara yang menjadi asas terbentuknya UMNO iaitu untuk membela nasib bangsa dan kaum Melayu dan bumiputera yang menjadi pendokong utama dalam negara.
Begitupun selaras dengan perlembagaan UMNO dan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan, soal hak bangsa dan agama lain itu masih terpelihara. Bagi saya tidak timbul soal orang bukan Melayu rasa seolah-olah terabai. Apa yang mungkin timbul adalah persepsi yang mana kita dalam tempoh mutakhir ini dianggap lari sedikit dari landasan asal. Untuk menangani tsunami politik pasca 2008 kita harus mengambil kira mengenai perubahan minda bukan sahaja masyarakat Melayu tapi juga rakyat Malaysia. Jadi, UMNO menyesuaikan keadaan itu supaya tidak terlihat kita terkebelakang atau tidak selari dengan perkembangan semasa.
Orang Melayu menerusi gagasan 1Malaysia ini dilihat rasis dan Tan Sri juga dikatakan antara yang rasis. Benarkah begitu?
Itu tanggapan sahaja dan saya tidak pernah berubah dari segi sikap dan pendirian dalam soal ini, baik dari segi perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Seperti juga dengan Presiden kita Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau tidak lebih Melayu atau kurang Melayu. Kerana kita masih lagi mempunyai pendirian yang sama. Kita juga mempunyai pandangan yang jelas soal kedudukan kita baik dalam parti atau kerajaan. Sebab itu bagi saya kalau timbul pun soal begitu kerana ada pihak terutamanya pembangkang yang mahu menconteng kita dengan satu gambaran seolah-olah kita lebih cauvanis. Sedangkan parti seperti DAP lebih cauvanis. Siapa yang tidak tahu sikap pemimpin mereka seperti Lim Kit Siang; Karpal Singh dan Lim Guan Eng yang lebih membicarakan tentang satu kaum sahaja. UMNO tidak membicarakan mengenai satu kaum sahaja. Tapi kita mengambil kira mengenai agenda Melayu yang masih panjang dan belum kita selesaikan. Jadi apabila kita membicarakan soal kepentingan orang Melayu, itu tidak bermakna kita bersikap rasis. Sebab kelompok terbesar dalam masyarakat Malaysia sama ada mahu diiktiraf atau tidak oleh pembangkang adalah masyarakat Melayu, bumiputera dan penganut Islam.
Kalau kelompok terbesar seperti ini terabai dan rasa tidak terbela, apa lagi kalau pemimpin UMNO sendiri yang tidak mahu menyuarakan kepentingan mereka itu sebab takut dilabel bersikap cauvanis dan perkauman, maka itu sudah lari dari asas perjuangan kita. Jadi, ini adalah permainan pembangkang supaya kita dilihat terlalu perkauman. Sedangkan mereka lebih perkauman daripada kita.
Kita sudah menunjukkan menerusi sejarah 54 tahun negara yang mana kita mengambil kira semua kaum sehingga kaum bukan Melayu pun mendapat tempat yang dikatakan adil, ada kekuatan ekonomi dan pendidikan. Dalam masa sama kaum Melayu pun sudah maju berbanding dulu namun belum mencapai kepada tahap yang kita kehendaki. Dari segi ekonomi sebagai contoh kita masih belum menguasai 30 peratus seperti yang kita sasarkan.
Sebab itu apabila kita menyuarakan perkara ini, UMNO sebenarnya memanifestasikan kehendak dan jiwa orang Melayu. Kalau itu kita gagal lakukan itu, maka gagal lah UMNO. Tapi pihak di sebelah sana berasakan kita bersikap perkauman. Sedangkan selama mana saya dalam parti serta pemimpin terdahulu pun menyuarakan perkara yang sama.
Apa isunya dalam soal media alternatif yang dikatakan tidak mendapat ruang pada perhimpunan agung kali ini?
Dalam konteks perkembangan semasa, media sosial juga sangat berpengaruh seperti media biasa yang sudah lama. Tetapi mereka ini ada tujuan tertentu. Saya tidak nafikan ada mereka ini yang tidak selari dengan pandangan kita. Apa sahaja yang kita katakan akan diolah sehingga yang elok menjadi tidak elok. Dalam situasi ketika tiada perhimpunan sekali pun perkara ini banyak berlaku, apatah lagi ketika perhimpunan yang mana wakil kita akan membahaskan pelbagai perkara.
Dari situ mereka akan tengok UMNO ini bersikap rasis, terlalu ekstrem dan tidak bertanggungjawab dan mereka akan putar belitkan. Tapi bagi saya kita boleh membuat penjelasan sebab kita juga ada kumpulan media sosial yang sehaluan dengan kita dan faham dengan perjuangan kita.
Kenapa pembangkang dilihat lebih agresif dalam memainkan sesuatu isu sedangkan UMNO pula dilihat bersikap defensif?
UMNO mungkin dilihat lebih defensif kerana banyak serangan dibuat kepada kita. Jadi bila kita mempertahankan diri dengan jawapan yang mereka putar belitkan, maka kita dilihat defensif. Tapi dalam keadaan sama, UMNO juga mengambil peranan untuk menjelaskan apa sebenarnya asas perjuangan kita. Sebab kita ada tanggungjawab dan mereka mungkin tidak bertanggungjawab. Jadi bila kita menyuarakan sesuatu, ia mengambil kira kepentingan semua. Cuma mungkin benar dalam satu peringkat kita tidak begitu pakar dalam media sosial terutamanya dari sudut mahu membuat serangan sebab kita lebih bersifat menjelaskan sesuatu yang baik. Ini satu kelemahan yang saya akui dan kita cuba perbaiki. Mungkin ia belum cukup berjaya tapi kita dapat membalas dan menjelaskan apa yang diputarbelitkan oleh pembangkang sebab sesuatu dasar atau program yang kita lakukan itu mempunyai asas kukuh yang kita boleh pertahankan.
Ahli-ahli UMNO sering diingatkan supaya tidak mensabotaj parti. Adakah ingatan itu diberikan kerana perbuatan tersebut begitu berleluasa dalam UMNO?
Ini mungkin kita melihat pada pengalaman lepas terutama pada PRU 2008 yang mana disebabkan rasa tidak puas hati dengan calon tertentu, maka ada bukti perbuatan sabotaj itu dilakukan. Sebahagiannya juga kita kenalpasti dalam ‘post mortem’ selepas PRU itu yang kesannya membawa kepada kekalahan kita. Kekalahan itu pula bukan kerana kuatnya pembangkang tetapi kerana masalah dalaman parti kita di beberapa kawasan tertentu.
Jadi apabila acap kali disuarakan supaya jangan sabotaj, itu bermakna pengalaman lepas itu janganlah berulang lagi. Lebih-lebih lagi apabila kita menganggap PRU13 adalah ibu segala pilihan raya. Sebab semua tahu situasi sekarang berbeza dengan situasi yang lalu. Tapi itu tidak bermakna dalam situasi baru ini kita akan berdepan dengan tentangan yang kita akan kalah. Sebab itu satu faktor yang kita ambil kira adalah faktor dalaman parti termasuk kepimpinan dalam UMNO khususnya di peringkat Bahagian. Ini supaya mereka faham gentingnya kedudukan kita ini yang ibaratnya berada di puncak yang salju. Kalau tidak dijaga kita akan tergelincir ke bawah dan sukar bangun balik sebab kita sudah hilang kuasa. Negeri yang kita kalah misalnya harus menjadi menyedarkan orang Melayu untuk tidak sesekali bermain dalam situasi seperti hari ini.
Apa yang diharapkan daripada suara Pemuda dan Puteri UMNO pada persidangan agung kali ini?
