Headlines News :
Home » » Pembangkang sebenarnya takut kekuatan Wanita UMNO

Pembangkang sebenarnya takut kekuatan Wanita UMNO



KE MANA arah tuju Wanita UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir sebelum berlangsungnya PRU Ke-13 nanti?

SHAHRIZAT: Kita Wanita UMNO memang fokus kepada kerja kita iaitu kerja-kerja bancian sikap, gerak mesra kita di bawah Jalinan Rakyat jadi kita tidak berganjak dari kerja-kerja tradisional itu cuma ada kelainan sikit sebab kita bekerjasama dengan NGO dan mereka yang berpengaruh di peringkat akar umbi.

Jadi kita mengembangkan jalinan kita bersama rakyat tetapi kita tetap fokus kerana hendak menentukan jentera untuk PRU itu mantap dan jitu. Kita tidak akan berganjak. Wanita UMNO melalui program- programnya akan fokus untuk menghadapi PRU. Jentera PRU yang diamanahkan kepada kita, kita akan buat berhabisan.

Mesej yang akan disampaikan oleh Datuk Seri pada Persidangan Wanita UMNO kali ini?

Sebenarnya Wanita UMNO adalah aset dalam parti sebab kita berjuang sebagai ibu dalam keluarga. Kita sebagai ibu, isteri, pemimpin jadi kepada kita, kita ada keikhlasan dan kita stabil sebab itu kita tengok dalam parti, macam-macam berlaku. Apa dia yang UMNO tidak pernah tempuhi tetapi siapa dia yang bagi kestabilan kepada parti kalau tidak Wanita UMNO. Badai melanda macam-macam, pelbagai perkara kita hadapi tetapi yang memberi kestabilan adalah Wanita UMNO. Kita tidak berganjak dan kita tidak melatah.

Dalam politik mana tidak ada masalah tambahan pula pembangkang mereka takut kerana Wanita UMNO kukuh bersatu-padu. Jadi akan ada cubaan untuk goyahkan Wanita UMNO tetapi Alhamdulillah kita tidak melatah sebab kita diibaratkan seperti ibu dalam rumah, apa dia yang tidak dilalui. Walau apapun yang pembangkang buat, disebabkan kita ada keikhlasan dalam agama, bangsa dan negara maka sesiapapun tidak boleh goyahkan iman kita.

Apakah antara usul-usul yang akan dibentangkan oleh Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO?

Pertama, Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti, kita akan tumpu kepada perpaduan dan disiplin dalam parti, semangat setia kawan, kesatuan, ini mustahak kerana apabila kita hendak pergi berperang, tentera kita mesti kuat dan berdisiplin serta bersatu-padu. Wanita UMNO akan usulkan ke arah itu bahawa apabila tentera kita kuat, bersatu-padu, berdisiplin dan fokus, saya percaya kita akan menghadapi PRU ke arah kemenangan.

Ini kerana kita Wanita UMNO yang sentiasa bergerak di peringkat akar umbi telah mendapat maklum balas baik daripada rakyat jelata berhubung kepimpinan Perdana Menteri dan timbalannya.


Bagaimana dengan persediaan perbahasan bagi perwakilan Wanita UMNO?

Saya sudah 30 tahun dalam UMNO dan saya tengok pembahas Wanita UMNO stabil dan tidak mudah tersasul. Mereka sangat fokus dan tidak sesekali menggunakan platform ini untuk kepentingan peribadi atau ada agenda peribadi.

PRU akan menjadi agenda utama Wanita UMNO pada perhimpunan kali ini jadi bagaimana pula harapan Datuk Seri terhadap calon-calon Wanita UMNO yang akan disenaraikan nanti?

Harapan kita, saya percaya bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ada kebijaksanaan luar biasa. Saya percaya dia akan bagi peluang kepada calon wanita. Kita sudah minta beberapa kali dan Presiden pun tahu ke arah mana trend dunia pada hari ini dan perkembangan lain jadi terpulang kepada Presiden sendiri untuk buat keputusan tentang itu.

Menyentuh mengenai isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), bagaimana reaksi Datuk Seri jika ia dijadikan modal perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO ini dan adakah Datuk Seri akan membuat penjelasan mengenainya?

Itu tidak menjadi masalah kepada saya. Saya tidak akan membuat penjelasan sebab tidak ada kena-mengena dengan saya. Cuma ada satu dua perkara yang saya hendak bagi mesej yang jelas kepada mereka yang di luar sana. Tetapi saya sabar sebab sebagai pemimpin kita kena sabar, tenang dan jangan melatah.

Saya sangat jelas, saya tidak akan jawab sebab kalau hendak tanya tentang NFC, tanya orang NFC, saya hanya fokus kerja-kerja saya sebagai Ketua Wanita UMNO tetapi ada satu dua mesej yang akan saya bagi untuk mereka di luar sana nanti.

Kita sebenarnya boleh nampak ada pihak (pembangkang) takut dengan kekuatan Wanita UMNO. Dia takut tengok kita bersatu-padu, rajin bekerja, turun padang, kita membina bukan meruntuhkan serta kita berkhidmat jadi dia gementar, cemburu dengan kerja keras UMNO maka di cari jalan hendak menjatuhkan kita. Tetapi dia tersilap perkiraan, bila buat begini lagi Wanita UMNO berazam terutama untuk menang pada PRU nanti
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger