BUKIT MERTAJAM 3 Okt. - Sebuah 'perkampungan Jepun' didakwa bakal dibina di negeri ini tidak lama lagi setelah urusan perjanjian mengenainya di antara kerajaan negeri dan Jepun, selesai.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, perjanjian itu yang secara dasarnya telah dipersetujui dan melibatkan pembinaan sekolah, universiti serta kemudahan lain seperti yang terdapat di negeri matahari terbit itu di kawasan Seberang Perai di sini.
Menurut Mohd. Zaidi, isu mengenai 'perkampungan' berkenaan kini menjadi perbualan hangat dalam kalangan ahli perniagaan di negeri ini sejak dua minggu lalu.
"Kita tidak nafikan dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan untuk rakyat negeri ini, tetapi apa yang kita bimbangkan, apa akan terjadi pada orang Melayu dan golongan bumiputera. Adakah hak dan kawasan milik mereka akan dipertahankan?
"Jika berlaku apa yang dikatakan itu, nilai hartanah di negeri ini akan meningkat. Maka sudah pasti orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli rumah di kawasan ini. Secara tidak langsung, apa yang dimiliki mereka tidak akan dapat dipertahankan lagi. Inilah yang paling kita risau," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 100 jemaah kawasan Parlimen Permatang Pauh yang akan berangkat menunaikan fardu haji ke Mekah di Dewan GiatMara, Permatang Pasir di sini, hari ini.
Difahamkan ketika ini, kedua-dua pihak sedang mengadakan perbincangan mengenai projek tersebut yang dikatakan bakal dibina di sebuah kawasan kampung Melayu di daerah Seberang Perai.
Menurut Mohd. Zaidi, selain kesan ekonomi, pihaknya juga risau mengenai gejala negatif yang bakal dibawa hasil pembinaan 'perkampungan' itu terhadap golongan remaja di negeri ini.
"Kita kena ingat, bila sesuatu negara itu melabur di tempat kita, dia bukan hanya membawa apa yang dikatakan 'baik' untuk kita, malahan budaya dan kesan negatif yang boleh membuatkan remaja dan golongan muda kita terjebak. 'Perkampungan' itu acuan mereka. Sudah pasti perkara sedemikian tidak dapat dielakkan.
"Apa yang pasti, apa yang kita miliki perlu dipertahankan. Jangan hanya untuk mengaut sedikit keuntungan, orang Melayu dibiarkan terasing dan melarat di negeri sendiri," katanya.
Post a Comment