UTUSAN: Perhimpunan kali ini cukup penting kerana ia dilihat perhimpunan terakhir sebelum PRU Ke-13. Jadi apa fokus serta tumpuan Pergerakan Pemuda UMNO pada perhimpunan kali ini.
KHAIRY: Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada pihak media bahawa tumpuan utama bagi Pergerakan Pemuda UMNO dalam perhimpunan Rabu ini adalah memberi fokus kepada PRU.
Fokus kita untuk pastikan tahap kesiapsiagaan jentera Pemuda berada di tahap tertinggi bagi menghadapi PRU dan untuk kita pastikan tiada lagi apa- apa masalah dalaman. Saya percaya tidak ada lagi apa- apa isu dalaman yang boleh melemah parti.
Namun jika masih ada (yang terlepas pandang) ia yang perlu diselesaikan sebelum kita menghadapi perang sebenar. Apa yang penting semangat perpaduan, hala tuju, strategi serta gerak kerja antara kita berada dalam keadaan terbaik.
Kita akan buat perbandingan kepada generasi muda. Pilihan antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dan kita harap melalui perbandingan ini ia akan menjadi begitu jelas bagi generasi muda kenapa BN masih pilihan terbaik kepada mereka.
Selaku Ketua Pemuda UMNO sendiri, bagaimana ucapan dasar Yang Berhormat nanti mampu dilihat sebagai menyahut paluan serta tarian perang yang telah dipalu oleh Perdana Menteri?
Salah satu perkara yang akan saya sentuh dalam ucapan dasar nanti adalah soal transformasi dan ia akan menjadi mentera penting untuk PRU. Sebab bagi saya, generasi muda mahu melihat sama ada UMNO dan BN telah benar-benar melaksanakan transformasi, bukan hanya setakat retorik.
Saya akan mengupas secara terperinci kenapa kita perlu sokong dan kenapa transformasi ini menepati selera generasi muda. Saya percaya transformasi ini terutama transformasi politik yang menjurus kepada kebebasan, ketelusan dan memperkasa hak asasi serta sivil rakyat Malaysia akan menjadi satu tarikan utama bagi generasi muda.
Justeru, saya ingatkan kepada perwakilan Pemuda, apa yang kita buat dalam perhimpunan ini tidak hanya relevan bagi ahli kita tetapi amat relevan kepada masyarakat umum terutama generasi muda yang ada di luar, kerana apa yang kita bahas tidak terhad dan terbatas dalam dewan tersebut sahaja.
Selain sensitiviti kaum, apa yang kita cakap itu perlu ada nilai relevan dengan orang muda di luar sana. Jangan nanti orang muda tengok apa yang dibahas dalam perhimpunan pemuda itu langsung tidak relevan dengan cita rasa mereka, dengan apa yang menjadi kehendak mereka.
Yang Berhormat menyebut BN masih pilihan terbaik kepada generasi muda tetapi bagaimana Pemuda UMNO mahu menterjemahkan pilihan itu kepada bentuk sokongan?
Apa yang telah kita lakukan sejak beberapa tahun lalu iaitu untuk membawa perubahan dalam Pemuda supaya lebih inklusif dan relevan dalam setiap pendekatan kita. Jangan di saat-saat akhir kita melakukan sesuatu yang tidak selari dengan pendekatan demokrasi liberal yang saya cuba bawa sejak menjadi Ketua Pemuda.
Ia mesti selari dengan slogan yang kita umumkan minggu lepas iaitu ‘BN pilihan orang muda’ di mana perhimpunan agung kali ini akan menjadi ‘pusat pameran’ kepada generasi Y (generasi muda). Kita akan tunjuk kepada mereka kenapa BN dan UMNO masih merupakan pilihan.
Bercakap soal masalah dalaman dan perpaduan, apa simbol perpaduan yang boleh ‘dipasarkan’ kepada generasi muda agar mereka tertarik untuk memberi sokongan kepada pemuda UMNO dan BN?
Simbol perpaduan itu adalah gerak kerja sebab kalau tengok dari segi gerak kerja, kita sentiasa bergerak di bawah panji Pemuda BN. Saya telah memastikan satu perubahan yang kita bawa iaitu penjenamaan BN.
Walaupun masih dengan UMNO, MCA dan MIC tetapi penjenamaan kita sebagai Pemuda BN itu lebih kuat dan jauh ke depan berbanding dulu dalam apa juga program. Kita (Pemuda BN) bergerak bukan lagi hanya ketika menjelang PRU tetapi program penjenamaan dibuat lebih awal lagi.
Penjenamaan itulah menjadi simbol perpaduan kita dalam pemuda BN atau pemuda UMNO. Bagi Pemuda UMNO, kita telah mencapai kata sepakat yang begitu mendalam di kalangan pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO peringkat bahagian bahawa kita bersatu untuk berdepan PRU akan datang.
Jadi bagi saya, perpaduan dalam UMNO dan BN itu dapat dilihat dari segi gerak kerja kita, tarikan kita dan apa yang kita buat dari segi program serta sokongan yang diterima dari generasi muda. Ini melambangkan mereka semakin yakin dengan BN dan Pemuda BN.
Ada pihak yang mengumpamakan Pemuda UMNO seperti Harimau Muda tetapi bagaimana nak pastikan keputusan malam tadi (Harimau Muda hilang fokus pada saat-saat akhir) tidak berlaku kepada Pemuda UMNO?
Soalan ini penting. Saya selalu ingatkan kepada Pemuda bahawa ini perhimpunan yang terakhir. Apa yang kita telah buat setakat ini dah cukup baik dan jangan sesekali tindakan penyudah kita pula buruk. Jangan kita tersilap langkah dalam saat-saat akhir kerana inilah masa kita dinilai.
Inilah masa yang mana kalau ada dan saya percaya ramai calon boleh menang dari kalangan Pemuda. Jadi jangan sesekali ada apa-apa masalah. Kita mesti jaga ketertiban, disiplin kita dan mesti pastikan perpaduan terus kita jaga sampai PRU dan seterusnya.
Post a Comment