Mereka ada peluang lebih awal dalam perhimpunan ini dan saya harap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO mengambil kesempatan ini untuk berbahas berdasarkan kepada aspirasi generasi baru. Sebab kita tahu hampir 40 peratus pengundi kita adalah daripada kelompok generasi muda. Mereka ini mahu melihat sama ada Pemuda dan Puteri UMNO serta generasi baru dalam parti kita sebenarnya mewakili mereka. Dan itu hanya boleh dilihat daripada suara yang akan mereka kemukakan. Pada saya, biar mereka ada kebebasan. Mereka boleh menyuarakan kelemahan yang mereka lihat tapi biarlah dengan cara berhemah di samping memberikan nasihat dan pandangan supaya dengan cara itu tidak dilihat bertentangan dengan semangat parti. Sebab kita tahu ini akan diukur dalam PRU akan datang dan sebab itu peranan Pemuda dan Puteri UMNO dalam situasi hari ini lebih kritikal jika dibandingkan dengan dulu.
Bercakap tentang sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO, nampaknya mereka tidak seligat dan seaktif seperti beberapa tahun lepas. Apa pandangan Tan Sri?
Ya, itu saya akui dan saya percaya ramai juga berpandangan begitu dan Presiden sendiri telah menyatakan dalam perhimpunan khas yang diadakan tentang kenapa perhimpunan begitu diadakan dalam taklimat Pemuda dan Puteri baru-baru ini. Kita mahu mereka sedar bahawa ada peranan lebih utama perlu dimainkan tetapi pandangan masyarakat luar tentang pergerakan ini tidaklah seperti diharapkan.
Kita akui mereka belum lagi berupaya secara berkesan mengikut cita rasa generasi muda, bukan saja untuk membantu UMNO tetapi lebih daripada itu. Mereka berperanan untuk memberi pandangan, mewakili suara pemuda dan sebagainya. Ini kita sudah bagi tahu kepada pimpinan Puteri, cuma masalahnya sama ada perkara itu sampai ke bawah atau ke akar umbi kerana tidak harus pimpinan sahaja mendapat gambaran tetapi bagaimana pula dengan Ketua Puteri di peringkat bahagian. Saya tidak nafikan memang banyak program mereka buat dan kita dapat laporan itu tetapi adakah ia dapat menyentuh perasaan dan jiwa generasi muda. Sebab itu bagi saya memberitahu bahawa tanggungjawab dan peranan Pemuda dan Puteri masih penting.
Tun Dr. Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa masih awal untuk mengadakan pilihan raya umum manakala Menteri Besar Selangor pula berkata tidak akan bubarkan DUN negeri sebelum Jun. Apa pandangan Tan Sri?
Kalau hendak kata kita belum bersedia, saya tidak boleh kata begitu kerana kami dalam parti seperti UMNO dan BN mesti harus bersedia sepanjang masa. Sebab itu di semua peringkat saya yang bertanggungjawab selaku Pengerusi Pengurusan Parti sudah pun menubuhkan jentera pilihan raya dan saya juga telah selesai mengadakan pertemuan dengan 13 komponen parti dalam BN.
Daripada laporan-laporan itu saya tahu persiapan-persiapan yang bukan saja perlu dibuat di peringkat nasional dan negeri tetapi juga di peringkat akar umbi sampai peringkat ke peti undi di peringkat bawah pun kita sudah sediakan.
Tetapi apa pun keputusan sama ada sedia atau tidak sedia ditetapkan oleh Presiden, Datuk Seri Najib yang sudah tentunya bagaimana saya biasa tahu akan menilai daripada aspek persiapan parti, situasi paling sesuai, ekonominya bagaimana dan penerimaan masyarakat. Semua ini akan dinilai, bukan soal parti sahaja tetapi keseluruhannya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat soal sama ada negeri-negeri di bawah pembangkang mahu buat pilihan raya bersama atau tidak, itu terserah pada mereka.
Saya sudah mendengar pandangan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan kalau ada pilihan raya tahun depan beliau akan adakan bersama tetapi di Selangor dan Pulau Pinang pula berbeza di mana mereka tidak sepakat dan tidak tahu bagaimana nak buat keputusan sama ada ia memberi keuntungan jika dibuat bersama atau pun ianya satu kerugian. Mereka masih belum tahu menilai tetapi bagi kita dalam BN dari dulu sudah buat bersama. Saya tidak ambil kira soal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata kena tanggung kos lebih kalau tak dibubar Dewan Negeri dan Parlimen, suka atau tidak dia kena hadapi sebab dia adalah suruhanjaya untuk pilihan raya. Bagi kami nak bubar sama atau tidak kami tetap akan hadapi. Bagaimanapun, mungkin ada baik juga dia tidak bubar sekali kerana kita sudah ada pengalaman dan dia takut untuk bubar sekali itu kerana setidak-tidaknya mereka kalah di Parlimen tetapi di negeri masih ada lagi pasal kononnya DUN tidak dibubar lagi. Tetapi bagi kita pula kalau tak bubar lagi, Insya-Allah tumpuan akan diberi pada mana-mana negeri yang lambat.
Isu dibentangkan oleh pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO hampir sama setiap tahun seperti isu dalaman dan agenda UMNO. Bagaimanakah Tan Sri melihat cara untuk mengubah persepsi itu?
Saya tidak boleh ramalkan dan saya bukan ahli nujum untuk ramalkan apa yang mereka mahu bicarakan tetapi saya percaya akan ada kelainan kerana perkara ini sudah ditanamkan dalam pemikiran mereka bahawa pilihan raya akan datang tidak serupa. Ia berbeza dan persiapan kita juga bukan lagi biasa kerana kita kena lebih daripada biasa seperti cara nak tangani masalah rakyat tidak harus dilihat seperti persidangan lepas-lepas. Misalnya kenapa tidak sokong kita, dah lama beri macam-macam kemudahan, negara maju kerana BN dan sebagainya.
Hujah begitu tidak boleh lekat macam masa-masa lepas. Kita kena tunjukkan satu peningkatan yang agak berbeza. Contohnya bagaimana soal hendak tangani masalah ekonomi rakyat. Memang program transformasi yang dimulakan oleh Perdana Menteri itu melanjutkan agenda pembangunan ekonomi yang sudah kita laksanakan sebelum ini tetapi lebih daripada biasa, fokusnya lebih ada perbezaan cara hendak uruskan ekonomi. Walaupun tajuknya ekonomi tetapi urusan ekonomi dulu dengan sekarang berbeza. Sekarang perlu lebih terfokus dan boleh dinilai dengan berapakah nilai pendapatan negara kasar (GNI), boleh nilai berapa pelaburan yang diperlukan, apakah projek dalam rancangan projek permulaan (EPP) yang hendak dilaksanakan. Jadi, itu satu contoh, maknanya jika kita hendak meyakinkan rakyat kita tidak boleh lagi kata kita akan tolong, kita akan bantu, kita akan selesaikan masalah mereka. Kita tak nak dengar itu lagi.
Pihak pembangkang memberi reaksi seolah-olah pilihan raya umum akan datang sebagai yang terakhir untuk BN. Bagaimana Tan Sri melihat isu ini?
Itu sengaja dilakukan walaupun mereka tidak laung lagi slogan jalan ke Putrajaya sebab semakin hari semakin kabur jalan itu. Mereka tahu ada perubahan sikap di bawah. Contohnya, masa saya dan Perdana Menteri turun padang, respons secara spontan dan tidak diasak itu menggambarkan satu perubahan baru sama ada di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Mereka sedar apa berlaku di bawah, sebab itu dalam mereka bercita-cita hendak tumbangkan BN, mereka tahu tentangan yang hebat akan diberi oleh kami. Kita tidak akan baring di atas jalan tanpa berbuat apa-apa, kita akan berlawan dan kita akan berhadapan dengan mereka dengan kekuatan apa saja yang ada pada kita. Ia bukan setakat bertentang dengan mereka tetapi juga menjelaskan pada rakyat kerana akhirnya penentunya bukan mereka tetapi rakyat.
Nampak seperti orang atas (pucuk pimpinan UMNO) sahaja yang kerja bermatian-matian sedangkan orang bawah melihat sahaja.
Saya tidak berkata begitu kerana kerana kerja-kerja yang dilakukan di peringkat bawah tidak mendapat laporan media yang banyak. Kalau peringkat negeri dan bahagian melakukan program turun padang, mungkin ia tidak dilapor begitu meluas. Keadaan ini menampakkan seakan-akan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sahaja yang buat kerja.
Dalam situasi seperti ini, tanggungjawab setiap pemimpin bertambah besar.
Saya memberitahu menteri-menteri Kabinet bahawa mereka harus kurangkan masa dalam pejabat walaupun kerja tidak akan habis sampai kiamat. Tugas saya di Kementerian Pelajaran dan sebagai Timbalan Perdana Menteri juga tidak akan selesai tetapi tumpuan saya adalah terhadap rakyat. Saya turun padang ke Kelantan, Terengganu dan tempat lain sebab ini perlu diutamakan. Aktiviti ini memberi impak yang begitu besar. Sejam untuk bersama 10,000 rakyat dan bersalaman dengan 3,000 hingga 4,000 orang serta beri ucapan adalah lebih berkesan berbanding dua jam duduk di pejabat.
Tiada pendekatan yang lebih baik daripada berinteraksi, berhadapan, bertemu dan mendengar suara rakyat. Mendekati rakyat (engagement) telah diutamakan dalam apa pun. Kita mungkin berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara sehaluan pada masa dahulu, tetapi kini saya beri masa setengah jam atau sejam untuk soal jawab. Saya bertemu dengan guru-guru agama yang menyokong Pas dan UMNO di Kelantan, mungkin tiga suku Pas dan satu suku UMNO. Saya memberi penjelasan tentang pemberian bantuan pendidikan dijalankan tanpa soal politik di mana yang pentingnya ialah Pendidikan Islam. Tidak ada soalan yang tidak boleh dijawab, soal pokoknya ialah kita tak mahu jawab kerana kita anggap semua orang tahu. Tetapi dalam keadaan orang tahu, mereka juga dengar hujah daripada sebelah sana dan mula membuat persoalan.
Generasi muda dan profesional dilihat ‘apologetic’ terutamanya dalam soal agenda Melayu yang dilihat terlampau Melayu dan terlampau rasis?
Kita tidak boleh elakkan bahawa mungkin di kalangan generasi muda yang terdidik dan profesional, mereka tidak terikat dengan masa lampau dan sejarah lalu. Golongan ini lahir selepas merdeka dan Malaysia sudah terbangun sebegini jadi mereka tidak rujuk sejarah lampau tetapi melihat masa kini dan masa ke depan.
Kita kena terima perbezaan ini. Kalau kita nafikan mereka, maka ia akan nahas untuk kita. Kumpulan pemuda dan profesional Melayu terdidik dengan ilmu baru dan ada kebebasan untuk suarakan sesuatu. Kita perlu mendekati mereka, kita kena jelaskan rasional kenapa kita kena ada kuota dan polisi yang menjurus kepada pembangunan umat melayu yang belum lagi maju. Terdapat juga kumpulan liberal Melayu yang kata tidak perlu ini dan itu kerana mereka rasa mampu bersaing. Kelompok ini tidak besar tetapi suara mereka besar. Mereka beri pandangan yang agak berbeza. Perbezaan ini harus diterima dan tidak anggap ia sebagai sesuatu yang tidak baik kerana akhirnya trend akan ke situ. Kita harus mendekati mereka dalam pelbagai forum dan tidak berjauhan dengan mereka, menghormati pandangan mereka serta memberi penjelasan sekiranya ada peluang.
Mungkinkah Majlis Tertinggi UMNO akan buat kejutan pada perhimpunan agung parti minggu depan, antaranya seperti pengumuman pilihan raya umum?
Tidak ada yang lebih besar dibincang, saya tidak tahu sama ada presiden parti akan beritahu mengenai bila tarikh pilihan raya. Tidak ada sesuatu yang mengejutkan kerana semua pemimpin tahu bahawa soal pokoknya ialah menghadapi pilihan raya.
Post a Comment